Selasa, 7 Jun 2011

KHUTBAH JUMAAT DI BACA PADA 3 JUN 2011

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian.Firman Allah dalam ayat 77 surah Ali ‘Imran:

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan menyucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih

Masa berlalu semakin cepat dan pantas sebagai peringatan besar kepada kita semua bahawa dunia kini berada dipenghujung usianya iaitu semakin hampir kepada berlakunya Qiamat yang dahsyat. Semakin hampir kita dengan saat kehancuran dunia maka semakin banyak cubaan dan fitnah terhadap keimanan dan agama kita. Rasulullah s.a.w telah memberi peringatan yang begitu banyak kepada kita agar tidak terheret dan ditenggelamkan oleh fitnah akhir zaman dengan berpegang kemas kepada al-Quran dan sunnah nabi. Akibat fitnah yang begitu dahsyat terhadap keimanan sehingga digambarkan oleh nabi bagaimana ada orang yang beriman pada pagi harinya tetapi kufur pada petangnya, ada yang pada petangnya beriman tetapi menjadi kufur pada pagi keesokannya akibat daripada menjual agama dengan harga yang terlalu murah. Dunia menjadi matlamat hidup sehingga akhirat dipinggirkan, nafsu menjadi pedoman sehingga wahyu Allah diketepikan

Sidang Jumaat Sekelian..

Khutbah hari ini akan memperkatakan mengenai isu2 besar yang berlaku sepanjang bulan Mei 2011 dan yang sedang berlaku hari ini untuk kita bermuhasabah agar kehidupan kita di hari esok lebih baik dari hari ini dan minggu depan lebih baik dari minggu ini, serta bulan depan lebih baik dari bulan ini. Sepanjang bulan 5, masyarakat negara kita dibentangkan dengan beberapa isu besar melalui media massa sama ada tv, radio, akhbar dan internet dengan menggunakan kaedah pemesongan pemikiran sehingga yang jahat dilihat baik, yang zalim dianggap adil, yang rosak didakwa berguna, yang hak dihukum batil, yang benar dipandang dusta. Apa yang lebih malang apabila hukum agama dipermainkan sesuka hati termasuk dalam isu sumpah laknat jika sebelum ini dalam tuduhan liwat, kini dalam tuduhan zina. Budaya suka bersumpah laknat dibiarkan berlaku sedangkan dalam perundangan Islam jelas masalah ini mesti diselesaikan di mahkamah sama ada yang dituduh jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hudud atau yang menuduh boleh dikenakan hukum Qazaf jika berdusta. Jika budaya sumpah laknat dibiarkan berleluasa akhirnya menyebabkan hilangnya fungsi mahkamah kerana semua masalah akan diselesaikan melalui sumpah sahaja. Apa yang lebih menakutkan apabila perbuatan ini akan menyebabkan turun laknat yang begitu dahsyat daripada Allah

قال الرسول الْكَبَائِرِ: الِإشْرَاكُ بِاللهِ، وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ و قَتْلُ النَّفْسِ وَالْيَمِينُ الْغَمُوس

Maksudnya: “Dosa besar itu adalah, syirik kepada Allah, derhaka ibu bapa, membunuh dan sumpah yang dusta.”

Ibn Hajar Al-‘Asqalani menghuraikan sumpah daripada pendusta merupakan salah satu daripada dosa besar. Ghamus ertinya tenggelam dan Imam An-Nawawi menyatakan dalam ‘Tahzib Al-Asma wa al-Lughaat’, sumpah tersebut dinamakan ghamus kerana penyumpah tenggelam dalam dosa dan bakal ditenggelamkan di dalam neraka Allah di akhirat kelak. Oleh itu dalam menghadapi berita fitnah dan tidak jelas maka ikutilah nasihat ulama’ besar iaitu Abu Laith al-Samarqandiy melalui 6 cara. Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kamu harus mencegah dari fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib. Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa. Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang difitnah itu, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram. Kelima, jangan kamu selidiki keadaan orang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang. Keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah disebarkan itu

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sepanjang bulan ini kita disajikan dengan penyebaran berita yang tidak bertanggungjawab dan melampau yang kesannya akan membawa kehancuran kepada masyarakat seperti isu seks yang dibicara secara terbuka bukan sahaja menjatuhkan maruah sebelum dibicara malah merosakkan minda terutama remaja yang ingin tahu dan mencuba benda yang negatif. Oleh itu mimbar Jumaat hari ini mengutuk tindakan tidak bermoral dan melanggar batas agama yang dilakukan oleh pengamal media yang tidak amanah ini. Jika pada zaman nabi tugas jahat ini dimainkan oleh penyair-penyair maka pada hari ini ia diteruskan oleh wartawan yang tidak beretika kerana menurut perintah orang atasan yang mementingkan harta dan takhta.Begitu juga dengan tiupan api perkauman sempit bagi menggambarkan suasana keamanan negara yang semakin tergugat sedangkan yang tergugat oleh pangkat golongan yang menindas rakyat. Amaran Allah akan berlakunya penindasan bila kekayaan negara hanya berlegar di kalangan pemimpin dan kroni sahaja tidak dipeduli sedangkan setiap kali harga barang naik dengan alasan menjimatkan subsidi negara diterima dengan dada yang lapang sedangkan betapa banyak kekayaan negara hancur akibat rasuah, pecah amanah dan pembaziran. Betapa malangnya apabila amaran nabi agar tidak memilih pemimpin yang tidak berkelayakan seperti zalim dan tidak amanah akan menyebabkan berlakunya huru hara tidak dihirau sedangkan alasan lapuk seperti kenaikan harga gula bagi mendidik rakyat supaya tidak terlalu banyak menggunakan gula bagi menjamin kesihatan boleh diterima bulat-bulat. Jahiliah hanya akan berterusan apabila kejahilan rakyat disuburkan tetapi bila rakyat semakin berilmu serta bijak berfikir maka jahiliah yang zalim semakin lemah dan bakal menyembam tanah bila-bila masa sahaja. Kita semua sebagai umat Islam yang mengaku berpegang dengan quran dan ajaran nabi Muhammad wajib berjuang dan menyumbang dalam mendirikan keadilan dan kehebatan Islam di atas runtuhan jahiliah tersebut.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah..

Kita juga merasa kecewa bila isu agama seperti isu Kristian mahu dijadikan agama rasmi negara dimainkan oleh media dan cuba dijadikan senjata dalam menjaga takhta dan harta sesetengah golongan. Kita akui bagaimana licik dan bersungguhnya Kristian dalam menyebarkan agamanya di negara ini namun untuk memainkan isu yang berunsur fitnah itu bukan menyelesaikan masalah bahkan ia semakin teruk. Pemimpin sepatutnya lebih bersungguh dalam menangani masalah murtad dan kerosakan akhlak akibat hiburan dan cara hidup yahudi dan Kristian yang semakin subur dalam kehidupan seharian umat Islam bermula cara berpakaian, pergaulan bahkan pemikiran. Ini ditambah lagi dengan pengekalan perundangan penjajah dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Rakyat perlu sedar siapa yang bertanggungjawab dalam mengurangkan jumlah bilangan ahli parlimen yang beragama Islam, siapa yang menjadi dalang dalam melemahkan pusat pengajian agama, mahkamah syariah yang semakin dipertikaikan termasuk hukum qazaf yang sedia ada diketepikan, kedudukan mufti yang tidak berkuasa. Sepatutnya Islam yang diiktiraf oleh perlembagaan negara diperkasakan dengan memberi ruang kepada sistem Islam, hukum Islam, undang2 Islam, perundangan Islam untuk dilaksanakan&didaulatkan bukan semakin dimandulkan peranannya.

Sidang Jumaat Sekelian..

Satu perkara lagi yang sangat membimbangkan sebagaimana yang dilaporkan di dalam akhbar the Star bertarikh 22 mei 2011 satu lagi rekod dunia telah tercatat apabila Malaysia disenaraikan di tangga yang ke 10 sebagai pengguna/penggila arak yang terbesar di dunia. PELIK tapi benar, kalau kita lihat di peta dunia, Negara Malaysia ini hanya sebesar habuk kalau nak dibandingkan dengan negara-negara bukan Islam yang lain. Malaysia juga memiliki majoriti rakyat yang beragama Islam. Namun apa yang peliknya, negara ini menduduki "ranking Top 10" peminum arak paling ramai di dunia diulangi. ‘Ranking’ ini telah disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam kenyataan yang telah dibuat oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Heng Seai Kie semasa melancarkan risalah dan seminars dalam “Promote Healthy lifestyle: Reduce Alcohol Harm” anjuran ‘ The Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH). Malaysia dikira hebat meminum arak atau alkohol kalau dibandingkan dengan negara-negara Mat Salleh yang lain kerana saiz penduduknya yang kecil tapi kuat tunggang arak. Kadangkala orang Malaysia ini mabuk dan mereng lebih dari Mat Salleh mabuk khasnya malam-malam di Jalan2 di Kuala Lumpur.

Statistik oleh badan antarabangsa tahun ini juga bahawa Malaysia membelanjakan US$500 juta (RM1.5bilion) untuk alcohol/arak dengan kadar penggunaan per kapita sebanyak 7 liter. Penggunaan beer di Malaysia pula dilaporkan mencecah 11 liter per kapita. Hakikatnya pengambilan alkohol di negara ini semakin serius dan ini tidak termasuk arak-arak haram seperti samsu, todi dan tuak yang diproses dalam ladang-ladang sawit. Jika gejala ini tidak disekat Malaysia akan dilanda Tsunami Alkohol dan akan hanyut lemas dihempas ombak alkohol dan pada ketika itu keadaan sudah terlewat.

Saudaraku Sekelian..

Melihat kepada pelbagai masalah, isu2 semasa, bala daripada Allah yang berlaku di depan mata termasuk tergugatnya Aqidah, terancamnya nyawa manusia, rosaknya keturunan dengan merebaknya zina dan anak zina, rosak akal dengan mabuk arak atau dadah serta rompakan dan kecurian, fitnah-memfitnah, penyebaran video seks, kecelaruan politik, keruntuhan akhlak, berleluasanya maksiat dan mungkar di segenap bumi allah ini, maka tiada ubat paling mujarab kecuali kembali kepada Islam, kembali kepada pemerintahan Islam, kembali kepada perundangan Islam, kembali kepada tunjuk ajar Islam serta ubah pemerintahan sekular sedia ada kepada pemerintahan Islam dan negara Islam yang sebenar dibawah lembayung kepimpinan dan pemerintahan ulamak dalam pilihanraya ke 13 yang semakin hampir tiba.

Pastikan segala ibadat wajib dilaksanakan dengan penuh kualiti sebagai perisai diri daripada terjerumus ke lembah maksiat dan jenayah, seumpama solat kita- biar ada ruh yang mampu mencegah daripada melakukan kemungkaran bukan hanya sekadar menunai perintah wajib sahaja. Pastikan al-Quran bergerak dalam diri dan system kehidupan bukan setakat tergantung di dinding sebagai perhiasan dan tersimpan di dalam almari sebagai koleksi sahaja. Contohilah bagaimana bergerak dan hidupnya al-Quran pada zaman nabi, para sahabat dan pemimpin Islam sebelum ini yang mendatangkan kegemilangan dalam mentadbir dunia dengan agama. Selagi hukum Allah diketepikan maka semakin banyak dan parah bala Allah yang turun silih berganti. Bersamalah dengan panduan Islam dan jemaah Islam nescaya kita bahagia di dunia dan diakhirat.

Dan kalaulah kebenaran itu (terpaksa) tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta Segala Yang adanya. (bukan sahaja Kami memberikan ugama Yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran Yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran Yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya; (Al-Mukminun 71)

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM
KHUTBAH INI DISAMPAIKAN OLEH IBNU MUSLIM DI SURAU AL-IKHLAS BDR SG BUAYA RAWANG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan