Selasa, 26 April 2011

AMANAH ALLAH, APAKAH TELAH KITA TUNAIKAN?

AMANAH ALLAH

Allah berfirman: “ Sesungguhnya telah kami berikan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, lalu mereka enggan memikulnya dan takut menerimanya, kemudian amanah tersebut dipikul oleh manusia.”

Amanah merupakan perintah taat yang mempunyai akibat dosa dan pahala. Menurut al-Qurthubi amanah bermaksud agama. Ibn Mas’ud pula membataskan maknanya kepada soal harta. Manakala Abu Darda’ mengatakan mandi junub termasuk di dalam pengertian amanah. Ibnu ‘Umar berkata awal-awal penciptaan manusia bermula dari faraj (kemaluan) nya dan ianya merupakan amanah yang mesti dugunakan secara benar. Sekiranya engkau menjaganya ia akan menjaga kamu. Bukan sekadar itu, telinga, mata, perut, tangan dan kaki semuanya adalah amanah. Tidak beriman bagi orang yang tidak mempunyai amanah.

Al-Hasan telah berkata: “Allah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung lalu Allah berfirman; “Jika engkau laksanakan dengan baik (amanah) maka bagi engkau pahala, sebaliknya jika tidak bagi engkau seksaan.” Lalu mereka berkata; “Kami tidak sanggup!” Mujahid berkata; “Ketika Allah menciptakan Adam, ditawarkan amanah itu kepadanya. Penawaran kepada langit, bumi dan gunung-ganang adalah berupa pilihan bukan ketetapan. Sedangkan penawaran kepada Adam adalah ketetapan.” Al-Qoffal dan lainnya berkata: “Penawaran di dalam ayat tersebut adalah suatu yang indah di mana langit, bumi, gunung sekalipun besar masih tidak sanggup menerima amanah sebaliknya manusia sanggup memikulnya.

Ibnu Abbas berkata amanah itu ditawarkan kepada Adam lalu dikatakan kepadanya; “Jika engkau taati engkau akan diampuni sebaliknya jika engkau derhaka engkau akan disiksa.” Adam menjawab; “Aku sanggup mentaatinya”. Namun tidakpun sampai pun beberapa jam Adam telahpun menderhakaiNya dengan mamakan buah khuldi yang ditegah untuknya.

Amanah merupakan manifestasi dari keimanan. Sesiapa yang menjaga amanah Allah, sudah pasti Allah akan menjaga imannya. Rasulullah SAW bersabda; “Tidak beriman bagi sesiapa yang tidak menunaikan amanah dan tidak ada agama bagi sesiapa yang tidak menunaikan janjinya.”

Rasulullah SAW bersabda; “Dikatakan mukmin bagi seseorang yang tidak khianat dan tidak berdusta.” Sabdanya lagi; “Umatku sentiasa baik selama mana tidak menjual amanah dan menggadaikan kejujurannya.”

Baginda bersabda lagi; “Berikanlah amanah kepada orang yang mempercayaimu dan janganlah mengkhianati orang yang mengkhianatimu.” Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda; “Tanda orang munafik itu tiga; jika berkata ia berbohong, jika berjanji ia mengengkarinya dan jika diberikan amanah ia berlaku khianat.”

Siapakah yang dipertanggungjawabkan terhadap segala amanah?

Persoalan inilah yang sewajibnya kita renungi kerana setiap orang daripada kita mempunyai amanah yang wajib dilaksanakan terhadap yang empunya haknya. Tidak mengira siapa diri kita samada seorang pemimpin negara, raja mahupun menteri, wakil parlimen atau DUN, ketua pejabat atau jabatan, ketua kampong atau taman, imam masjid dan surau, ketua keluarga bahkan diri sendiri semuanya adalah pemimpin bagi ahlinya. Maka berwaspadalah terhadap setiap amanah yang dipikul. Status atau jawatan bukan satu kebanggaan bahkan amanah.

Nabi SAW bersabda; “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawbkan atas kepimpinannya.”

Di dalam Zahru al-Riyadh menyebutkan, pada hari kiamat seorang hamba dihadapkan kepada Allah SWT lalu Allah SWT berfirman; “Apakah engaku telah menunaikan amanah kepada fulan (tanggungannya atau ahlinya)? “Tidak ya Tuhanku.” Kemudian Allah memerintahkan malaikat menyeret dan menghumbankannya ke Neraka jahannam. Ia melihat amanah di dalam Jahannam lalu ia terjun key dalamnya selama tujuh puluh tahun sehingga ke pertengahannya. Kemudian ia membawa naik amanah sehingga ke permukaan lalu tergelincir semula kakinya lalu jatuh semula ke dalam Jahannam dan begitulah hal keadaanya berulang-kali sehinggalah datang Rahmat Allah berkat syafaat Rasulullah SAW kepada umatnya dan keredhaan dari tanggungan atau ahlinya.”

Dari kisah di atas, mari kita muhasabah kembali tentang segala amanah yang kita pikul. Diri kita ada amanah iaitu;

7 pancaindera - Mata, telinga, lidah, tangan, kaki, perut, kemaluan. Di mana dan kemanakah kita gunakan anggota-anggota ini? Untuk beribadah atau untuk melakukan dosa? Memastikan kesemua anggota ini digunakan untuk beribadah dan meninggalkan dari berbuat dosa merupakan amanah.

Isteri dan anak-anak dan mereka yang berada di bawah tanggungan – Di manakah mereka dan apakah yang mereka buat? Ilmu agama mereka, kesempurnaan aqidah dan ibadah mereka bagaimana? Atau mereka dalam keadaan jahil agama lalu mereka melakukan dosa dan kesalahan? Memastikan isteri, anak-anak dan tanggungan sentiasa taat kepada perintah agama samada beribadah dan tinggalkan dosa merupakan amanah.

Pekerjaan dan usaha mencari keperluan hidup – Bagaimanakah pekerjaan kita, terlepaskah dari terlibat dengan urusan yang diharamkan oleh Allah atau yang syubahat? Terlibat yang diharamkan mungkin jenis pekerjaan, tempat pekerjaan dan urusan pekerjaan. Memastikan pekerjaan terselamat dari yang haram dan syubhat adalah amanah.

Harta yang diperolehi, dimiliki dan yang dibelanjakan – Bagaimanakah harta yang diperolehi, adakah bersumber dari pekerjaan yang haram atau syubahat? Apakah kita berlaku zalim mengambil harta atau hak orang lain? Apakah harta yang dimiliki tidak dikeluarkan zakat darinya? Atau ke manakah harta dibelanjakan, berapakah yang kita belanjakan untuk agama Allah, membantu anak-anak yatim dan orang-orang yang lebih susah seperti fakir miskin dan sebagainya? Memastikan harta dimanfaatkan untuk sara hidup keluarga dan tanggungan, keluar zakat, infaq dan sedekah merupakan amanah.

Orang-orang yang berada di bawah kepimpinan kita – Bagamanakah hal keadaan mereka? Urusan dunia dan akhirat mereka macamana? Adakah mereka tunduk kepada syariat Allah atau menentangnya? Memastikan mereka selamat di dalam urusan dunia dan akhirat, bagi pemimpin ia merupakn amanah.

Wallahua’alam

http://khairuz67.multiply.com/journal/item/73

Tiada ulasan:

Catat Ulasan