Jumaat, 12 Ogos 2011

AL-KISAH CEO BERTAQWA

AL-KISAH CEO BERTAQWA

Abdul Samad (bukan nama sebenar) seorang CEO di Menara Maybank. Waima berjawatan besar, tetapi dia amat merendah diri dengan ilmu. Di rumahnya, penuh dengan keset dan CD ceramah Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Padanya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah idola dalam merentasi dunia ketaqwaan.

Di surau pejabatnya, dia sendiri yang menyusun jadual kuliah. Boleh dikatakan, setiap hari ada sahaja ustaz-ustaz di sekitar Kuala Lumpur yang menyampaikan ceramah dan kuliah zohor di surau Pejabat di Menara Maybank itu.

Suatu hari, salah seorang ustaz telah menyampaikan ceramah di surau Menara Maybank. Tidak semena-mena, tajuk ceramah ustaz itu lebih berkisar kepada tajuk riba.

“kalau kita adalah CEO Bank Ribawi, bermakna kita adalah CEO Riba..apabila kita CEO riba, bermakna kita antara orang yang terawal masuk ke neraka” begitulah ulasan dalam ceramah ustaz yang mempunyai badan yang agak besar.

Tersentak Abdul Samad apabila mendengar ayat ustaz tersebut. Dia sedar, ayat itu amat tepat kena pada kepalanya. Tidak dirasakan sebagai sindiran, tetapi dirasakan sebagai ”sound tepat”.

Usai ceramah, solat zohor ditunaikan. Selesai solat, Abdul Samad berjumpa dengan ustaz tersebut, lalu berlaku perbualan antara mereka.

”Ustaz !.. tadi ustaz menyebut, kalau kita CEO Bank Ribawi, maka kita adalah CEO Riba.. sebenarnya, saya ni CEO Maybank, apakah saya ini CEO Ribawi?” soal Abdul Samad.

Ustaz terbabit melihat mukanya. Tanpa rasa bersalah, ustaz terus berkata, ”Kalau Maybank ini adalah bank Ribawi, lalu awak adalah CEOnya, maka awak adalah CEO ribawi la..”

Abdul Samad berfikir panjang. Dalam kepalanya, banyak perkara yang dia fikirkan. Terfikir tentang bayaran bulanan kereta, rumah, sekolah anak-anak dan banyak lagi.

”ustaz,, kalau saya berhenti dari jadi CEO, saya nak makan apa?”

”saya tak jadi CEO, tetapi alhamdulillah, tubuh saya lebih gemuk dari awak” jawab ustaz itu ringkas.

Jawapan ringkas dari ustaz itu, betul-betul tepat menusuk ke kalbu Abdul Samad. Menyebabkan, malamnya Abdul Samad tidak dapat melelapkan matanya.

Keesokkannya dia pergi kerja, dia mengemukakan surat perletakkan jawatan. Dia meninggalkan lima angka gajinya sebulan, semata-mata takut menjadi CEO Ribawi.

KULIAH AGAMA

Abdul Samad mula berniaga kecil-kecilan. Disamping, ia tidak pernah lalai dari menyusun jadual kuliah di seluruh surau di sekitar taman yang dia tinggal di situ.

Boleh dikatakan, semua surau-surau di sekitar tamannya itu, kuliah disusun oleh Abdul Samad. Sesiapa sahaja ingin mengetahui surau-surau yang menjemput ustaz-ustaz tertentu, cukup sekadar menelefon Abdul Samad.

Dato’ Hasan seorang korporat yang berjaya dalam perniagaannya. Beliau baru sahaja pulang dari Mekah. Sebelum itu, Dato’ Hasan juga bukanlah seorang yang baik, tetapi setelah pulang dari menunaikan haji, ternyata ia memberi kesan kepada dirinya untuk berubah.

Setelah kembali dari Mekah, boleh dikatakan di mana sahaja ada kuliah maghrib, maka di situ pasti akan ada Dato’ Hasan. Dan rujukan utama Dato’ hasan untuk mengetahui jadual kuliah maghrib itu, tidak lain dan tidak bukan adalah Abdul Samad.

Suara hari, selepas menunaikan solat isyak di salah sebuah surau di taman tempat tinggal Abdul Samad, Dato’ Hasan telah mengajak Abdul Samad makan di salah sebuah restoran mamak. Di restoran tersebut, banyak perkara yang mereka bincangkan.

”Anta dah pergi Mekah ke belum lagi?” soal Dato’ hasan kepada Abdul Samad.

Sambil tersenyum, Abdul Samad menjawab, ”belum lagi Dato’.. dah tak ada rezeki lagi”

”pergila ke Mekkah tahun ni” cadang Dato’ hasan.

”ala Dato’.. tak ada duit.. kalau ada duit pun, fikir nak bayar hutang, bukan nak pergi ke Makah pun” jawab Abdul Samad, “Dato’ doakanlah, biar rezeki saya lebih sikit.. saya pun ada rasa nak pergi juga ke Mekah ni” sambung Abdul Samad lagi.

“macam ni la Abdul Samad.. tahun ni, anta pergi mekkah.. ana sponsor anta”

Ungkapan sponsor Dato’ Hasan itu menyebabkan Abdul Samad terperanjat.

“jangan melawak dato’.. pergi ke Mekah ni, bukan sikit duit..” kata Abdul Samad.

“tak per.. esok pagi, kita jumpa kat tabung Haji..” kata Dato’ hasan

“isy Dato’ ni.. serius ke ni?” Soal Abdul Samad seakan-akan tidak percaya dengan tawaran itu.

“betul.. esok kita pergi sama-sama pun tak per” pesan Dato’ hasan.

“insya Allah..” jawab Abdul Samad.

TABUNG HAJI

Selesai menunaikan solat subuh di surau Al-Muttaqin, kebiasaan Abdul Samad akan bubuh sebanyak dua ringgit ke dalam tabung surau tersebut. Setelah pulang, dia terus mengambil mashaf. Tidak sempat memulakan bacaan Al-Quran, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.

Dilihat di screen telefon, termaktub nama “Dato’ Hasan”.

“Assalamualaikum Dato’”

“waalaikumsalam.,, pukul 7:30 nanti, Ana pergi rumah anta. Kita pergi Tabung Haji sama-sama”

”baiklah dato’.. insya Allah”

Setelah membaca al-Quran, Abdul Samad terus bersiap-siap. Sebelum pukul 7:30 pagi, Abdul Samad sudah menunggu di depan rumahnya.

Lagi dua minit pukul 7:30, Dato’ hasan sudah sampai di hadapan rumahnya. Kelihatan, Dato’ Hasan tidak memandu sendiri, tetapi keretanya dipandu oleh seorang Driver.

PAKEJ

Sesampai di Tabung haji, Dato’ Hasan berbicara sendiri dengan Counter untuk melihat pakej haji.

”Dato’, Pakej 16 ribu sudah habis” kata Counter perempuan di Tabung Haji.

”tak pe la Dato’, Pakej dah habis.. tak pe la, dah tak ada rezeki” tiba-tiba Abdul Samad bersuara.

‘’Cuba tengok pakej 20 ribu, ada kosong lagi tak ?’’ Tanya Dato’ Hasan kepada Counter.

‘’kalau Pakej 20 Ribu, ada kosong lagi ‘’ jawab Counter perempuan itu.

‘’kalau macam tu, ambil pakej tu’’ pinta Dato’ Hasan.

Abdul Samad berdiam sahaja di sebelah Dato’ Hasan. Tidak dapat berkata apa-apa, melainkan melihat sahaja apa yang dilakukan oleh Dato’ Hasan.

Ketika semua dokumen telah diisi. Dato’ hasan terus mengajak Abdul Samad ke bank. Di sana, Dato’ Hasan telah transfer wang sebanyak RM 20 ribu kepada akaun Tabung Haji Abdul Samad.

Semua yang berlaku, dilihat oleh Abdul Samad. Dia seakan-akan tidak percaya seperti yang berlaku.

BERTOLAK KE MEKAH

Tarikh para jemaah haji bertolak ke Mekah sudah tiba. Makanya, Abdul Samad pun bersiap-siap untuk bertolak.

Di tapak berkumpul semua jemaah Haji, di Kelana Jaya. Dato Hasan juga hadir. Sebelum Dato’ Hasan pulang, dia telah menghulur satu sampul surat yang berisi wang kepada Abdul Samad.

”duit apa ni dato’?” soal Abdul Samad.

‘’tak ada apa.. tolong belikan minyak wangi. Harganya dalam RM 2 ratus sahaja. Yang berbaki tu, buat belanja makan minum di sana” pesan Dato’ Hasan.

“terima kasih banyak-banyak dato’” ucap Abdul Samad. Dia tidak tahu, berapa bilangan duit dalam sampul surat tersebut.

Setelah Dato’ hasan pulang, Abdul Samad membuka sampul surat yang mengandungi duit itu. Dia terkejut, kerana duit dalam sampul surat itu sebanyak RM 9 Ribu, walhal minyak wangi yang dikirim oleh Dato’ Hasan hanya berharga RM 2 ratus sahaja. Bermakna, lebih RM 8 ribu merupakan duit untuk perbelanjaannya di Mekah telah diberikan oleh Dato’ hasan kepadanya.

“subhanallah.. kuasa Allah melebihi kuasaku” itu sahaja yang dapat Abdul Samad sebut.

PULANG

Setelah pulang, Abdul Samad tidak sabar-sabar hendak berjumpa denganku. Pertemuan diatur di salah sebuah restoran di sekitar taman tempat tinggal Abdul Samad.

“ustaz.. ana rasa, betul-betul Allah tunjuk kekuasaan-Nya kepada ana” kata Abdul Samad yang kini sudah bergelar “Tuan Haji”.

“emm. Macam mana tu haji? Storylah sikit” pintaku.

Lalu diceritakan semua kejadian yang berlaku, bermula dari dia berhenti dari jawatan CEO hingga dia pulang dari Mekah ini. cerita yang menarik itu, didengar dengan penuh kagum.

”apa amalan haji yang haji tak pernah tinggal?” soalku kepada Abdul samad.

”ana dok fikir. Selama ini, ana pegang dengan maksud firman Allah yang Allah sebut, barangsiapa yang infaq harta mereka, perumpamaannya seperti satu bijiran yang melahirkan tujuh tangkai.. ana pegang ayat tu betul-betul, sehingga setiap hari, ana tidak pernah tinggal derma dalam tabung surau kat taman ana tu.” kata Abdul Samad.

”Masya Allah.. ana rasa, inilah faktor Allah tunjuk karamah-Nya kepada haji” kataku kagum.

”ye ustaz.. ana yakin dengan janji Allah ini”

Kami berbual agak panjang malam itu. secara peribadi, aku amat mengkagumi Tuan Haji Abdul Samad itu. waima dia tidak berkelulusan agama, dan bermertuakan seorang Ulama, tetapi keyakinannya terhadap agama melebihi berbanding orang-orang yang belajar agama.

Inilah seorang yang kurang dikenali dikalangan masyarakat, tetapi hatinya merupakan kepunyaan Allah SWT. Justeru, waima dengan berat hati, dia terpaksa menolak jawatan CEO. Pun begitu, ketakutannya kepada Allah benar-benar telah Allah buktikan dengan anugerah Allah untuk menerima kunjungannya dalam menunaikan haji dengan rezeki yang dia sendiri tidak sangkakan.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan