Isnin, 7 Februari 2011

Rahsia meruntuhkan kezaliman


Dunia hari ini gempar dengan kebangkitan rakyat di Tanah Arab yang marah dengan kezaliman dan penindasan pemerintah di negara mereka khususnya yang berlaku awalnya di Tunisia, kemudian berjangkit di Mesir dan yang terbaru rakyat Jordan juga beramai-ramai turun di jalanan untuk menuntut keadilan daripada pemerintah dengan menjatuhkan rejim pemerintah.

Apabila sudah rakyat merasakan penindasan, media tidak adil dalam penyaluran maklumat, pasukan keselamatan negara menjadi anjing kerajaan, mahkamah dan perundangan berat sebelah, maka, tuan sebenar sesebuah negara yakni rakyat hanya dapat mampu turun ke jalanraya untuk menunjukkan kebencian dan bangkangan mereka dalam usaha meruntuhkan kezaliman pemerintah.

Idealnya, dalam meruntuhkan kezaliman sesebuah pemerintahan, bukanlah individu yang menjadi sasaran tetapi sistem pemerintahan itu sendiri. Setiap individu silih berganti. Jika mereka yang bertukar ganti, masih bergelumang dengan sistem yang rosak, yang bobrok dan yang zalim, maka tiada apa yang dapat diharapkan oleh rakyat akan perubahan itu.

Sebagai contoh ambil mudah negara kita sendiri. Kerajaan mengawal media, kerajaan mempunyai ISA, kerajaan mecucuk hidung setiap pegawai kerajaan, kerajaan tidak mengasingkan tiga kuasa besar negara, kesudahannya, sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan mereka akan meneruskan sistem ini kerana tiada satu desakan yang kuat untuk meruntuhkan sistem ini. Desakan yang kuat cuma terhadap individu yang zalim.

Sepertimana yang berlaku pada reformasi 1998. Kebanyakan rakyat bangkit membela nasib Anwar dan mendesak Mahathir berundur dan meletakkan jawatan. Kesannya, berlaku sedikit ribut taufan politik pada pilihanraya umum tahun berikutnya. Semua begitu bangga atas kejayaan mendesak pengunduran Mahathir.

Akhirnya Mahathir undur dan semua merasakan kejayaan itu. Kemudian, gelombang itu menjadi lesu dan tidak bertenaga. Walaupun Pak Lah menjadi pengganti, tapi sistem yang rosak itu masih terus menerus digunakan. Media masih disekat, ISA terus menerus digunakan dan segala-galanya masih di bawah kuku besi kerajaan dan akhirnya kezaliman berjaya menang besar pada pilihanraya berikutnya.

Oleh sebab itu, desakan meruntuhkan kezaliman itu perlu disasarkan pada sistem yang zalim itu. Alternatifnya ialah sistem Islam yang sebenarnya bukan sekadar alternatif tapi ia merupakan fitrah manusia. Apabila manusia menggunakan yang bukan fitrahnya, maka, mudahlah syaitan mengawalnya, nafsu menundukkannya dan kejahatan akan bermaharajalela.

Jemaah Islam di dalam PAKATAN, perlu lah bercita-cita besar untuk menguasai kerajaan dan meruntuhkan sistem yang zalim ini. Apabila semuanya berada di tempat dan haknya, maka saluran dakwah dan penyebaran maklumat itu, boleh dijalankan dengan adil. Rakyat sendiri bakal dapat menilai dengan bijak kumpulan yang benar. Pertandingan dapat dijalankan di atas padang yang rata.

Akhirnya, dalam memobilasi kebangkitan rakyat, perlulah disasarkan kepada sistem yang zalim itu. Sistem yang rosak itu. Jikalau individu sahaja yang bertukar, umpama memakai kereta yang buruk, yang rosak, enjin berkarat, tayar bocor, tapi hanya bertukar pemandu. Tukarlah pemandu lori ke, F1 ke, NASCAR ke, kereta itu sudah hampir pasti tidak dapat membawa ke tempay yang dituju dengan selamat.

Wallahua’lam.

-khalilullah-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan