Isnin, 1 Ogos 2011

Rayuan Ramadhan 1432H


(sila klik gambar utk besarkan)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah mempertemukan kita sekali lagi dengan Ramadhan Al-Mubarak. Bulan yang penuh barakah, rahmah dan maghfirah, bulan yang diwajibkan puasa dan diturunkan Al-Quran sebagai hidayah untuk manusia.

Ramadhan kali ini buat julung kalinya, IKRAM, JIM dan KIMB bergabung tenaga menganjurkan Rayuan Ramadhan. Gandingan ini insyaAllah akan melonjakkan lagi iltizam kita semua untuk membantu mereka yang amat-amat memerlukan.

Umat Islam di seluruh dunia merupakan saudara seIslam kita namun bukan semuanya bernasib baik sepertimana kita pada hari ini. Ada yang kelaparan dan kebuluran. Ada juga yang mampu berbuka puasa dengan hanya seteguk air dan sekeping roti kering. Terdapat juga yang terpaksa hidup bersendirian tanpa keluarga serta sanak saudara dan dalam kesempitan hidup. Tidak kurang juga ada yang hidup penuh dengan keperitan dan kesengsaraan. Tempat perlindungan mereka hanyalah di khemah-khemah pelarian dan rumah-rumah anak yatim. Tidak dilupakan juga terdapat segolongan saudara seIslam kita yang berjihad fisabilillah (berjuang di jalan Allah).

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya lagi meliputi pengetahuanNya” – AlBaqarah 2:261

Ingatlah pesanan Baginda Rasulullah SAW ” Salah seorang dari kalian tidak dikatakan beriman sehingga mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya sendiri” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Semoga sedikit usaha yang dijalankan oleh kami ini dapat menyentuh hati-hati kita dengan penuh ikhlas untuk menafkahkan sebahagian rezeki yang Allah kurniakan ini kepada mereka yang memerlukan. Marilah kita berlumba-lumba mengejar janji Allah dan RasulNya.

Hulurkan sumbangan ikhlas anda mengikut kemampuan masing-masing bagi meringankan kesusahan umat Islam yang lebih memerlukan.

Haji Tuan Yaacob Tuan Sof
Pengarah Program
Rayuan Ramadhan 1432H

Sumber:
www.ramadhan-qurban.org

Tiada ulasan:

Catat Ulasan