Rabu, 6 April 2011

Surah Yang Dibaca Oleh Rasulullah saw dalam Solat

Bacaan Dalam Solat Perlu Tertib
BOLEHKAH ustaz senaraikan surah yang perlu dibaca dalam solat? Apakah benar panjang pendek sesuatu surah itu akan menentukan kedudukannya sama ada di rakaat awal atau akhir.

*********************
Ustaz Zahazan Mohamed
BACAAN surah dalam solat hendaklah dibaca dengan tertib dan tartil serta dibezakan bacaan dengung suara antara sebutan rahmat dan sebutan azab, antara sebutan tahmid (memuji) dengan sebutan tamjid (memuliakan), antara sebutan wa'du (janji baik untuk yang taat) dengan wa'id (janji jahat untuk yang ingkar). Jika kita melakukan sedemikian, barulah solat kita dikatakan berbekas pada jiwa dan perasaan.

Begitu juga hendaklah kita berhenti (waqaf) pada tiap-tiap ayat, atau di tempat yang dipandang baik berhenti pada tempat itu.

Mengenai soal memanjangkan atau memendekkan surah yang dibaca iaitu Rasulullah SAW kadang-kala membaca surah panjang, sederhana dan kadang-kadang pendek. Baginda SAW membaca bersesuaian dengan keadaan ketika itu.

Rasulullah SAW juga sentiasa membaca surah dari awal, tidak pernah Baginda memulakan bacaan pada pertengahan surah atau pada akhir surah. Baginda SAW kadang-kadang menghabiskan bacaan surah di pertengahan surah itu pada satu rakaat saja, dan kadang-kadang Baginda berhenti di pertengahan surah dan Baginda menamatkannya di rakaat kedua.

Tidak ada riwayat yang menyatakan Nabi SAW membaca satu atau dua atau tiga ayat daripada satu-satu surah, atau membaca akhir surah melainkan di solat sunat fajar (Subuh).

Pada solat sunat fajar (Subuh), Nabi SAW membaca di rakaat pertama satu ayat pada surah al-Baqarah, iaitu ayat 136. Pada rakaat kedua sunat fajar (Subuh), Baginda membaca satu ayat pada surah Ali Imran ayat 64.

Rasulullah SAW pernah membaca satu surah di kedua-dua rakaat, seperti mana Baginda pernah membaca kedua-dua surah tiap-tiap rakaat. Umpamanya, Rasulullah SAW pernah membaca surah al-A'raf pada solat Maghrib, sebahagiannya Baginda baca di rakaat pertama dan sebahagian lagi dibaca pada rakaat yang kedua.

Rasulullah SAW pernah membaca surah al-Zalzalah di kedua-dua rakaat solat Subuh. Rasulullah SAW pernah membaca kedua-dua surah daripada surah al-Mufashshal, pada satu-satu rakaat.

Rasulullah SAW pernah memanjangkan bacaan ketika solat Subuh setiap hari, lebih panjang daripada solat fardu yang lain pada hari itu.

Rasulullah SAW pada setiap solat ghalibnya (lazimnya) memanjangkan bacaan surah pada rakaat pertama dibandingkan rakaat kedua.

Surah terpendek yang Baginda baca pada solat Subuh ialah Surah Qaf dan surah yang ukuran sepertinya. Menurut keterangan yang sahih, bacaan ketika solat Subuh itu, lazimnya sebanyak 60 hingga 100 ayat (iaitu bagi tiap-tiap rakaat).

Di solat Subuh pada pagi Jumaat, Baginda tetap membaca pada rakaat pertama Surah as-Sajadah dan di rakaat kedua, membaca surah al-Insan. Baginda membaca dengan lengkap, tidak pernah Baginda membaca setengahnya saja.

Pada solat Zuhur, Rasulullah SAW membaca (panjangnya) 30 ayat (seperti panjang surah as-Sajadah). Rasulullah SAW juga membaca pada solat Zuhur surah al-A'la dan al-Lail atau Surah al-Buruj dan surah At Taariq dan seumpamanya.

Ketika solat Jumaat, Rasulullah SAW biasa membaca surah al-Jumaah pada rakaat pertama dan surah al-Munafiqun pada rakaat kedua. Adakalanya Baginda SAW membaca surah al-A'la dan al-Ghasyiah.

Ketika solat Asar, Rasulullah SAW membaca sekadar 15 ayat pada tiap rakaat. Ketika solat Maghrib Rasulullah SAW membaca surah al-A'raf, surah at-Thur, surah al-Mursalat dan surah ad-Dukhan. Baginda tidaklah terus menerus membaca surah yang pendek.

Ada riwayat yang mengatakan Rasulullah SAW membaca surah al-Kaafirun dan surah al-Ikhlas. Riwayat ini hanya diterima daripada Ibn Majah, kerana itu tidak dapat dipandang sahih. Riwayat yang sahih adalah Rasulullah SAW membaca surah al-Kaafirun dan al-Ikhlas dalam solat Maghrib.

Ketika solat Isyak, Rasulullah SAW membaca surah at-Tin dan surah asy-Syams dan surah-surah seumpamanya. Apabila selesai membaca surah, berhenti atau berdiamlah sekadar senafas, iaitu sekadar membaca Subhanallah. Jangan sekali-kali disambung terus akhir surah dengan takbir dan rukuk.

Wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan