Rabu, 6 April 2011

HADITH LEMAH DAN PALSU – THA’LABAH ( ثعلبة ) TIDAK MEMBAYAR ZAKAT


وَيْحَكَ يَا ثَعْلَبَةُ قَلِيْلٌ تُؤَدِّي شُكْرَهُ خَيْرٌ مِنْ كَثِيْرٍ لاَتُطِيْقُهُ


Maksudnya: Celakalah kamu wahai Tha’labah, sedikit (harta) yang membawa kamu bersyukur lebih baik dari banyak (harta) yang membawa kamu tidak mampu menanggungnya.

Keterangan:

· Hadith ini kononnya mengenai seorang sahabat yang bernama Tha’labah bin Haa-thib al-Ansaa-ri yang tidak membayar zakat setelah ia meminta dari Nabi Muhammad SAW supaya mendoakannya menjadi kaya. Ia juga meninggalkan solat berjemaah dan seterusnya solat Jumaat setelah kambingnya membiak dalam jumlah yang banyak. Sampai kepada zaman pemerintahan Abu Bakar RA, Umar RA dan Uthman RA kesemua mereka enggan menerima zakat dari Tha’labah disebabkan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah enggan menerima zakat daripadanya. Akhirnya Tha’labah mati di zaman pemerintahan Uthman RA.

·Kemudian kisah Tha’labah ini juga dijadikan sebab turunnya ayat 75-77 Surah at-Taubah:

وَمِنْهُم مَّنْ عَاهَدَ اللّهَ لَئِنْ آتَانَا مِن فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ {} فَلَمَّا آتَاهُم مِّن فَضْلِهِ بَخِلُواْ بِهِ وَتَوَلَّواْ وَّهُم مُّعْرِضُونَ {} فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَى يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُواْ اللّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُواْ يَكْذِبُونَ

1) Periwayat-periwayat Hadith:

· at-Thobaraa-ni
· al-Baihaqi
· at-Thobari
· al-Waa-hidi

2) Darjat Hadith:

· Sangat Lemah

3) Sebab-sebabnya:

Didalam sanadnya terdapat dua orang perawi yang dipertikaikan:

1) Mu’aa-n bin Rifaa-’ah as-Salaa-mi:

· Kata Abu Haa-tim: Ditulis hadithnya tapi tidak boleh berhujjah dengannya
· Kata Ibnu Ma’ie-n: Ia lemah.
· Kata Ibnu Hibban: Ia seorang yang mungkar hadithnya.
· Kata al-Azdi: Tidak boleh berhujjah dengannya.
· Kata Ibnu Hajar: Ia seorang yang layyin hadithnya (Perawi yang layyin adalah perawi yang cedera/cacat tetapi tidak gugur dari tahap keadilan).
· Kata Ibnu Hajar lagi: Ia banyak melakukan irsal (Menggugurkan perawi dari sanad hadith).

2) ‘Ali bin Yazii-d al-Alhaa-ni:

· Kata al-Bukhaa-ri: Ia seorang yang mungkar hadithnya.
· Kata an-Nasaa-i, ad-Daa-ruquthni, al-Haithami: Ia seorang yang ditinggalkan hadithnya (matruk).
· Kata Abu Zur’ah: Ia tidak kuat.
· Kata Abu Haa-tim: Ia seorang yang lemah hadithnya.
· Kata Ibnu Hajar: Ia lemah.
Kelemahan hadith ini dikuatkan lagi oleh:

· Ibnu Hazm al-Andalusi didalam kitabnya al-Muhalla: Kisah ini bathil tanpa syak. Dan Ibnu Hazm juga melemahkan dua orang perawi yang disebut di atas.

· Zainuddin al-’Iraa-qi dalam saringannya ke atas hadith-hadith didalam kitab Ihyak ‘Ulum ad-Dien karangan Imam al-Ghazali dengan komentar bahawa sanad hadith ini dho’ief (lemah).

· Ibnu Hajar didalam kitabya al-Kaa-fi Fi Takhrii-j Ahaa-dii-th al-Kasyaa-f: Isnadnya sangat lemah.

Kemudian terdapat beberapa perkara penting untuk diambil perhatian mengenai sahabat yang mulia ini Tha’labah bin Haa-thib al-Ansaa-ri RA:

1) Tha’labah merupakan ahli Badar (yang menyertai peperangan Badar):
· Kata al-Qurthubi didalam Tafsirnya ketika menafsirkan ayat 75-77 Surah at-Taubah:

“Tha’labah adalah ahli Badar dari golongan Ansar dan termasuk dari kalangan orang yang dipersaksikan oleh Allah dan RasulNya dengan keimanan. Apa yang diriwayatkan mengenainya adalah tidak soheh”

· Ibnu al-Athii-r didalam Usud al-Ghaa-bah, Ibnu ‘Abd al-Bar didalam al-Istii-’aa-b, Ibnu Hajar didalam al-Ishoo-bah menjelaskan bahawa Tha’labah RA adalah ahli Badar.

2) Adalah tidak masuk akal bahawa sahabat yang mulia ini, yang dipersaksikan keimanannya oleh Allah dan Rasul melakukan perbuatan sedemikian dan sebegitu sekali kesudahan hidupnya:

· Ahli Badar merupakan orang yang terpilih disisi Allah dan Rasul. Bertanya Jibrail kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana hadith riwayat al-Bukhaa-ri:

مَا تَعُدُّوْنَ أَهْلَ بَدْرٍ فِيْكُمْ؟ قَالَ: مِنْ أَفْضَلِ الْمُسْلِمِيْنَ

Maksudnya: Apakah perkiraan kamu semua keatas Ahli Badar dari kalangan kamu? Jawab Nabi SAW: Mereka adalah orang-orang Islam yang paling afdhal (utama).

· Ahli Badar tidak akan sekali-kali masuk neraka. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad:

لَنْ يَدْخُلَ النَّارَ رَجُلٌ شَهِدَ بَدْرًا وَالْحُدَيْبِيَةَ

Maksudnya: Tidak akan masuk neraka lelaki yang menyaksikan peperangan Badar dan perjanjian al-Hudaibiyah.

· Ahli Badar telah diampun dosa mereka oleh Allah SWT. Didalam hadith qudsi riwayat al-Bukhaa-ri, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi:

اعْمَلُوْا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ

Maksudnya: Buatlah apa yang kamu sukai, sesungguhnya Aku telah ampun bagi kamu (dosa-dosa kamu).

3) Semestinya kisah sahabat yang mulia ini tidak dijadikan bahan cerita mengenai “kisah dan kesudahan buruk” sesiapa yang tidak mengeluarkan zakat setelah diketahui riwayatnya tidak benar kerana dibimbangi termasuk didalam mencela sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat at-Thobaraa-ni:

مَنْ سَبَّ أَصْحَابِي فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ

Maksudnya: Barangsiapa yang mencela sahabat-sahabatku maka ke atasnya laknat Allah, Malaikat-Malaikat dan manusia seluruhnya.

Disediakan oleh: Ustaz Ibrahim Mohd Raja al-Maniri

Daftar Rujukan:

01) Tafsir al-Qurthubi, Muhammad bin Ahmad al-Qurthubi.
02) al-Musnad, Ahmad bin Muhammad bin Hanbal.
03) Soheh al-Bukhari, Muhammad bin Ismaa-’iil al-Bukkhaa-ri.
04) Soheh Muslim, Muslim bin al-Hajjaj.
05) Sunan Abu Daud, Sulaiman bin al-Ash’ath.
06) Sunan at-Tirmizi, Muhammad bin ‘Ii-sa at-Tirmizi.
07) ad-Dhu’afaa-k as-Shoghie-r, Muhammad bin Ismaa-’iil al-Bukhaa-ri
08) ad-Dhu’afaa-k Wa al-Matruu-kii-n, Ahmad bin Syu’aii-b an-Nasaa-i.
09) al-Jarh Wa at-Ta’dii-l, Ibnu Abi Haa-tim ar-Raa-zi.
10) al-Mu’jam al-Kabii-r, Sulaiman bi Ahmad at-Thobaraa-ni.
11) al-Muhalla, Ibnu Hazm al-Andalusi.
12) Mii-zaa-n al-I’tidaa-l, Syamsuddii-n az-Zahabi.
13) Tahzii-b at-Tahzii-b, Ibnu Hajar al-’Asqalaa-ni.
14) Taqrii-b at-Tahzii-b, Ibnu Hajar al-’Asqalaa-ni.
15) al-Kaa-fi, Ibnu Hajar al-’Asqalaa-ni.
16) asbab Nuzuu-l al-Quraa-n, ‘Ali bin Ahmad al-Waa-hidi.
17) Majma’ az-Zawaa-id, Nuu-ruddin al-Haithami.
18) as-Silsilah ad-Dho’iefah, Muhammad Naa-siruddin al-Albaa-ni

Tiada ulasan:

Catat Ulasan