Isnin, 15 Ogos 2011

PUASA MELATIH DIRI SUPAYA SIMPATI KEPADA ORANG MISKIN

PENULIS: USTAZ IDRIS AHMAD

Puasa ialah amalan kerohanian seorang hamba dengan Allah SWT. Mereka yang berpuasa sanggup meninggalkan makan minum semata-mata kerana Allah SWT. Puasa mendidik manusia untuk bersimpati dengan mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan daripada mereka yang mempunyai lebihan rezki. Ketika berpuasa kita terasa lapar dan dahaga, kesemuanya mengingatkan kita kepada mereka yang kurang bernasib baik yang masih ramai di dalam negara kita walaupun negara, sudah mencapai kemerdekaan 54 tahun. Paling malang sekali isi rumah miskin ia melibatkan orang Islam, sedangkan pemimpin negara ialah orang Islam. Rakyat tertanya-tanya kenapa Sabah dan Trengganu mendahului negeri termiskin di negara ini, sedangkan negeri tersebut menghasilkan “emas hitam”.

Sebenarnya masih ramai rakyat yang tidak cukup zat, berapa ramai kanak-kanak ke sekolah dengan perut kosong kerana tidak ada makanan yang hendak dialas perut ketika ke sekolah. Kesemua ini menuntut kepada kita yang menunaikan Ramadhan merasai keperitan penderitaan yang mereka alami sepanjang masa. Sedangkan kita hanya Allah uji dalam masa lapan jam sahaja untuk sebulan Ramadhan.

Ibn Abbas Radhiallahu’anhuma meriwayatkan “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melebihi angin yang berhembus.” (Bukhari)

Seperti yang kita maklum baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah seorang yang sangat dermawan seperti disebut oleh Anas bin Malik radhiallahu’anhu:

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah orang yang paling berani dan paling dermawan.” (Bukhari dan Muslim)

Dermawan baginda dikatakan melebihi angin yang menghembus kencang. Diibaratkan demikian kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam sangat ringan dan cepat dalam memberi tanpa banyak berfikir, sebagaimana angin yang berhembus. Sikap prihatin yang ditunjukkan oleh baginda adalah amat perlu kita sebagai umat nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam yang ingin mengikut jejak langkah baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam melatih diri kita supaya menjadi seorang yang melihat orang sekeliling kita.

Beberapa insiden yang tragis berlaku di dalam negara kita baru-baru ini dengan berita orang yang melarat terpaksa menagih simpati kepada gereja, ia amat memalukan umat Islam. Menjadi fardu kifayah kepada umat Islam untuk membantu saudara mereka yang tidak bernasib baik, terutama agensi kerajaan seperti Baitul Mal, pejabat Agama, Jabatan Kebajikan Masyarakat. Agensi ini yang mempunyai kewangan yang kukuh sepatutnya mesti mengambil berat, berbanding dengan individu dan NGO yang mempunyai kekangan kewangan.

Kita mengharapkan, pejabat agama atau pejabat pungutan zakat yang begitu sistematik ketika memungut zakat, perlulah melakukan perkara yang sama ketika mengagihkan kepada mereka yang berhak. Kerana ini adalah hak mereka bukan untuk digunakan untuk perkara lain yang tidak ada kaitan untuk membela nasib mereka. Jika kita sanggup bersusah payah ketika hendak memungut zakat, maka wajib pula kita bersusah payah untuk memberi kepada yang berhak. Permudahkan prosedur, bukan menyusahkan mereka yang sudah susah. Jika ini berlaku, akhirnya gereja yang memudahkan mereka memberi bantuan. Konsepnya samalah mereka yang terjebak meminjam Along, kerana mudah berbanding berurusan dengan bank.

Sekurang-kurangnya apa yang terjadi di Gereja Methodist Damansara Utama menyedarkan kita umat Islam dan institusi yang mengagihkan zakat, supaya lebih pro aktif untuk membantu mereka yang berhajat. Kemanakah wang kutipan zakat yang beratus juta setiap tahun? Logiknya sudah tidak ada lagi orang miskin yang merempat? Muallaf yang dibuang keluarga meminta sedekah dan menagih simpati. Kesemua ini terjadi kerana berlaku pengagihan yang tidak betul dan mengkhianat amanah, maka tunggulah bala daripada Allah SWT. Benarlah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam “Siapa yang tidak mengambil berat berkenaan urusan orang Muslim, maka ia bukan di kalangan aku”.

Jika mereka pergi mengadu nasib kepada institusi bukan Islam maka Allah SWT akan menyiksa kita kerana mengabaikan saudara seagama mereka. Waliyazubillah
http://idrisahmad.wordpress.com/2011/08/11/puasa-melatih-diri-supaya-simpati-kepada-orang-miskin/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan