Khamis, 27 Oktober 2011

TAWAF DAN PERMASALAHANNYA

Oleh Tengku Aziz Raja Abdullah

Tawaf adalah amalan yang sangat penting dalam ibadat haji dan umrah. Ia merupakan rukun yang perlu dilaksanakan dengan baik dan sempurna.

Jika tidak sempurna maka tidak sah tawaf sama ada tawaf haji atau umrah.

Jenis-Jenis Tawaf

Tawaf Rukun

Tawaf yang dilakukan untuk menyempurnakan rukun-rukun haji ataupun rukun umrah. Ada juga dikenali sebagai tawaf haji dan tawaf umrah.

Tawaf Qudum

Iaitu tawaf bagi jemaah yang masuk ke Mekah dan juga dikenali sebagai tawaf selamat datang. Ini adalah sebagai penghormatan kepada Tanah Haram iaitu dengan melakukan tawaf qudum. Tawaf qudum adalah sunat. Bagi jemaah yang masuk dengan melakukan umrah, tawaf umrah akan terjadi serentak dengan tawaf qudum.

Tawaf Sunat

Tawaf yang dilakukan bila-bila masa yang sesuai. Tawaf ini dikenali dengan tawaf sunat. Jika dilakukan dapat pahala, jika tidak dilakukan tidak mendapat pahala.

Tawaf ini dimulai dengan niat: “Sahaja aku melakukan tawaf sunat tujuh keliling di Baitullah Haram kerana Allah SWT”. Tawaflah menurut syarat-syaratnya.

Tawaf nazar

Tawaf nazar ini dilakukan sekiranya jemaah atau seseorang itu bernazar untuk melakukan tawaf. Maka tidak dapat tidak mestilah sempurnakan nazar tersebut.

Contohnya: “Saya bernazar kalau dapat anak, saya ingin tawaf tujuh kali”. Ia mesti laksana nazar tersebut dengan tujuh kali tawaf.

Tawaf tahiyatu al-bait

Tawaf ini bagi memberi penghormatan kepada Baitullah. Apabila jemaah masuk ke dalam Masjid Haram, disunatkan tawaf tahiyatu al-bait. Sekiranya tidak ada kesempatan masa boleh melakukan solat tahiyatul masjid.

Kesuntukan masa disebabkan waktu solat atau kesesakan semasa tawaf.

Tawaf tahallul
Tawaf yang dilakukan oleh seseorang jemaah yang melaksanakan haji.

Contohnya hajinya terbatal disebabkan oleh sesuatu (seperti jimak sebelum tahallul awal) mereka perlu juga tawaf. Tawaf inilah yang dikatakan tawaf tahallul.

Tawaf wada’
Tawaf yang dilakukan oleh jemaah sebelum mereka meninggalkan Mekah. Tawaf ini wajib dilakukan oleh setiap orang kecuali bagi mereka yang dikategorikan uzur/dikecualikan seperti di bawah :-

* Wanita yang datang haid/nifas atau istihadah.

* Kencing yang sentiasa keluar tak henti.

* Orang yang luka darah tidak terhenti keluar.

* Dipaksa meninggalkan tawaf.

* Takut kepada orang zalim.

* Takut ditinggal teman sepemergian.

* Takut kepada peminta hutang kerana tidak upaya.

Uruf (tempoh masa kebiasaan yang boleh menunggu kenderaan untuk meninggalkan Mekah selepas tawaf wada’) adalah di antara tiga ke empat jam.

Perkara-perkara yang boleh dibuat selepas tawaf wada’

l Makan/minum sekadar keperluan.

* Qada’ hajat dalam tandas bilik penginapan.

* Mengambil beg/barang yang diletak dalam bilik penginapan.

* Mencari keluarga yang hilang.

* Mencari harta yang hilang.

* Melawat atau membawa seorang yang sakit ke hospital.

* Membeli keperluan makanan/minuman sekadar keperluan perjalanan sahaja.

Mereka juga dikehendaki melakukan tawaf wada’ apabila keluar Mekah melebihi dua marhalah (93 kilometer), atau meninggalkan kota Mekah untuk balik ke kampung dan menetap di sana walaupun kurang dua marhalah kena juga tawaf wada’.
http://darululumonline.wordpress.com/2010/10/31/tawaf-dan-permasalahan/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan