Jumaat, 5 Ogos 2011

Puasa Tapi Tidak Solat

SOALAN:

Apakah hukum orang yang berpuasa pada bulan Ramadan tetapi tidak menunaikan solat. Jenis atau tingkatan puasa apa bagi golongan ini? - Mohamad Jiwa, Kuala Lumpur.

JAWAPAN:

Kita semua tahu bahawa agama itu adalah satu ajaran yang menyeluruh dan tidak harus dipilih atau dipisahkan. Sebab itu Rasulullah SAW menggambarkan ibadat solat seperti tiang agama manakala ibadat lain pula seperti atap, dinding dan sebagainya. Tentulah tidak dinamakan rumah sekiranya ada dinding tanpa tiang dan atapnya kerana ibadat itu bila sudah sempurna rukun dan syaratnya maka dikira sah tetapi tidak cukup dan belum sempurna. Maknanya ia dikira sah sahaja dan belum tentu diterima Allah SWT kerana belum ada asas dan tiangnya. Di mana kita boleh dirikan dinding tersebut selagi tiangnya belum ditegakkan?

Begitulah contohnya lebih kurang apabila seseorang itu hanya berpuasa tetapi tidak bersolat dan sebagainya. Demikian juga mereka yang beriman dengan separuh dan sebahagian ajaran al-Quran dan kufur dengan sesetengah ajaran yang lain. Renungi firman Allah SWT sebagai balasan-Nya kepada mereka yang bersikap demikian iaitu firman-Nya bermaksud: "Maka tidak ada balasan kepada mereka yang berlaku demikian (beriman dengan setengah kitab dan kufur dengan setengah yang lain) selain kehinaan di dunia ini dan pada hari akhirat nanti dia akan ditolak ke dalam azab seksa yang sangat hebat dan Allah tidak pernah lupa tentang segala perbuatan kamu" (al-Baqarah ayat 85).

Kemungkinan besar ibadat puasa tersebut tidak diterima kerana dilakukan bukan ikhlas kepada-Nya tetapi hanya sebab lain. Ini kerana sekiranya seseorang beribadat semata-mata kerana Allah, pasti solat juga dilakukannya dengan ikhlas dan tidak dapat dipisah-pisah begitu, kerana semuanya adalah kewajipan dan perintah Tuhan yang menciptakannya. Biasanya mereka yang tidak ikhlas tidak dapat berpuasa dengan baik dan sempurna, malah dia makan atau minum jika ada kesempatan di mana-mana. Sebab itu puasa ini adalah ibadat yang Allah saja dapat memberi balasan pahala kerana ianya merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya. Justeru itu, Nabi dalam hadis qudsi bersabda bermaksud:" Segala amalan manusia ini dia sendiri yang punya (boleh dilakukannya sesuka hati) melainkan puasa sahaja, yang aku punya, maka Akulah yang dapat membalas dan menilainya" HR Muslim. Wallahualam.
http://almarbawi2007.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan