Selasa, 3 Mei 2011

Tak Harus Solat Ghaib Bagi Jasad Tidak Ditemui

Soal Jawab Agama: Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
bhagama@bharian.com.my

BOLEHKAH jelaskan mengenai solat ghaib kerana banyak kekeliruan soal masa dan cara ia dilakukan. Bagaimana cara solat pada jenazah yang sudah dikebumikan.
Bagaimana pula mengenai si mati yang hilang dan tidak ditemui jasadnya atau rosak jasadnya. Apakah jasad akan dimandikan dan disolatkan???  RADHI, Beruas, Perak. http://www.mukmin.com.my/baca.php?kategori=12&id=1364

JAWAPAN:

SOLAT ghaib adalah solat terhadap jenazah yang jauh atau telah dikebumikan dan tiada kesempatan untuk ahli keluarga si mati untuk menyembahyangkannya. Solat ghaib berlaku jika si mati berada jauh di seberang laut atau pada kadar dua marhalah (90km). Jika kurang dari dua marhalah maka solat tidak diharuskan.

Jika kematian seseorang hanya diketahui selepas dikebumikan jenazahnya maka diharuskan solat dilakukan di atas kubur si mati.

Solat ghaib disunatkan ketika mendengar berita kematian seseorang dan jika berlalu masa yang panjang maka ia tidak disunatkan dan ada pendapat mengatakan tidak sah.

Cara melakukan solat ghaib sama seperti solat jenazah biasa cuma perbezaannya ialah:
1) Niat di hati untuk menunaikan solat ghaib.

2) Jenazah tidak berada bersama jemaah yang solat.

Bagi yang tidak berkesempatan solat, diharuskan solat jenazah di atas kubur si mati dengan niat yang sama seperti solat jenazah biasa.

Kitab ulama Syafie menjelaskan mengenai diharuskan solat ghaib dan solat jenazah di atas kubur selepas dikebumikan selain daripada nabi. Adapun tempoh masa solat ghaib dikira ketika mendengar berita kematian atau pada hari yang sama. Adapun doa untuk si mati tidak ditentukan masa dan ada pendapat mengatakan bahawa maksud dari solat itu sendiri ialah doa untuk si mati dan diharuskan walaupun berlalu masa yang panjang.

Ketika Nabi Muhamad mendengar berita kematian Najashi (Raja Yaman) yang memeluk Islam maka Baginda dan sahabat melakukan solat ghaib. Berdasarkan peristiwa ini, maka solat ghaib adalah diharuskan. (Kitab Subulas Salam).

Oleh demikian Imam Syafie, Ahmad dan majoriti ulama� terdahulu seperti Ibnu Hazm menegaskan, solat ghaib adalah diharuskan dan tiada seorangpun daripada sahabat selepas kewafatan baginda mencegah daripada melakukan solat ghaib. (Fathul Bari).

Bagaimanapun, ada pelbagai pendapat ulama� antaranya:

1) Imam Syafie, Ahmad dan seangkatan dengannya berpendapat bahawa solat ghaib adalah disunatkan pada hari kematian berdasarkan peristiwa di atas.

2) Imam Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa tidak disunatkan solat ghaib kerana ketiadaan jenazah dan digalakkan berdoa saja untuk simati.

3) Diharuskan solat ghaib pada hari kematian atau baru menerima berita meninggal seseorang dan cukup hanya niat untuk simati. (Fathul Wahhab).

4) Sebahagian ulama berpendapat bahawa diharuskan solat ghaib jika negeri si mati berada diarah kiblat dan tidak diharuskan jika berada di arah bertentangan.

Namun, majoriti ulama bersepakat, doa supaya diampunkan dosa si mati serta diangkat darjatnya di sisi Allah dan sebagainya adalah diharuskan dan tidak dihadkan bagi tempoh masa tertentu.

Bagi si mati yang tidak ditemui jasadnya seperti tertimbus atau hilang, maka solat ke atasnya tidak diharuskan kerana jasad tidak dapat dimandikan. Jika jasad itu cedera atau rosak seperti disebabkan kemalangan dan tidak dapat dimandikan, maka jasad akan ditayamumkan dan disembahyangkan seperti jenazah biasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan