Selasa, 14 Jun 2011

HUKUM MAKAN IKAN DAN DAGING MENTAH...

Pagi tadi saya disoal oleh seorang rakan mengenai hukum memakan ikan mentah dan daging mentah, seperti sushi, sashimi dll…Pada saya, isu memakan ikan secara mentah telah selesai, walaupun sesetengah ikan itu masih ada darah. Berdasarkan hukum, pada umumnya memakan ikan mentah tidak diharamkan dan darah yang masih tersisa dalam daging itu bukan termasuk darah yang diharamkan, sebagai pengecualian. Malah, darah ini boleh dibuang atau dibersihkan.

Cuma kebiasaan masyarakat Melayu kita tidak memakan ikan mentah. Ulama Syafi'e dan Hanafi menganggap darah ikan tidak najis dan halal dimakan, karena pada konsepnya darah tidak lebih utama daripada bangkai. Oleh itu, jika bangkai ikan boleh dimakan tentu darahnya juga boleh. Bagaimanapun ulama Maliki dan Hanbali menganggapnya najis sebagaimana lazimnya darah.

Begitu juga dalam persoalan ikan yang mati tanpa sebab, Mazhab Hanafi berpandangan tidak boleh dimakan ikan ini karena termasuk bangkai. Berlainan dengan pandangan majoriti ulama yang lain iaitu segala haiwan yang hidup di air hukumnya boleh dimakan karena termasuk kategori ikan.

Dalil yang membolehkannya adalah nas Al-Qur'an surah al-Ma'idah, ayat 96 "Dihalalkan untukmu sekalian hewan buruan laut dan makanan laut", juga hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan Tirmidzi dan lain-lainnya "laut, airnya mensucikan dan halal bangkainya" (هو الطهور ماؤه الحل ميتته) dan hadis Jabir yang menceritakan perjalanan pasukan perang Muslimin yang kehabisan makanan, kemudian mereka menemukan bangkai ikan paus lalu mereka beramai-ramai memakannya. Sesampai di Madina mereka pun menceritakan kejadian tersebut kepada Rasulullah dan Beliau berkata "Makanlah rezeki yang dikeluarkan oleh Allah untuk kalian" (H.R. Bukhari dan Muslim).

Pandangan yang ganjil sedikit dalam mazhab Syi'ah bahawa memakan ikan adalah makruh, apalagi banyak makan ikan, kerana dalil Hadis yang mengatakan "Daging ikan segar menyebabkan badan lemah" (Wasail al-Syi'ah, Muhammad Hasan al-'Amili (1104 H.), jilid 17, hal. 54). Ini mengenai ikan.

Bagaimana dengan daging mentah? Setakat ini perbincangan fiqh tentang daging ialah ia mesti disembelih tanpa membincangkan lebih lanjut bagaimana menguruskan (masak) daging yang telah disembelih tadi..justeru, selagi tekak tidak jijik dan kesihatan tidak tergugat, makanlah mengikut selera yang ada. Kebiasaannya daging mentah dimakan dalam bentuk hirisan nipis atau “ham” dan dimakan seperti sushi etc. So, makanlah…tambah lauk tu hehehe…
http://tintapendeta.blogspot.com/2007/10/makan-ikandaging-mentah.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan