Selasa, 3 Mei 2011

Solat Berpakaian Jarang Nampak Aurat

Assalamualaikum...
Saya ingin bertanya ttg org yg solat dgn memakai pakaian yg jarang sehingga terbayang aurat tertentu.Adakah sah solatnya?Kalau tidak, adakah saya kena qada solat yg saya buat dalam keadaan demikian.Bagaimana saya nak qada sedangkan dah lama berlalu dan tak ingat.

***********************
وعليكم السلام و رحمة الله وبركاته
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.

Sebagai mana yang kita maklumi bersama , di antara syarat-syarat yang menentukan sesuatu sembahyang itu dipandang sah menurut syariat Islam ialah : MENUTUP AURAT .

Menutup aurat di sini ialah : Menutup Aurat Secara SEMPURNA kerana itulah tuntutan syariat .

Oleh itu jika seseorang itu sembahyang dengan memakai kain sarung yang nipis , maka sembahyangnya tidak sah .

Jika seseorang itu memakai kain telekung yang tebal , akan tetapi kain sarungnya nipis sehingga ternampak auratnya di dalam , maka solatnya itu tidak sah .

Tidak sah kerana auratnya itu masih dapat dilihat secara pandangan biasa sedangkan perintah menutup aurat diperintahkan agar terlindung aurat kita daripada pandangan orang .

Maka sembahyang yang tidak sah itu mestilah diganti semula . Kalau ianya diganti di dalam waktu itu juga ( masih di dalam waktu semabahyang itu sendiri ) maka ia dinamakan I’ADAH . Dan kalau ianya diganti diluar waktu sembahyang itu , maka ia dinamakan QODHO’ .

Bagaimana hendak Qodho’ jika seseorang itu sudah terlupa berapakah jumlah sebenar sembahyang yang dilakukan secara tidak sah itu ? .

Jawapannya : Hendaklah diqodho’ setakat yang dia ingat , dan kalau dia syak-wasangka adakah dia tertinggal sembahyang sebanyak 5 waktukah ataupun 7 waktu , maka hendaklah dipilih yang maksima ( 7 waktu itu ) . Dan begitulah seterusnya . Bandingkanlah dengan akal yang sempurna di bawah petunjuk wahyu Ilahi .

Dan sesungguhnya Allah Ta’ala tidak membebankan kewajipan sesuatu amalan itu melainkan yang memang mampu untuk dilaksanakan oleh hamba-hamba-Nya .

Silalah merujuk kembali ke dalam kitab-kitab Fiqh untuk mengetahui masalah ini . Kami cadangkan saudara mendapatkan FIQH al-ISLAMI WA ADILLATUH ( oleh : al-‘Allamah Prof. Dr . Wahbah az-Zuhaily ~ sudah diterbitkan oleh DBP ) dan juga FIQH as-SUNNAH ( oleh : Almarhum al-‘Allamah Syeikh Saiyid Sabiq rh ~ sudah diterjemahkan ke dalam B. Indonesia ) .

Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A'alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

و صلّى الله على سيّدنا محمّد و على آاله و صحبه و سلّم والحمد لله رّب العالمين

Tiada ulasan:

Catat Ulasan