Jumaat, 20 Mei 2011

KANAK-KANAK BERADA DALAM SAF LELAKI DEWASA

Jawapan Mufti Brunei :

KANAK-KANAK BERADA DALAM SAF LELAKI DEWASA

Apa yang ingin dijelaskan di sini ialah mengenai hukum kanak-kanak lelaki yang belum baligh dan belum berkhatan berada di dalam saf orang lelaki dewasa. Adakah kehadiran mereka itu merosakkan saf atau fadhilat sembahyang berjemaah dan adakah boleh dikeluarkan mereka itu dari saf tersebut supaya diisikan tempatnya itu oleh lelaki dewasa?

Dalam kumpulan fatwa Imam Ibnu Hajar, menurut qaul yang muktamad, bahawa kanak-kanak lelaki apabila mereka mendahului orang-orang yang baligh ke saf yang pertama, tiada harus (tidak boleh) bagi orang-orang yang baligh itu mengeluarkan mereka dari saf yang pertama itu, kerana kanak-kanak lelaki itu adalah jenis orang lelaki.

Seterusnya Ibnu Hajar menerangkan bahawa bukanlah maksud kanak-kanak lelaki datang dahulu itu sebagai kehadiran mereka terlebih dahulu ke masjid daripada orang dewasa tetapi maksudnya mereka hanya mendahului pada saf yang pertama sekalipun sebelum didirikan sembahyang. Maka pada ketika itu tidaklah boleh diketepikan kanak-kanak lelaki dari saf mereka untuk diberikan kepada lelaki dewasa.

Daripada perkataan Imam Ibnu Hajar di atas ini, apabila kanak-kanak lelaki datang ke masjid dan dia telah duduk di dalam mana-mana saf sembahyang dengan tujuan hendak sembahyang mengikut imam, sama ada sembahyang Jumaat atau sebagainya, maka orang dewasa tidak boleh mengalih dan mengeluarkan kanak-kanak lelaki tersebut dari saf-saf mereka itu.

Adapun hukum kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan yang tidak diketahui adakah dia membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau tidak, apabila dia berada dalam saf tersebut, adakah ianya merosakkan saf dan adakah sedemikian itu menghilangkan fadhilat pahala berjemaah, berkata Al-Imam Al-Sayyid Abdullah bin Umar bin Abu Bakar bin Yahya di dalam kitab Bughyah Al-Mustarsyidin:

Jika ada di dalam saf sesiapa yang tidak sah sembahyangnya seperti ada najis padanya, atau ada lahn (seperti tidak betul bacaan Fatihahnya) atau ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian, maka tiadalah luput fadhilat (tidak hilang kelebihan pahala) berjemaah ke atas orang-orang yang berdiri di belakang mereka, sekalipun lebih jauh saf mereka dari saf orang yang sah sembahyangnya, sekadar boleh muat seorang berdiri pada masalah yang pertama (iaitu ada najis padanya atau ada lahn) dan lebih jauh dari tiga hasta pada masalah yang kedua (iaitu ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian). Kecuali, jika orang-orang yang berada pada saf-saf di belakang itu mengetahui akan batal sembahyang orang yang tersebut itu dan sembahyangnya itu tidak sah pada pendapat ulama yang sah bertaklid padanya dan mereka berkuasa mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka itu dari saf-saf mereka dengan tiada takut (apa-apa kemudaratan) ke atas diri atau harta atau nama (apabila mereka mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka dari saf-saf mereka itu). Kerana fadhilat pahala berjemaah boleh diperolehi dengan mengikut seorang imam yang mana makmum tidak mengetahui imam itu berhadas (padahal dia berhadas). Adalah lebih utama tidak mengetahui akan batal sembahyang orang-orang yang dia tidak ada sangkut paut di antaranya dan di antara orang yang batal sembahyangnya itu, dan kerana berjauh-jauh (dari satu saf kepada satu saf) dengan ada suatu keuzuran seperti panas (seperti di Masjid Al-Haram ada saf jauh-jauh dan putus kerana panas terik matahari pada tempat-tempat lapang), tidak meluputkan fadhilat berjemaah. Maka begitu juga di sini (makmum yang batal sembahyangnya berada dalam saf-saf sembahyang) dan kerana dia berhak di tempat itu dengan sebab dia telah datang dahulu serta taklidnya yang mengatakan sah sembahyang dan begitu juga jika dia tidak bertaklid (kepada mana-mana ulama) di atas asas bahawa orang awam itu tiada mempunyai mazhab.

Maka dari itu diketahui, bahawa barangsiapa telah berada di dalam saf, tidak harus (tidak boleh) diketepikan dia itu dari safnya, melainkan jika diketahui sembahyangnya batal dengan ijma ulama, atau dia beriktikad bahawa sembahyang orang itu rosak ketika dia mengerjakan sembahyangnya itu.

Maka jika didapati kanak-kanak lelaki yang dibawa oleh bapanya duduk dalam mana-mana saf sembahyang dan tidak diketahui kanak-kanak itu sudah berkhatan atau belum, dan tidak diketahui sama ada dia telah membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau belum, maka menurut pendapat atau fatwa Al-Allamah Al-Sayyid Abdullah bin Yahya yang di atas ini perkara itu tidak meluputkan fadhilat sembahyang berjemaah dan sah sembahyang orang yang berada dekat dengan kanak-kanak itu di dalam saf-saf itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan