Khamis, 16 Jun 2011

Harus ‘berduaan’ dalam kereta dengan syarat : Mufti Mesir

Oleh: Shamsul Muda

Mufti Mesir, Al-Allamah Syaikh Ali Jum’ah ditanya tentang hukum seorang wanita menaiki sebuah kereta bersama seorang lelaki.

Apakah dibolehkan sedangkan dalam kereta tersebut, hanya terdapat mereka berdua sahaja, iaitu seorang lelaki dan seorang lagi wanita?

Menjawab soalan itu, Syaikh Ali Jum’ah menfatwakan, secara dasarnya, seorang wanita BOLEH menaiki kereta bersama seorang lelaki.

Tapi dengan tiga syarat berikut:

Pertama: Memelihara pancaindera daripada melakukan perkara yang haram;

Kedua: Tidak pergi ke tempat yang mewujudkan khalwat; dan

Ketiga: Tidak bermusafir kecuali disebabkan darurat atau keperluan yang berada pada kedudukan darurat.

Justeru, ‘berduaan’ dalam kereta yang TIDAK melibatkan pelanggaran kepada ketiga-tiga syarat di atas, adalah HARUS.

Teks asal fatwa beliau itu adalah seperti berikut (Rujuk :
http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=3692&LangID=1):

إذا كنت تسأل عن الحكم الشرعي لركوب امرأة مع رجل وحدهما في سيارة فالأصل في ذلك الجواز إذا كانت الضوابط الشرعية مراعاة والحدود الدينية محترمة، بالحفاظ على الحواس أن تقتحم ما حرم الله، وبعدم الخروج إلى أماكن التي تتحقق معها الخلوة الممنوعة، وبعدم التلبس بالسفر إلا من ضرورة أو حاجة شديدة تنزل منزلة الضرورة، ويبقى الجواز قائما ما لم تقتحم الحرمة الشرعية

Terjemahan :

“Jika anda bertanya tentang hukum syarak berkenaan wanita menaiki sebuah kereta bersama seorang lelaki, maka [jawabnya] prinsip asas [yang diguna pakai] dalam [perkara] itu adalah harus [melakukannya] jika peraturan-peraturan syarak dipelihara dan batasan-batasan agama dihormati, [iaitu] dengan [cara] memelihara pancaindera daripada menceroboh apa yang diharamkan Allah, tidak keluar ke tempat-tempat yang mewujudkan [suasana] khlawat yang ditegah dan [dengan cara] tidak bermusafir melainkan disebabkan darurat atau keperluan yang mendesak yang berada pada kedudukan darurat. [Justeru] keharusan [‘berduaan dalam kereta] kekal wujud selama mana tidak dicerobohi kehormatan syarak”.

Perincian
Syaikh Ali Jum’ah tidak pula memperincikan ketiga-tiga syarat di atas.

Bagi tujuan memperjelaskan lagi fatwa beliau itu, boleh dinyatakan bahawa ‘memelihara pancaindera daripada perkara yang haram’ ialah menjaga pandangan. Iaitu tidak melihat kepada ‘pasangan’ dengan nafsu syahwat. Juga mengelakkan bersentuhan antara satu sama lain.

Sementara syarat kedua, iaitu tidak pergi ke tempat yang mewujudkan suasana khalwat, ialah seperti pergi ke tempat sunyi.

Adapun ‘berduaan’ dalam kereta ditengah-tengah bandar atau kawasan manusia lalu lalang, ia tidak menjadikan ‘berdua-duan’ dalam kereta itu sebagai khalwat.

Melalui syarat ketiga, dapat difahami, seorang wanita boleh menaiki kereta bersama seorang lelaki untuk pergi ketempat yang dekat, yang tidak dinamakan pada adat sebagai musafir.

Perlu disebutkan di sini, yang dimaksudkan ‘berduaan’ di sini ialah ‘seorang wanita berada dalam sebuah kereta dengan seorang lelaki’. Bukannya ‘berduaan’ dengan maksud memadu kasih atau ‘berduaan’ untuk melakukan maksiat.

Di akhir fatwa beliau, Syaikh Ali Jum’ah turut menyatakan, tidak menjadi satu kesalahan seseorang itu menjauhkan perkara-perkara harus disebabkan takut terjebak dalam perkara haram.

Para salaf sendiri, menurut beliau, meninggalkan 70 ‘pintu’ halal disebabkan bimbang terjerumus dalam perkara yang haram.

Walau bagaimana pun, sambung beliau lagi, ‘meninggalkan perkara harus kerana takut terjebak dalam perkara haram’, adalah harus selama mana seseorang itu tidak mengharamkan perkara harus tersebut (rujuk link yang disertakan untuk maklumat lanjut).

Wanita duduk di sebelah lelaki

Perkara lain yang berkaitan dengan tajuk tulisan ini ialah hukum wanita duduk bersebelahan lelaki dalam bas atau pengangkutan awam.

Menurut fatwa Syaikh Abdul Karim Zaydan, harus bagi wanita duduk di sebelah lelaki dalam pengangkutan awam disebabkan keadaan memaksanya berbuat demikian.

Beliau menyatakan (Zaydan (1994), Al-Mufassal Fi Ahkam al-Mar’ah, cet. Ke-2, Beirut : Muassasah al-Risalah, jld.3, ms.429)

يجوز للمرأة الخروج من بيتها لقضاء أشغالها المشروعة...فتضطر إلى ركوب السيارة العمومية...فتجلس بجنب أحدهم أو تقف بجنبه...وهذا الإختلاط تسوغه الحاجة المشروعة.

Terjemahan : “Harus bagi wanita keluar dari rumahnya bagi [tujuan] menunaikan urusannya yang perakui syarak…maka dia terpaksa menaiki kenderaan awam…lalu duduk disebelah salah seorang daripada mereka (iaitu penumpang lelaki) atau berdiri di sebelahnya…ini adalah ikhtilat yang menjadi harus disebabkan keperluan yang diperakui syarak”.

Wallahu a’lam.

[Artikel ini dikirim oleh penulis melalui e-mail. Blog beliau boleh dilayari di

al-ahkam.net
http://warisan-semasa.blogspot.com/]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan