Isnin, 7 Mac 2011

PELAWAK JUGA BOLEH BAGI NASIHAT

Kebiasaannya raja-raja akan berangkat ke balai tempat dia bersemayam selepas semua kakitangannya dan orang ramai berkumpul. Kemudian mereka semua akan berdiri tanda hormat apabila raja masuk. Dan seseorang raja tidak akan berdiri sama sekali untuk menghormati orang lain.

Pada suatu hari seorang buhlul (pelawak) yang cerdik masuk ke tempat raja bersemayam bersama orang ramai sebelum raja masuk.

Saat ketibaan raja, semua yang berada di dalam dewan itu pun berdiri. Secara diam-diam Buhlul pergi duduk di atas kerusi raja sebelum raja duduk. Maka rajapun tercegatlah di sebelah kerusinya yang telah diduduki oleh Buhlul. Tanpa berlengah, para pengawal pun segera menangkap Buhlul. Mereka memukul, menumbuk dan menyepak Buhlul di hadapan raja dan semua yang hadir. Buhlul menjerit, memekik, melolong dan menangis sekuat-kuatnya. Sebentar kemudian raja memerintahkan para pengawal agar menghentikan deraan terhadap Buhlul. Setelah deraan dihentikan berlakulah dialog berikut antara raja dengan Buhlul:

Raja: adakah pukulan dan deraan tadi menyakitkan kamu?

Buhlul : tidak, tuanku!

Raja : kalau begitu kenapa kamu menangis, menjerit dan melolong begitu rupa sedangkan kamu tidak sakit?

Buhlul : patik menangis dan melolong kerana kasihan dan simpati kepada tuanku, bukan kerana kasihankan diri patik.

Raja: bagaimana begitu? Bukankah kamu yang kena pukul? Jeritan dan tangisan itu datang daripada kamu?

Buhlul : patik duduk di atas kerusi ini tak sampai pun satu minit, patik dipukul dan didera oleh pengawal begitu rupa sebagaimana yang tuanku saksikan.

Kalaulah tidak kerana tuanku yang perintahkan mereka supaya berhenti, mereka tidak akan berhenti. Sedangkan tuanku telah duduk di atas kerusi ini bertahun-tahun. Maka berapa banyak agaknya pukulan dan deraan yang akan tuanku terima daripada tentera Allah dan malaikat-Nya serta penjaga-penjaga neraka. Allah pula tidak akan mempertahankan tuanku! Jadi patik sibuk memikirkan hal tuanku daripada memikir hal diri patik. Itu yang membuatkan patik sangat kasihan kepada tuanku!

Apa tindakan raja selepas mendengar kata-kata Buhlul itu?

Agaknya kalau jenis raja yang hidup zaman sekarang, Buhlul itu dah mati sebelum sempat melafazkan kata-katanya….

Posted by Maznah Daud

Tiada ulasan:

Catat Ulasan