Jumaat, 29 April 2011

KHUTBAH JUMAAT 1 APRIL 2011

cid:image001.gif@01CB4059.9ADCF4F0

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 33 surah Luqman :
   Maksudnya : Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia.
11.3.11 adalah hari yang tentunya tidak dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Jepun lebih-lebih lagi bagi yang tinggal di kawasan Timur Laut negara tersebut. Dalam sekelip mata ombak tsunami setinggi 10 meter membadai lalu menghancurkan segala sesuatu di hadapannya. Sehingga kini dianggarkan lebih daripada 10,000 orang terkorban dan Bank Dunia pula menganggarkan kerosakan dan kemusnahan yang berlaku di kawasan tersebut mencecah USD235 bilion dan mengambil masa kira-kira 5 tahun untuk membangun semula. Belum pun reda daripada trauma rempuhan tsunami rakyat Jepun kini terdedah pula kepada kesan langsung daripada radiasi loji tenaga nuklear Fukushima Dai-ichi yang juga rosak teruk di badai ombak gergasi tsunami.

Secara tersurat apa yang berlaku di Jepun adalah satu bentuk musibah dan bencana alam yang tidak dapat dielakkan. Ia termasuk dalam ruang lingkup kekuasaan mutlak Allah SWT yang Maha Berkuasa melakukan apa sahaja. Perlu diingat walau sehebat mana sekalipun teknologi garapan pemikiran manusia ia masih dangkal untuk menentukan apa yang akan berlaku di hari mendatang.

Walau dengan kecanggihan teknologi yang ada manusia mampu mengesan kejadian gempa bumi di bawah laut juga ombak tsunami yang akan melanda kemusnahan jiwa dan harta benda pasti tidak dapat dielakkan jika benar Allah SWT menghendaki ia berlaku. Malah perkara ini termasuk dalam ketetapan qada dan qadar Allah SWT yang tidak juga menafikan konsep usaha dan tawakal kepadanya.
 Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) Engkau Dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun Yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika ia mengenakan (melimpahkan) Engkau Dengan kebaikan, maka ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
Secara tersirat ia sebenarnya satu daripada nikmat dan rahmat Allah SWT yang Maha Luas kepada hamba-hamba Nya yang beriman agar berfikir dan merenung kepada setiap kejadian yang berlaku dengan pandangan mata hati. Ia sekali gus mengajak manusia untuk sentiasa bersyukur atas segala nikmat kurniaan Ilahi yang tidak terhitung banyaknya. Mana tidaknya sehingga hari ini kita di Malaysia masih dipelihara daripada sebarang kejadian gempa bumi, tsunami, letupan gunung berapi dan huru-hara yang melanda sebahagian masyarakat dunia. Rakyat negara ini masih selamat walaupun banyak juga kejadian2 yang menggugat kesejahteraan hidup seharian, namun masih bebas bergerak ke sana ke mari, makanan dan segala keperluan asas mencukupi walaupun kos sara hidup meningkat, harga barang mahal kerana disonglap oleh perompak2 yang memegang khazanah hasil bumi di dalam pemerintahan hari ini tetapi masih lebih baik daripada negara2 yang sentiasa dilanda musibah yang dahsyat dan menakutkan.
Segala nikmat ini hendaklah disyukuri dengan memperbanyak melakukan ketaatan sambil berharap belas kasihan dan rahmat daripada Yang Maha Kuasa. Apatah lagi di akhir zaman saat dunia semakin uzur dan hampir kepada kemusnahan. Jika tidak kemungkinan pelbagai musibah dan malapetaka bakal menimpa implikasi daripada kemurkaan Allah SWT terhadap perlakuan segelintir umat manusia yang tidak bersyukur.  
  
Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) Yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang Yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). dan ketahuilah Bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.
Muslimin Yg Dirahmati,
Bibit-bibit kehancuran dan kemusnahan tersebut mula dirasai apabila kerosakan akhlak dan moral masyarakat Malaysia berada di tahap yang membimbangkan. Buktinya Akhbar Utusan Malaysia pernah melaporkan sejak tahun 2000 hingga 2008 sebanyak kira-kira 257,000 bayi didaftarkan tanpa nama bapa oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Ia bersamaan dengan 2,500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau 84 kes setiap hari iaitu tujuh bayi dilahirkan bagi setiap dua jam.

Lebih menakutkan apabila akhbar yang sama turut melaporkan kenyataan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana sebanyak 517 kes buang bayi direkodkan sejak Januari 2005 sehingga Januari tahun ini. Bulan Januari 2011 sahaja mencatatkan 19 kes buang bayi di seluruh negara. Institusi kekeluargaan Islam juga turut dilanda kehancuran apabila pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyatakan purata satu pasangan Islam bercerai setiap 15 minit.
Malapetaka dan kehancuran di kalangan muda-mudi juga tidak dapat dielakkan lagi. Perkara haram dan dosa jadi alat mainan mereka. Arak diminum seperti teh dan kopi, gejala melepak, berpeleseran jadi hobi mengisi masa lapang dan berseronok di kelab-kelab malam umpama satu kemestian. Kelab gay dan lesbian juga mula mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia yang berpegang kepada nilai-nilai kepercayaan kepada Tuhan. Rumah-rumah urut yang menyediakan khidmat seks beroperasi tanpa halangan dan banyak lagi bukti kehancuran yang dapat diperhatikan berlaku di sekeliling kita.

Bukankah semua ini musibah dan malapetaka yang telah melanda negara ? Malah jika difikirkan musibah moral dan sosial yang berlaku hari ini lebih buruk kesannya berbanding tsunami dan bencana alam yang lain kerana akan merebak dan berjangkit kepada generasi masa hadapan jika tidak dibendung dan dibiar berpanjangan.

Sebelum terlambat umat Islam juga harus menginsafi betapa gegaran dan gempa saat berlakunya hari kiamat adalah sesuatu yang menakutkan dan tiada sesiapa akan terselamat daripada kemusnahan seluruh alam. Allah SWT berfirman yang bermaksud;

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): Apa yang sudah terjadi kepada bumi? Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.
َMaka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Surah al-Zalzalah:1-8)

Justeru sebelum tiba detik yang menakutkan itu, marilah semua bangkit daripada tipu daya dan kemewahan dunia yang sementara untuk berbakti kepada Tuhan Yang Esa bagi beroleh kesejahteraan hidup di dunia mahupun di akhirat nanti. Jangan sesekali lalai dan leka dengan nikmat keamanan dan kesejahteraan yang ada kerana ia boleh jadi musnah dalam sekelip mata tanpa diduga.. Allah didahulukan, akhirat diutamakan..
WALLAHUAQLAM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan