Rabu, 16 November 2011

Benarkah al-Quran mempunyai 6666 ayat?

Kes 1
Saya pernah tanya kepada pelajar saya (sekadar untuk menguji), berapakah bilangan ayat al-Quran?
Lalu jawabnya, “6,666 ayat.”
“Siapa yang bagitau?” Tanya saya lagi.
Dia menjawab, “Ustaz ditempat saya belajar yang bagitau.”

Kes 2
Saya dengar seorang ustaz merangkap imam di salah sebuah masjid semasa menyampaikan tazkirah dia ada menyebut yang al-Quran ini mempunyai 6,666 ayat. Bukan sekali tapi banyak kali juga. Sesudah dia memberi tazkirah saya menyapanya. Kebetulan saya dengan ustaz tersebut saling kenal mengenali. Saya tanya cara baik, “Ustaz betulkah al-Quran yang kita baca ini mempunyai 6,666 ayat?”

Mungkin ustaz tersebut terkejut dengan
pertanyaan saya, lalu dijawabnya, “Bukan begitu sebenarnya banyak pendapat…ulama’ khilaf dalam soal bilangan ayat al-Quran nie. 6,666 ayat ini pun khilaf juga!”

Bersungguh ustaz itu menafi…jadi saya pun terdiam jerlah. Mungkin dapat saya tegur pada lain masa. Masa itu tidak sesuai sangat untuk saya syarah lebih panjang lebar bab ini. :)

Benarkah terdapat khilaf 6,666 ayat?

Kes 3
Bulan depan anak dara Mak Ngah yang baru balik dari Mesir nak kahwin dengan putera di raja. “Berapa hantarannya?” sapa jiran kepada Mak Ngah. “Aik! Enam puluh enam ribu enam ratus enam puluh enamlah, ayat Qurankan enam enam enam semuanya” jawab Mak Ngah dengan penuh yakin.

Jadi pada tanggal 6/6/06 tarikh keramat telah dipilih untuk majlis perkahwinan diraja yang cukup bermakna ini. Siangnya upacara akad nikah di masjid simpang Enam dan kenduri makan nasi hujan panas oleh Katering Enam bersaudara. Malamnya majlis khatam al-Quran oleh dua mempelai untuk habiskan bacaan 6666 ayat al-Quran bagi mendapat keberkatan dari Allah swt untuk mereka berdua, ujar Mak Ngah kepada jiran tetangga.

Betul ke Mak Ngah?

Kes 4
Semasa saya belajar dulu, saya pernah bertanya kepada Syeikh tempat saya bertalaqi al-Quran dengannya. Saya tanya, “Benarkah al-Quran mempunyai 6,666 ayat?” Apa jawabnya, “Semuanya itu karut. Tidak ada pendapat pun yang menyatakan al-Quran mempunyai 6,666 ayat.”

Persoalannya…Benarkah al-Quran mempunyai 6,666 ayat?

Mungkin dikalangan kita sering terdengar sesetengah
orang Melayu Islam menyatakan bahawa jumlah ayat di dalam al-Qur’an adalah enam ribu, enam ratus, dan enam puluh enam (6,666). Angka itu manis disebut, senang diingat, dan sedap didengar. Kadang-kadang orang yang menyebutnya itu bukan sebarangan orang, ustaz-ustaz, penceramah dan tuk imam.

Namun begitu, bukan semua yang sedap didengar dan senang diingat yang dikeluarkan daripada mulut yang manis itu benar. Haruslah diperiksa dahulu sebelum menerimanya bulat-bulat. Apatah lagi kalau ia mengenai agama kerana syaitan juga boleh berbuat demikian. Firman Allah S.W.T di dalam surah al-An’am ayat 112 yang bermaksud:

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan (dari kalangan) manusia dan (dari kalangan) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jika Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.”

Berkaitan dengan jumlah ayat-ayat al-Quran, jumhur ulama telah sepakat mengatakan jumlah ayat al-Quran ialah 6,200 ayat lebih. Untuk itu, ulama berselisih pendapat tentang jumlah tepat atau berapa jumlah sebenarnya yang dikatakan lebih 6,200 itu.

Berikut ialah Matan yang dipetik daripada Kitab Fawasil Syarah Naazimatul Al-Zuhri fi ‘Ulum Al-Fawasil karangan al-Imam Al-Syatibi R.A


Perbahasan UlamaSahabat-sahabat yang dikasihi sekelian, di sana ulama tidak bersepakat dalam menentukan bilangan ayat al-Quran atas beberapa faktor yang akan saya kupaskan kemudian. Ilmu ini dibincang secara mendalam oleh ulama, dan ilmu ini diberi nama Ilmu Fawasil.

Fawasil ialah satu ilmu yang membahaskan tentang surah dan bilangan ayat al-Quran secara khusus dari segi bilangan ayat bagi satu-satu surah, hujung setiap ayat (ra’su al-ayah), dan permulaan ayat. Mafhum Matan di atas ialah keterangan-keterang berkenaan sanad-sanad Imam-imam Fawasil yang telah saya ringkaskan seperti jadual di bawah:

Jumlah Ayat
Sanad
Nama Imam
Imam
6217
(Abu Ja’far) Yazid bin Al-Qa’qaa’ & As-Syaibah bin Nasoh
Nafi’
Al-Madani Al-Awwal
1 - Ahli Kufah – Ahli Madinah – Nafi’ – (Abu Ja’far) Yazid bin Al-Qa’qaa’ & As-Syaibah bin Nasoh
6214
2- Ahli Basrah – Warsh – Nafi’ – (Abu Ja’far) Yazid bin Al-Qa’qaa’ & As-Syaibah bin Nasoh
6214
Sulaiman bin Jammaz – (Abu Ja’far) Yazid bin Al-Qa’qaa’ & As-Syaibah bin Nasoh
Ismail bin Ja’far
Al-Madani At-Thani
6210
Abdullah bin Kathber al-Qari – Mujahid bin Jaber – Ibnu Abbas – Ubai bin Ka’ab – Rasulullah S.A.W
Al-Imam Al-Madani
Al-Makki
6227
Abdullah bin ‘Amir al-Yuhsobi – Abu Ad-Darda’ – Uthman bin ‘Affan
Ad-Dimashqi
Yahya Az-Zamaari
As-Syaami
6226
Abdullah bin ‘Amir al-Yuhsobi – Abu Ad-Darda’ – Uthman bin ‘Affan
Sodoqah – Yahya Az-Zamaari (tidak kira Basmalah sebagai ayat)
6232
Khalid bin Ma’daan As-Salmy Al-Himsi Al-Hardhomi
Al-Himsi
Abu Haiwah Syuraih bin Yazid Al-Himsi
Al-Hardhomi
6236 (Bilangan yang masyhur)
Ali bin Abi Tholib
Hamzah & Sufian
Al-Kuufi
6217
(Abu Ja’far) Yazid bin Al-Qa’qaa’ & As-Syaibah bin Nasoh
Ahli Kuufah
Ahli Madina
Nafi’
6204
Ayyub bin Al-Mutawakil
Atho’ bin Yasaar & ‘Asim Al-Jahdari
Al-Basri


SUMBER PENGAMBILAN ILMU INI:Matan daripada kitab.

Maka apa yang dapat saya faham mengikut pengarang kitab tersebut (al-Imam Al-Syatibi R.A), saya dapat rumuskan, sumber pengambilan ilmu fawasil ini ialah:

1- Berdasarkan nas-nas yang sahih daripada Rasulullah S.W.T melalui riwayat-riwayat para sahabat R.A
2- Rasulullah sendiri yang mengira (menentukan akhir ayat) dan mengajarkannya kepada sahabat

Mengapa berlaku perselisihan dalam membilang ayat al-Quran?
Pertama sekali, kita perlu melihat dari sudut mengapa ulama bersungguh-sungguh dalam membentuk ilmu ini? Menyusun dan meletakkan kaedah-kaedah secara terperinci dengan sehabis-habis kesungguhan.

Ini adalah kerana dari kesungguhan al-Salaf al-Soleh sendiri iaitu para sahabat ra yang hidup bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W, yang mereka ini sering memerhati, melihat dan mengambil kira semua gerak-geri, pertuturan, dan pendirian Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W sendiri mengaku akan kesungguhan mereka dalam berpegang dengan agama Islam seperti sabda Baginda Rasulullah S.A.W :


“Sebaik-baik umatku adalah kurun yang aku diutuskan kepada mereka, kemudian kurun yang berikutnya “.( Riwayat Muslim dalam sahihnya, hadis ke-2534)

Di sini bermaksud, bahawasanya merekalah orang yang bersungguh dalam menjelaskan bilangan ayat-ayat al-Quran dan huruf-hurufnya. Mereka mengira-ngira ayat al-Quran ketika dalam solat. Sibuk mengira-ngira dengan jari-jemari mereka ketika solat akan berapa ayat yang sudah dibaca oleh Rasulullah S.A.W atau mereka sendiri ketika solat malam dan sebagainya kerana anjuran dari Rasulullah S.A.W supaya mereka meraih sebanyak mungkin pahala membaca dengan bilangan tertentu.

Sebenarnya perbahasan tentang ilmu ini amatlah panjang. Apa yang penting semua riwayat di atas sampai sanadnya hingga Rasulullah S.A.W

Tips mudah

Untuk mengetahui sama ada jumlah 6,666 itu benar atau tidak adalah tidak susah. Cuma ambil sebuah kalkulator dan sebuah kitab al-Qur’an. Mula mengira dari surah al-Fatihah hingga ke surah an-Naas. Campurkan kesemua angka itu, dan jumlah yang didapati adalah jumlah ayat-ayat al-Qur’an yang sebenar.

Wallahu a’lam bissowab.
Rujukan: Al-Quran, Syarah Naazimatul Al-Zuhri fi ‘Ulum Al-Fawasil oleh Imam Syatibi.
http://www.izoblog.com/benarkah-al-quran-mempunyai-6666-ayat/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan