Isnin, 17 Oktober 2011

KHUTBAH JUMAAT: MENGENALI AQIDAH PERJUANGAN

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bersyukur kepada Allah SWT yang telah menganugerahkan nikmat Islam dan Iman kepada kita. Dengan nikmat inilah kita menikmati kehidupan hakiki sebagai seorang muslim yang bertaqwa dan mengharapkan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Marilah kita menggarap taqwa dengan memperkukuhkan keimanan dan akidah kepada Allah, mendalami ilmu-Nya dan beramal dengan-Nya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Landasan atau asas pokok agama Islam itu ialah menanamkan akidah Tauhid ke dalam setiap sanubari dan jiwa umat manusia.

Segala perbuatan dan tingkah laku manusia sekiranya ingin dilihat berjaya dan memperoleh kemenangan hendaklah ditegak dan dibangunkan di atas akidah tauhid.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 18:

"Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil dan bukti) bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, demikian juga malaikat-malaikat dan orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian). Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Seseorang wajib meyakini secara teguh dalam hati dan mempercayai bahawa dia mempunyai Tuhan iaitu Allah SWT, tiada suatu pun yang sebanding dengan-Nya. Tuhan Yang Maha Pencipta, Yang Maha Pemurah, Maha Pemberi rezki, Maha Berkuasa Menghidup dan Mematikan dan Dia menentukan suatu kehidupan di akhirat nanti.

Hanya kepada Allah semata-mata disandarkan segala niat dan tindakan manusia dalam hidup dan kehidupannya. Kita wajib bersyukur atas segala nikmat-Nya dan wajib beramal serta mengabdikan diri kepada-Nya.

Para Rasul sejak daripada Nabi Adam a.s hingga kepada Nabi Muhammad s.a.w menerima tanggungjawab menyampaikan aqidah tauhid ini silih berganti dan mengajak manusia menjauhi segala perkara yang menyimpang dan terpesong daripada akidah Islam. Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 36:

"Sesungguhnya Kami telah mengutus pada setiap umat seorang rasul dengan perintah: "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut (syaitan dan apa sahaja yang disembah selain Allah)." Maka antara mereka yang diberi hidayah oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan".

Aqidah bermakna suatu ikatan yang kuat lagi kemas tersimpul, mempercayai tiada tuhan yang disembah melainkan hanya kepada Allah. Inilah jalan yang membebaskan manusia daripada seluruh perhambaan selain Allah kepada Allah semata-mata.

Apabila kita meyakini dengan teguh dan mempercayai bahawa Allah SWT sebagai Tuhan yang disembah, bermakna kita hanya menerima Allah SWT sebagai Tuhan kita, Tuhan yang menurunkan peraturan, undang-undang dan hukum-hakam-Nya yang wajib kita patuhi dan kita ikuti.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-An'am ayat 57:

Katakanlah: "Sesungguhnya Aku tetap berada di atas bukti-bukti (kebenaran) yang nyata (Al-Quran) daripada Tuhanku; sedangkan kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta supaya disegerakan kedatangannya (azab Allah); hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Dia menerangkan kebenaran, dan Dialah sebaik-baik pemberi keputusan".

As-Syahid Syed Qutub telah menjelaskan dalam Kitab Tafsir Fi Zilal al-Quran, menjelaskan bahawa tidak sah penyembahan terhadap Allah SWT sekiranya kita tidak bersedia menolak segala kepercayaan, peraturan dan undang-undang yang dicipta oleh manusia.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kehidupan dan perjuangan yang berteraskan Islam sahajalah yang akan mampu bertahan dan istiqamah dalam mengharungi segala cabaran dan dugaan, sebagaimana perjuangan Nabi saw sehinggalah kita mengecapi nikmat Islam dan Iman pada hari ini.

Perjuangan baginda Rasulullah selama 13 tahun di Mekkah, berjuang semata-mata untuk menegakkan aqidah yang satu. Sepanjang masa itu, usaha baginda tiada lain hanya difokuskan kepada menerangkan erti dan makna aqidah tauhid, kemudian menanamkan dan meyakinkannya di dalam jiwa para pengikut baginda, sehingga ianya melahirkan orang-orang mukmin seperti 'Ammar bin Yasir, Bilal bin Rabah dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 23;

"Antara orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka antara mereka ada yang telah selesai menunaikan janjinya (lalu gugur syahid) dan antaranya ada yang menunggu giliran serta mereka pula tidak berubah sedikit pun (apa yang mereka janjikan)".

Seterusnya baginda menumpukan perjuangannya untuk mempertahankan aqidah mentauhidkan Allah kepada para pengikutnya sekalipun terpaksa berhijrah ke Madinah meninggalkan tanah airnya Mekah. Apa yang menjadi perhatian bagi umat Islam adalah bagaimana aqidah tauhid yang sudah sekian lama tumbuh itu boleh bertahan dan berkembang.

Kemudian setelah Rasulullah s.a.w. wafat, tugas tersebut diwariskan kepada Khalifah dan seterusnya menjadi tugas utama umat Islam keseluruhannya. Iaitu agar aqidah tauhid menjadi kukuh untuk selamanya, meskipun perjuangan ke arah merealisasikannya memerlukan berbagai pengorbanan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujarat ayat 15:

"Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang yang benar (pengakuan imannya)".

Demikianlah teguhnya Islam dengan aqidah tauhid atau kepercayaan kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sebagai seorang Muslim yang benar-benar memiliki aqidah yang lurus dan benar, marilah kita buktikan dengan sama-sama berusaha dengan bersungguh-sungguh membangunkan Islam, menimba dan menyebarkan ilmu pengetahuan, sentiasa beramal memperteguhkan keimanan kepada Allah, melebar luaskan dakwah Islamiyah, berjihad memperkukuh dan membela Islam, sentiasa melaksanakan amar ma'ruf dan nahi munkar, hidup dalam suasana tarbiyyah Islam yang menuntun jiwanya sentiasa hidup dan membangun untuk Islam. Mudah-mudahan segala usaha dan jihad kita ini akan dianugerahkan rahmat dan keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

"Oleh itu, orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia hendaklah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Sesiapa yang berperang pada jalan Allah, lalu dia mati (gugur syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar".

( An-Nisa: 74)

Khutbah Jumaat Bacaan 14 Oktober 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan