Sabtu, 14 Mei 2011

HUKUM BEKERJA DI KEDAI / TEMPAT YANG MENJUAL ARAK

Dengan Nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan Salam atas Rasulullah SAW: amma ba’d;

HUKUM MINUM DAN JUAL ARAK
Sesungguhnya keharaman arak, telah dinyatakan oleh Allah dengan firman-Nya;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)” (surah Al-Maidah : 90-91)

Sesungguhnya Allah melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak, iaitu berdasarkan kepada Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas;

أن النبي صلى الله عليه وسلم أتاه جبريل فقال‏:‏ يا محمد إن الله لعن الخمر وعاصرها ومعتصرها‏،‏ وحاملها والمحمولة إليه وشاربها وبائعها‏،‏ ومبتاعها وساقيها‏

Maksudnya;
“Sesungguhnya Nabi SAW didatangi oleh Jibril lalu berkata : Wahai Muhammad, Sesungguhnya Allah melaknat arak dan pemerahnya, Orang yang meminta memerahnya, pembawanya, yang dibawa kepadanya, peminumnya, penjualnya, pembelinya dan penuangnya” (hadis riwayat At-Tarmizi, Abu Daud dan Hakim. Telah mensahehkannya oleh Syaikh Albani didalam “saheh Jamik Saghir (2/907))

Dari firman Allah dan Hadis yang tersebut, jelas kepada kita bahawa arak adalah sesuatu yang diharamkan oleh Allah.

BEKERJA DI PASARAYA /KEDAI YANG ADA MENJUAL ARAK
Fuqaha’ telah menetapkan kaedah umum, iaitu ;

أن للوسائل أحكام المقاصد

Maksudnya;
“Sesungguhnya, bagi (hukum) Wasilah (perantara) seperti hukum maqasid (tujuan)”

Maka dengan demikian, setiap perkara yang membawa kepada haram, maka ianya dikira sebagai haram dalam apa jua bentuk sekalipun, ini kerana, ianya dibawah ketegori ta’awun (Bantu membantu) dalam melakukan dosa.

Firman Allah ;

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya;
“Bantu membantulah kamu dalam melakukan kebajikan dan ketaqwaan, dan jangan kamu Bantu membantu dalam perkara dosa dan permusuhan” (surah Maidah : 2)

Imam Al-Izz Bin Abdus Salam menyatakan didalam kitab Qawaid Al-Ahkam ;

للوسائل أحكام المقاصد فالوسيلة إلى أفضل المقاصد هي أفضل الوسائل والوسيلة إلى أرذل المقاصد هي أرذل الوسائل

Maksudnya;
“Bagi Wasail (perantara) adalah hukum maqasid. Wasilah kepada maqasid yang afdhal adalah seafdhal-afdhal Wasail. Dan Wasilah kepada seburuk-buruk Maqasid adalah seburuk-buruk Wasail” (lihat Qawaid Al-Ahkam (1/46)

Dari kaedah ini, difahami bahawa setiap perkara yang membawa kepada haram, maka perkara tersebut dikira sebagai haram juga.

Sekiranya bank yang mengamalkan system riba adalah sesuatu yang diharamkan, maka semua tindakan kearah memajukan bank tersebut dikira sebagai haram. Seperti orang yang bekerja sebagai akauntannya, scuritinya, juru kira-kiranya dan seterusnya.

Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW;

لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم آكل الربا ومؤكله وكاتبه وشاهديه وقال : هم سواء
رواه مسلم

Maksudnya;
“Melaknat oleh Rasulullah SAW akan pemakan riba, pewakilnya, penulisnya dan dua saksinya. Dan berkata: mereka (semuanya) adalah sama (dari segi dosa)” (hadis riwayat Muslim)

Begitujuga, hukum haram kepada orang yang menjual dan bersekongkol dalam memajukan arak.

Ini dikuatkan dengan sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang saheh;

إن الله تعالى حرّم بيع الخمر والميتة والخنزير والأصنام

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah ta’ala mengharamkan Jual Arak, bangkai, Khinzir dan Patung berhala” (hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berkata As-Syaikh Ibnu Quddamah Al-Muqaddasi dalam mensyarahkan perkataan Al-Khurqi;

‏وبيع العصير ممن يتخذه خمراً باطل

Maksudnya;
“menjual perahan (anggur atau apa pun) kepada orang yang mengambilnya (untuk dijadikan) arak, adalah batil”

Sebahagian Ulama Syafiiyyah berpendapat, menjual perahan (anggur) kepada orang yang hendak menjadikan arak adalah haram. Tetapi makruh sekiranya disangsikan untuk dijadikan arak.

Berkata As-Syaikh Ibnu Quddamah ;

“Begitulah hukum pada tiap-tiap perkara yang diqasadkan kepada yang haram, seperti menjual senjata kepada ahli harb (orang yang mesti diperangi) atau kepada qutta’ at-tariq (perompak tengah jalan), atau pada melakukan perkara fitnah, dan menjual akan alat muzik atau menyewakannya (untuk dijadikan alat melalaikan) atau menyewakan rumahnya untuk menjual arak padanya, atau menyewakan rumah untuk dijadikan gereja atau rumah api (untuk orang majusi) dan yang seumpama dengannya. Maka semua ini adalah haram dan aqadnya juga batal” (Al-Mughni : 4/207)

APA YANG HENDAK DIBUAT DENGAN HARTA HARAM?

Setiap harta yang terhasil dari pekerjaan haram, wajib di bersihkannya dengan di habiskan kepada bentuk kebajikan dan untuk kemaslahatan umum, seperti diberikan kepada fakir miskin, orang yang memerlukan, anak-anak yatim, muassasah kemasyarakatan atau seumpama dengannya.

Tidak harus kepada pemilik harta haram itu membelanjakan harta tersebut untuk dirinya, isterinya dan semua tanggungannya.

Harta haram tersebut tidak boleh dibuang dan dibazirkan, ini kerana perbuatan tersebut dilarang oleh Syarak.

Harta tersebut juga, mesti diambil dari pihak pemberi gaji, ini kerana, sekiranya tidak diambil, pihak ‘pemberi gaji’ akan menggunakan duit tersebut kepada menguatkan lagi usahanya kepada perkara yang haram.(lihat ulasan Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitab “Fatawa Maasarah” (1/606))

Maka dengan demikian, duit yang terhasil dari perkara haram, adalah haram bagi diri pekerja dan diri ‘pemberi gaji’. Oleh itu, wajib kepada pekerja mengambil duit tersebut dan diberikan kepada tempat-tempat kebajikan, seperti rumah anak yatim, fakir miskin dan sebagainya.

KESIMPULAN
Ingatlah sabda Rasulullah SAW dari hadis yang diriwayatkan oleh An-Nu’man bin Basyir RA;

الحلال بين والحرام بين وبينهما أمور مشتبهات فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه

Maksudnya;
“Halal itu jelas dan haram itu jelas. Dan diantara kedua-duanya adalah perkara yang kesamaran. Barangsiapa yang takut (menjauhi) perkara syubhat (kesamaran), maka sesungguhnya dia telah membersihkan bagi agamanya dan maruahnya” (muttafaqun Alaih)


Kepada sesiapa yang mempunyai kawan yang masih lagi bekerja di tempat-tempat yang bergelumang dengan perkara haram, wajib kepadanya menasihati kawan-kawannya itu agar mencari rezki dan bekerja di tempat yang lain.

Pesanlah kepada mereka dengan firman Allah;

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya;
“Barangsiapa yang takutkan Allah, nescaya Allah jadikannya jalan keluar dan merezkikannya dari sudut yang tidak disangka-sangka. Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka itu memadainya. Sesungguhnya Allah menyampaikan urusannya, sesungguhnya Allah menjadikan bagi setiap perkara dalam keadaan berkuasa” (surah At-Talaq : 2-3)

Begitujuga, firman Allah lagi

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْراً

Maksudnya;
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah jadikan kepadanya dari urusannya menjadi mudah” (surah At-Talaq : 4)

Wallahu A’lam

One_G
Laptopdarulfiqh

16 ulasan:

  1. jadi haram sekiranya kite bekerja di pasaraya besar seperti Tesco, Jusco, Giant dan Carrefour kerana ada jual arak?

    BalasPadam
  2. giant mmg ad jual arak, tp bhg arak diasingkan & kaunter ya jual arak juga diasingkan & dijaga oleh orang bukan islam.

    BalasPadam
  3. giant mmg ad jual arak, tp tmpt jual arak di asingkan, org yg jage kaunter jual arak pn di asingkan & pekerjanya drpd non muslim.

    BalasPadam
  4. kalau keje kat kedai pool/snooker macam mane?
    boleh tak?

    BalasPadam
  5. kalau keje kat kedai pool/snooker macam mane?
    boleh tak?

    BalasPadam
  6. Hukum bekerja di kdai pool adalah harus. Ianya akan menjadi haram jika disertakan dengan unsur-unsur perjudian, pergaulan bebas lelaki perempuan, mengundang gejala sosial seperti berkumpulnya gangster, perjudian, pelajar ponteng dan sebagainya…

    Jika tiada unsur2 yg menyalahi syarak maka diharuskan..jika ada unsur2 yg menyalahi syarak maka haram.. wallahuaqlam

    BalasPadam
  7. Salam

    Suami saya bekerja di sebuah pasaraya yang ada menjual sebahagian kecilnya adalah arak.Jawatan suami saya adalah Juruteknik Komputer dan lantaran kekurangan staff suami saya bersama seorang lagi rakannya yang adalah seorang Bukan Muslim disuruh untuk menguruskan bahagian arak tersebut.Apakah Hukum bagi situasi suami saya.Untuk Pengetahuan juga, kami mempunyai 3 orang anak yang masih kecil dan kami memerlukan pendapatan suami saya untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga.

    Pertanyaan ini saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.

    BalasPadam
  8. to azura: jika terlibat dgn arak maka pendapatan bercampur dgn yg haram - maka haram.. bgtau suami buat keje dia je yg xtlbt arak.. semua tu mjadi penyebab tiada berkat dlm rezeki serta mjdi rosak kpd anak2 krn ia mlbtkn darah daging.. jg mnjadi pnyebab doa ditolak oleh allah.. wassalam

    BalasPadam
  9. As-salam,
    Sekiranya saya bekerja sebagai kerani di pasaraya yg ada menjual arak, bagaimana? Saya tidak terbabit dalam penjualan arak tetapi mungkin terlibat dalam kerja2 perkeranian..saya perlu berkerja dan tmpt ini sahaja yg dpt menyediakan peluang pekerjaan kpd saya memandangkan saya tinggal di pekan kecil.

    BalasPadam
  10. waalaikumussalam

    jika peratus barang yg haram tu sikit shj (cthnya- 5% shj) dan peratus barangan yg halal lbh byk dan tuan tidak terlibat dgn urusan yg bkaitan dgn arak maka xde masalahla.. tq

    BalasPadam
  11. Salam, saya bekerja sebagai kerani merangkap pengurus di Pasaraya yg baru d buka dan majikan saya berbangsa cina,pasaraya itu ada menjual minuman keras dlm tin dlm 5%,
    bagaimanakah situasi saya di situ mengikut hukum syarak?

    BalasPadam
  12. Bagaimana pula arkitek/interior designer yg terpaksa ditugaskan oleh syarikat international, naungannya untuk merekabentuk pub & bar, rak botol arak dsb? Bolehkah membersihkan duit gaji yg diterima dgn bersedekah/zakat/bayar bil rumah yang tak melibatkan makan minum?

    BalasPadam
  13. Salam,

    1) Bagaimana jika bekerja dipusat snooker/pool yang kebanyakkannya memang menjual arak walhal pekerja islam tersebut hanya menjaga bahagian maintenance or selain dari cashier.

    2) Bagaimana dengan pekerja islam yang bekerja sbg pramugara/pramugari dalam syarikat penerbangan yang memang menyediakan arak.

    3) Bagaimana pula dengan pekerja islam yang bekerja di HOTEL bukan milik ISLAM puratanya yang mmg diketahui ada arak?

    Adakah ia juga dibolehkan sekiranya perkiraan perkara halal lebih dari haram.

    BalasPadam
  14. Salam.. Kawan saya kerja sebagai bartender dan saya dah nasihatkan dia supaya tinggalkan pekerjaan tersebut.. Adakah saya dikira sebagai bersubahat dan mendapat dosa?? Terima kasih..

    BalasPadam
  15. Terima kasih bg info yg sgt berguna ini tapi bukankah duit haram tidak boleh digunakan ke arah kebaikan seperti yg ustaz nyatakan duit haram tersebut perlu di sumbangkan kpd fakir miskin . Ustaz saya berpesan duit haram itu perlu disumbangkan kpd tempat yg digunakan utk kegunaan org awam contohnya , jalan raya atau tandas awam asalkan tidak digunakan ke arah kebaikan selagi berunsur haram . Wallahualam jika salah sila tegur saya :)

    BalasPadam
  16. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam 2009


    Melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:

    “Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

    i. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

    ii. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

    iii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”.


    WALLAHUAQLAM

    BalasPadam