Ahad, 3 April 2011

Hadith Ifk (kisah Aisyah ra) petunjuk bagi Umat dalam isu Anwar



Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang kini.

Tuduhan yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim memberikan kefahaman yang lebih mantap betapa Allah swt menjadikan Hadith Ifk (berita bohong ke atas Aisyah) sebagai salah satu kisah di dalam Seerah Rasulullah saw yang bakal menjadi petunjuk kepada Umat hingga ke Hari Kiamat. Perancangan manusia, terutama yang pakar, adakalanya hebat sehingga disifatkan oleh Allah swt “Sesungguhnya mereka telah melakarkan perancangan mereka, sedang perancangan mereka ada di sisi Allah, walaupun perancangan mereka (boleh) untuk melenyapkan bukit-bukau” (Surah Ibrahim : ayat 46).

Oleh itu pada saya, sesiapa di kalangan Umat yang hidup dan mengambil pendirian dalam hidupnya, tanpa berpandukan Al-Quran, adalah tidak mudah untuk memilih sikap yang tepat dalam senario tuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim, sedang panduan dari Allah swt amat jelas, ringkas dan mudah dilaksanakan. Ketika posting ini ditulis, belum ada sebarang pengakuan oleh Anwar Ibrahim dan tiada 4 orang saksi dikemukakan oleh pihak Penuduh, direkodkan oleh pihak Mahkamah atau diumumkan kepada masyarakat. Apa yang akan berlaku esok adalah di dalam ilmu Allah swt. “Setiap hari mempunyai urusannya tersendiri …” (Surah Ar-Rahman : ayat 29)


Secara amat ringkasnya panduan tersebut ialah :
Sebarang pertuduhan zina atau liwat hanya sabit ke atas yang dituduh melalui salah satu dari 2 cara iaitu (i) Pengakuan oleh orang yang dituduh, atau (ii) Persaksian oleh 4 saksi dari pihak yang menuduh. Tanpa salah satu dari (i) atau (ii), orang yang dituduh adalah bebas seperti seadanya, manakala 3 orang saksi atau kurang tersebut disebat sebanyak 80 kali sebatan kerana menyampaikan berita tanpa bilangan saksi yang cukup (4 orang). Firman Allah swt bermaksud, “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kemudian dia tidak mendatangkan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka dengan 80 sebatan. Jangan ambil persaksian mereka (selepas itu) selama-lamanya. Mereka adalah orang-orang fasik” (An-Nur:4).

Segala bentuk persaksian dan bahan bukti selain dari 4 saksi seperti tilam, DNA, video, seluar dalam, diari harian dan sebagainya tidak boleh menjadi saksi mutlak yang boleh mengambil tempat menggantikan rukun 4 saksi di atas yang diminta oleh Allah swt dalam Al-Quran. Ia boleh dijadikan bahan-bahan pendesak oleh pihak Pendakwa ke arah membuat orang yang dituduh supaya membuat Pengakuan. Inilah yang berlaku ke atas Chua Soi Lek (Presiden MCA sekarang) yang akhirnya mengaku apabila ditayangkan video adegannya, atau Tiger Woods (lagenda sukan golf antarabangsa) apabila berita mengenai skandalnya terbongkar di akhbar. Adapun sekiranya setelah dikemukakan bahan-bahan pendesak ke arah membuat Pengakuan, namun orang yang dituduh menafikan atau tidak membuat sebarang pengakuan, maka pihak Pendakwa yang terus terang menuduh seseorang itu zina atau liwat disebat sebanyak 80 kali sebatan, hukuman hudud dari Allah swt Yang Maha Bijaksana. Di pihak orang ramai pula, selagi tiada Pengakuan atau Persaksian 4 saksi direkodkan, mereka hendaklah mengekalkan perasaan baik sangka dan tidak menerima dakwaan zina atau liwat tersebut. Firman Allah swt bermaksud, “Kenapa tidak ketika kamu mendengar berita tersebut, orang-orang beriman lelaki dan perempuan bersangka baik sesama mereka sambil mengatakan ‘Ini adalah berita bohong’ jika penuduh-penuduh itu tidak membawa 4 orang saksi yang mendakwa orang yang dituduh? Maka sekiranya penuduh-penuduh itu tidak mengemukakan saksi-saksi berkenaan maka di sisi Allah merekalah pembohong-pembohong” (An-Nur : ayat 13).

Dengan jelas dan tegas, tidak ada sebarang sabitan (kesalahan) zina atau liwat selain dari (i) Pengakuan, atau (ii) Persaksian 4 orang saksi yang melihat adegan tersebut dengan melihat alat-alatnya sekali dengan terang dan jelas.
Tiada sabitan zina dan liwat tidak semestinya orang yang dituduh terlepas dari dakwaan jenayah Khalwat, perlakuan sumbang dan seumpamanya yang boleh dikenakan hukuman Takzir (denda). Hukuman Takzir pula tidak semestinya ringan, bergantung kepada apa yang digariskan oleh Dewan Rakyat yang melihat realiti semasa dan diputuskan oleh Hakim yang adil, bebas dan bijaksana.

Orang-orang yang terlibat menuduh lalu didapati tiada sabitan, beliau akan direkodkan sebagai “Fasik” sepanjang hayatnya dan tidak diterima persaksian mereka selama-lamanya dalam masyarakat termasuk sebarang prosiding mahkamah dan urusan kemasyarakatan, melainkan mereka bertaubat dan tampak di depan umum mereka membaiki diri mereka jauh bertentangan dari perbuatan mereka yang lampau.

Dari sini, kita dapati hikmah Syariat Islam terserlah sepanjang zaman, termasuk di zaman kita sendiri, dalam senario politik dan sosial masakini. Di antaranya :

Islam menyukarkan pendakwaan zina dan liwat ke atas 2 individu yang dituduh melakukannya, bukan beriya-iya untuk memudah orang ramai melakukan jenayah zina atau liwat yang amat terkutuk itu. Akan tetapi Islam berusaha keras mencegah perkara yang lebih buruk lagi dari yang sedemikian iaitu tersebarnya budaya berita dan tuduh menuduh mengenai kelucahan seperti tilam, air mani, seluar dalam, hotel, condo, dan seumpamanya kepada khalayak ramai lalu merosakkan fikiran, akhlak dan budaya mereka. Malangnya ini yang sedang berlaku dalam Dunia Barat dan sering cuba diimpot ke negara-negara Umat Islam. Firman Allah swt bermaksud, “Kenapa tidak apabila kamu mendengar saja berita tersebut, kamu mengatakan ‘Tak sepatutnya kita membincangkan perkara ini. Maha Suci Engkau (ya Allah) ini adalah pembohongan yang besar!!’ Allah mengingatkan kamu agar jangan lagi mengulangi kesalahan membicarakan isu ini sekiranya kamu orang-orang beriman. Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (An-Nur : ayat 16-18).

Islam menutup pintu konspirasi politik dari awal-awal lagi dengan mengajar masyarakat awam supaya bersangka baik sesama mereka selagi mana tiada sebarang Pengakuan atau Persaksian 4-Saksi yang direkodkan. Islam juga menganggap sebarang kata-kata sindiran, ungkapan dan pengertian-pengertian yang menjurus ke arah menuduh seseorang tanpa Pengakuan atau Persaksian merupakan suatu perkara yang besar dosanya, walaupun nampak ringan perbuatannya. Firman Allah swt bermaksud, “Ketika kamu bertemu dengan isu ini dengan perbualan-perbualan kamu, dan kamu bercakap-cakap dengan isu yang kamu tidak mempunyai maklumat (sepatutnya) mengenainya. Kamu ingat membicarakannya (seperti itu) suatu perkara yang kecil sedang perbuatan itu besar di sisi Allah !!” (An-Nur : ayat 15).

Maslahah (kepentingan) dan akhlak masyarakat umum sentiasa diutamakan oleh Syariat Islam berbanding dengan perbuatan mahupun dosa individu yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Firman Allah swt bermaksud, “Sungguh orang-orang yang suka kelucahan tersebar dalam masyarakat orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan Akhirat. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (An-Nur : 19). Kalaulah azab pedih di dunia dan Akhirat ini adalah untuk orang-orang yang hanya suka kelucahan tersebar, apatah lagi orang-orang yang menyebarkan kelucahan itu sendiri !! Disebabkan beratnya jenayah membuat tuduhan tanpa 4-saksi ini, Allah bakal mengazab mereka bukan sahaja di Akhirat, malah di dunia lagi agar dilihat oleh masyarakat dan dapat diambil pengajaran darinya.

Sebarang sikap terhadap Anwar Ibrahim dalam isu-isu lain seperti nepotisme (politik suku sakat), pluralisma (semua bangsa atau agama sama sahaja), pandangan dan strategi politik dan seumpamanya boleh dianalisa benar atau salahnya dan dibuat pendirian oleh masyarakat dan para pengundi pilihanraya dari semasa ke semasa mengikut disiplin-disiplin Syarak yang lain. Namun dalam isu zina dan liwat, Syariat Islam bertegas menutup pintu sabitan dan mengajak bersangka baik selagi mana tidak ada (i) Pengakuan, atau (ii) Persaksian 4-saksi, seperti yang dijelaskan oleh Al-Quran.

Sebarang penerimaan dan pengaruh dari isu zina dan liwat yang timbul dalam masyarakat bukan sahaja menggambarkan kedengkelan pihak-pihak terbabit dalam menyebar-nyebarkan isu sebelum sabitannya, malah ia menunjukkan kejahilan ramai masyarakat yang melata terhadap petunjuk Al-Quran, maslahah Syariat Islam, kealpaan dan kelalaian mereka disebabkan tenggelam di dalam segala bentuk hiburan, kesibukan dan jauh dari penghayatan agama.

Kepada umat Islam secara umum,

Ambillah pedoman dari Allah swt, Tuhan Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana, nescaya kita selamat dalam membuat pertimbangan dan menentukan sikap. Dengan itu masyarakat dan negara akan selamat, bersih, sejahtera bahkan terus mara menjadi pemimpin dan pembimbing umat-umat yang lain. “Dan hukumlah mereka dengan apa yang diturunkan Allah, dan jangan kamu turuti hawa nafsu mereka” (Surah Al-Maidah : ayat 49).

Kepada pihak-pihak di kalangan orang-orang politik kepartian,

Pandangan ini adalah bukan dari kacamata penyandang mahupun pembangkang. Hadith Ifk (Kisah pembohongan terhadap Aisyah) berlaku dan ayat-ayat Al-Quran turun mengenainya telah berlaku jauh sebelum wujudnya sistem politik penyandang dan pembangkang hari ini. Kesemua di atas adalah pandangan berpandukan wahyu dari Allah swt yang sepatutnya disuarakan sejak sekian lama oleh pihak-pihak agama yang rasmi. Sesungguhnya ia telah lama disebut oleh ulamak silam di dalam kitab-kitab mereka. Maka oleh itu “Barangsiapa yang mahu, maka silakan beriman. Barangsiapa yang mahu maka silakan dia kufur (engkar menerima ayat-ayat Allah). Kami (Tuhan) menyediakan bagi orang-orang zalim azab neraka yang gelojak apinya yang akan menyelubungi mereka” (Surah Al-Kahfi : ayat 29).

Kita berdoa kepada Allah swt semoga umat kita dipelihara olehNya dari sebarang tipudaya, penghakisan identiti, akhlak dan jatidiri serta bangkit maju menjalankan tugas mereka menjadi contoh teladan dan pembimbing umat-umat lain ke arah sistem Islam yang diredhai oleh Allah swt. Hakikatnya hari ini, kebanyakan umat di dunia sangat jauh dari petunjuk Ilahi dan memerlukan cahaya dan petunjukNya yang terang lagi sejahtera. Ameen.



Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Ahli Jawatankuasa Pusat,
Ikatan Muslimin Malaysia


“Dan hukumlah mereka dengan apa yang diturunkan Allah, dan jangan kamu turuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui” (Al-Quran)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan