Selasa, 22 Mac 2011

Samakan Nikah Di Masjid Seperti Kristian: Menyimpang Daripada Ajaran Islam

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

PETALING JAYA: Perbuatan menyamakan upacara akad nikah di dalam masjid dengan amalan penganut Kristian adalah menyimpang daripada ajaran Islam.

Demikian tegas Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad yang menayatakan bahawa masjid adalah tempat yang suci dan penuh kemuliaan dan tidak ada hadis serta nas al-Quran yang melarang upacara akad nikah diadakan di masjid.

“Oleh kerana berkahwin itu satu ibadat maka Islam tidak pernah melarang umatnya berkahwin di dalam masjid.

“Sebaliknya, Islam menggalakkan kita mencari keberkatan dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dengan kita bernikah di masjid sudah pasti berkat lebih berbanding di tempat lain kerana masjid itu tempatnya suci,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh yang mendakwa menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang daripada amalan Rasulullah SAW.

Ahmad yang juga ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dilaporkan berkata, Nabi Muhammad pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.

Mengulas lanjut, Muhamad Baderudin yang juga Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan berkata, Jabatan Mufti Negeri Kedah tidak pernah melarang mana-mana pasangan yang ingin bernikah di masjid.

“Kita tidak ada larangan dan halangan untuk sesiapa bernikah di masjid sebaliknya kita galakkan mereka bernikah di masjid,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya menyifatkan pandangan Ahmad Jusoh itu sebagai pandangan peribadi dan bukannya kenyataan Jabatan Mufti Negeri.

“Jabatan Mufti Negeri mengambil pendirian tiada larangan untuk bernikah di masjid dan sesebuah perkahwinan itu sah apabila ia mengikut rukun nikah.

“Tak kisah la, orang itu bernikah secara maya atau di rumah, selagi mereka ikut turutan rukun nikah maka perkahwinan itu sah di sisi agama Islam,” katanya.

Juanda berkata, Ahmad Jusoh juga telah memberi penjelasan berhubung perkara tersebut dan menerangkan bahawa kenyataan yang dibuatnya itu atas kapasiti beliau sebagai pengerusi jawatankuasa masjid dan bukannya anggota Majlis Fatwa Perlis mahupun ahli MAIPs.

Dalam perkembangan berkaitan, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria turut mengesahkan bahawa Jabatan Mufti Negeri tidak pernah mengeluarkan larangan mengadakan upacara akad nikah di mana-mana masjid di negeri itu.

“Di zaman Rasulullah SAW pun ada majlis akad nikah yang diadakan di masjid, memang tak ada larangan.

“Cuma yang tidak dibenarkan adalah jadikan masjid seperti tempat pemujaan yang meniru Yahudi dan Kristian,” katanya.
--------------------------------------------------
'Akad nikah di masjid menyimpang amalan Nabi'

Menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang dari amalan Rasulullah, kata seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh.

Beliau berkata Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.

Ahmad yang juga ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, walaupun pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah namun ia berpunca dari kehadiran seorang wanita ke dalam masjid yang mahu dirinya dikahwini.

Kesanggupan seorang lelaki yang turut berada dalam masjid untuk mengahwini wanita itu menyebabkan Rasulullah melakukan akad nikah dalam masjid.

Ini adalah satu-satunya kes akad nikah dalam masjid yang dilakukan baginda, kata pendakwah itu hari ini ketika diminta mengulas keghairahan umat Islam ketika ini menjadikan masjid sebagai tempat akad nikah kerana menganggap ia lebih berkat.

Ahmad berkata adalah lebih baik akad nikah dilakukan di rumah pengantin.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan