Jumaat, 15 Julai 2011

Keluarga Nabi Yaakub Bin Ishak Bin Ibrahim a.s

Nabi Ibrahim a.s mendapat khabar gembira bahawa baginda akan mendapat anak dan cucu, maksud firman Allah:

71. dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), Bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub. – Hud 71


Nabi Ya’akub a.s adalah putera dari Nabi Ishaq a.s. bin Nabi Ibrahim a.s. Ibunya bernama Rifqah binti Batueil bin Nahur bin Azar (Tarah). Beliau dilahirkan di Kan’an (Palestin), iaitu lebih kurang 30 batu ke utara Jerusalem. Daripada Yaakub dinasabkan keturunan Bani Israil. Justeru, Yaakub dinamakan juga Israil. Saudara abang kembar kepada Yaakub bernama al-‘Ish. Al-Ish digelar sebagai bapa bangsa Romawi.

Yaakub dibesarkan di sisi ibu bapanya, Ishak dan Rifqah (juga disebut Rabekah atau Rivkah dalam versi Yahudi dan Injil Kristian). Kemudian beliau disuruh ibunya berpindah ke rumah bapa saudaranya bernama Laban Bin Batueil (Sudara ibunya) di Fidan Aram, berhampiran Babilon di Iraq.

Ini kerana ibunya khuatir beliau dianiayakan abangnya, ‘Ish yang sebelum ini mengugut untuk membunuhnya.

Kemudian Yaakub pergi mencari bapa saudaranya dan tiba di satu tempat, beliau tertidur kerana keletihan bermusafir sepanjang hari. Dalam tidurnya, beliau bermimpi melihat malaikat naik ke langit dan turun ke bumi.

Bangun daripada tidur, beliau berasa senang dengan mimpi itu dan bernazar mahu membangunkan tempat ibadah di situ kerana Allah. Beliau mengambil batu dan mencelupkannya ke dalam minyak, supaya tempat itu diketahui orang. Tempat itu dinamakan Bait Eel, iaitu Baitullah. Kawasannya kini dikenali sebagai Baitulmaqdis.

Selepas itu, Yaakub meneruskan perjalanan menuju ke rumah bapa saudaranya di Iraq. Di sana, beliau melihat dua anak bapa saudaranya, iaitu Layya dan Rahil. Tetapi beliau berkenan dan ingin meminang anak bapa saudaranya yang bongsu, iaitu Rahil, kerana wajahnya cantik dibandingkan Layya, yang matanya kurang menarik.

Bapa saudaraya memberikan syarat supaya Yaakub mengabdikan diri selama tujuh tahun dengan mengembala kambing sebelum dapat berkahwin dengan Rahil. Yaakub bersetuju dengan syarat itu.

Apabila habis tempoh itu, bapa saudaranya mengadakan majlis perkahwinan pada waktu malam, tetapi dibawakannya Layya untuk dikahwinkan.

Keesokan paginya, Yaakub menyedari yang dikahwininya itu bukan Rahil, tetapi Layya. Yaakub berkata kepada bapa saudaranya: “Kenapa pakcik mengkhianati saya, sedangkan saya meminang Rahil.”

Bapa saudaranya berkata: “Bukanlah adat kita untuk mengahwinkan adik terlebih dulu, sebelum kakaknya. Seandainya kamu mencintai adiknya, kamu harus mengembala lagi kambingku selama tujuh tahun, selepas itu baru aku nikahkan kamu dengan Rahil.”

Yaakub menyahut syarat yang diberikan bapa saudaranya. Apabila cukup tujuh tahun, dikahwinkan Rahil dengan Yaakub. Dengan perkahwinan itu, beliau mempunyai dua isteri bersaudara. Tetapi perkahwinan dua isteri bersaudara kandung waktu itu tidak dilarang.

Layya dan Rahil mempunyai dua hamba sahaya, iaitu Zulfah dan Balhah. Kemudian kedua-duanya dikahwini Yaakub.

Beliau dikurniakan 12 anak lelaki. Melalui Layya, lahirnya Rabin, Syam’un, Lawi, Yahuza, Yakasir dan Zebulon, manakala dengan Rahil melahirkan Nabi Yusuf dan Bunyamin. Mengikut Ibn Katsir didalam Kisah Para Nabi, Rahil wafat selepas melahirkan Bunyamin.

Sementara perkahwinannya dengan Zulfah melahirkan Jaad dan Asyir. Manakala melalui isterinya Balhah, melahirkan Daan dan Nafrali. Semua ahli keluarga Yaakub kemudian disebut al-Asbath, bermakna kabilah Bani Israil, kerana mereka mempunyai banyak keturunan. Anak Yaakub masing-masing menjadi ketua suku daripada kaum Bani Israil.


Secara ringkas Nabi Ya’qub telah dianugerahkan oleh Allah sebanyak 12 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan, mereka adalah penama-penama seperti berikut:

Ruben atau Rawabil(anak sulong Nabi Ya’qub)(juga disebut RU’BEM,REUVEN dan RAOBIN dalam beberapa versi Kristian Bible) – Ibn Katsir menyebut dalam Kisah Para nabi, beliau lah yang membuang Yusof kedalam perigi. Maulana Abdullah Yusof Ali menulis Ruben yang menyebut didalam dailog ayat 80 surah Yusof: “Tidakkah kamu ketahui bahwa sesungguhnya ayahmu telah mengambil janji dari kamu dengan nama Allah dan sebelum itu kamu telah menyia-nyiakan Yusuf. Sebab itu aku tidak akan meninggalkan negeri Mesir, sampai ayahku mengizinkan kepadaku (untuk kembali), atau Allah memberi keputusan terhadapku. Dan Dia adalah Hakim yang sebaik-baiknya.” Maksudnya beliau tidak pulang ke Kanaan bersama saudaranya yang lain kerana Bunyamin telah ditahan oleh Nabi Yusof a.s. Maulana Abdullah Yusof Ali juga merujuk Bible menyebutkan bukan Ruben tetapi Yahuza yang tidak pulang ke Kanaan.

Simon (atau SYAHMUN dalam kebanyakan frasa sebutan bahasa Aram, Ibrani dan Arab).(Mempunyai anak lelaki yang bernama Thalut @ Saul, dimana kisah Thalut ada disebutkan dalam Al-Quran). Semasa rombongan abang-abang Yusof datang ke Mesir untuk mendapat bekalan makanan, Simon ditahan Yusof a.s untuk memastikan kedatangan berikutnya Bunyamin dapat dibawa bersama.

Levi @ Lewi @ Lawee, menjadi keturunan nenek moyang Nabi Isa. Ada pendapat mengatakan nabi Syuib a.s dari Lawee. Dikatakan juga nasab nabi Musa ialah Musa bin Imran bin Qahats bin ‘Aazar bin Laawi bin Yakob bin ishak bin Ibrahim.

Yahudza (bapa kepada Bares)(keturunan nenek moyang Nabi Daud,Nabi Sulaiman dan kebawah).Perkataan Yahudi juga diambil daripada namanya. Beliau dikatakan membawa balik baju gamis Yusof yang berlumuran darah untuk ditunjukkan kepada Yaakub selepas Yusuf dibuang kedalam perigi. Ustaz Ya Ali Dahaman dalam kuliah tafsir pada mentafsir ayat 96 surah Yusuf memetik tafsir Qurtubi menyebut Yahudza juga lah membawa balik baju gamis Yusof dari Mesir dan meletakkan dimuka Yakub lalu sembuhlah matanya dari buta. Qurtubi menyebut baju gamis Yusuf tersebut adalah berasal dari Syurga. Allah melalui malaikatnya memakaikan kepada nabi Ibrahim a.s semasa nabi Ibrahim dibakar oleh Namrud. Baju yang sama diwarisi kepada Ishak a.s, kepada Yakub a.s dan kepada Yusof a.s.

Daan
Natthali (Naftalv)
Gad (Yad)
Asyer (Asvir)
Isakhar (Yassakir)
Zebulon (Zabanun)
Yusuf (Nabi Yusuf a.s.). Ibn Katsir menyebut anak Yusof bernama Afrayam dan Mansa. Ada pendapat nasab nabi Yusya a.s seperti berikut: Yusya bin Nun bin Ifrahim bin Yusof bin Yakob bin Ishak bin Ibrahim.

Bunyamen @ Benjamen (merupakan moyang kepada Nabi Yunus a.s.)
Dinah (anak perempuan tunggal Nabi Yaa’qub)- ibn-katsir dalam Kisah Para Nabi menyebut ia anak dari Layya

Catitan: Terdapat perbedzaan ejaan nama bergantung kepada sumber yang berbeza


Sebelum Nabi Yaakub bertemu kembali dengan anaknya Nabi Yusof a.s baginda berpesan kepada anak-anaknya:

“ …… jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.” – Surah Yusof ayat 87

Ibn Katsir memetik pendapat ahli kitab umur Yaakob a.s semasa memasuki Mesir ialah 130 tahun. Baginda tinggal di Mesir selama 17 tahun lalu wafat pada umur 147 tahun. As-Suda mengatakan jenazahnya di awit dan dibawa ke Syam untuk di makam di sana.

Sebelum wafat Yaakob a.s berwasiat kepada anak-anaknya, sepertimana Ibrahim a.s juga berwasiat:

132. dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu Dalam keadaan Islam”.

133. (Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, Iaitu Tuhan Yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”. – al Baqarah 132-133

Rujukan:

Al-Quran
Tafsir ibn-Katsir Surah Yusof ayat 96
http://klikkhas.bharian.com.my/
Wikipidia
Ibn Katsir –Kisah Para Nabi
Abdullah Yusof Ali – Terjemahan Surah Yusof
Kuliah Magrib Ustaz Ya Ali Dahaman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan