Sabtu, 26 Februari 2011

Maulidur Rasul : Adakah Cukup Sekadar Sambutan Penuh Kemeriahan

Hari kelahiran insan yang paling bermakna dalam diri umat Islam, iaitu Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam tiba lagi. Seperti kebiasaan, hari kelahiran Baginda disambut dengan meriah oleh umat Islam di negara ini. Laungan penceramah dan sisipan bahan-bahan bertulis yang mengetengahkan slogan “Contohi perjuangan Rasul”, “Rasulullah teladan kita”, dan “Contohi Akhlak Rasul” sudah dapat dijangka oleh umat Islam setiap kali tibanya hari yang penuh bermakna ini. Namun sayangnya semua itu seringkali hanya tinggal sebagai slogan-slogan yang kering tanpa makna. Buktinya, sudah berpuluh-puluh tahun umat ini meraikan Maulidur Rasul, tetapi tetap saja umat hari ini sangat jauh daripada gambaran umat Islam yang sebenar sebagaimana masyarakat Islam yang dibangun oleh Rasulullah di Madinah, iaitu masyarakat yang dibangun atas dasar aqidah Islam, berhukum atas dasar aqidah Islam dan juga dipersatukan atas dasar aqidah Islam.

Apakah sebenarnya yang terjadi dengan umat Islam saat ini? Mengapa sudah puluhan tahun Maulidur Rasul diperingati, namun tetap tidak tampak adanya perubahan yang bererti kepada umat Islam? Apabila diteliti dan dikaji dengan lebih mendalam, terdapat dua punca utama mengapa semua ini  berlaku.

Pertama; Maulidur Rasul hanya diperingati sekadar sebagai majlis keraian, tanpa meninggalkan kesan yang mendalam terhadap individu mahupun masyarakat. Seringkali Maulidur Rasul diraikan sebagai sesuatu acara yang rutin, dan menjadi suatu kemestian yang tidak boleh tidak untuk dilaksanakan setiap tahun. Hal ini kerana tarikh Maulidur Rasul telah siap tercatat dalam kalendar dan sudah menjadi agenda kebiasaan pada tahun-tahun sebelumnya.

Pelbagai program seperti ceramah umum, penganugerahan, perarakan dan juga jamuan makan diadakan bagi memeriahkan peringatan Maulidur Rasul tersebut. Jika kemeriahan yang menjadi sasaran, maka jelaslah itu sudah berjaya diraih.  Namun, umat jelas terlepas pandang bahawa memperingati hari kelahiran Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan para sahabatnya.  Bahkan pada awal kewujudan majlis sambutan Maulidur Rasul ini bertujuan untuk menumbuhkan rasa cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Jika benar demikian, maka timbul persoalan sama ada sudahkah momentum Rabiul Awal ini berjaya untuk menambahkan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam yang mana sering kita ingati kelahirannya? Bagaimana pula dengan komitmen untuk sentiasa mencontohi serta meneladani apa-apa sahaja yang dilakukan oleh Nabi kita yang Mulia ini?

Dua perkara, iaitu cinta dan ketaatan kepada Baginda Rasulullah inilah yang sepatutnya menjadi perhatian utama sekaligus perlu untuk kita usahakan dengan istiqamah.  Ini disebabkan oleh cinta kepada Allah dan RasulNya merupakan suatu kewajiban syar’i yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Taala. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” [TMQ at-Taubah (9): 24]

Dari Anas r.a., dia berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman seorang hamba hingga aku lebih dicintai daripada keluarganya, hartanya, dan seluruh manusia yang lainya.”  [ Mutafaq ‘alaih]

Saidina Umar juga pernah berkata, “Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada mana-mana manusia yang ada di dunia ini kecuali jiwaku yang berada di dalam jasadku”. Kata-kata Umar Radhiallahu Anhu. ini disambut oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dengan tegas: “Tiada sesiapa pun yang benar-benar menjadi Mukmin sejati sehinggalah aku lebih dicintainya walaupun daripada dirinya sendiri”. Mendengarkan sabda yang mulia ini, Umar RA lantas berkata: “Demi Tuhan yang menurunkan Kitab kepadamu, sekarang ini engkau lebih aku cintai daripada diriku yang berada di dalam jasadku”. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda: “Sekarang (barulah kamu mempunyai iman yang sempurna) wahai Umar!  [Bukhari dan Muslim]

Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, sebagaimana halnya kecintaan kepada siapa pun dan pada apa-apa pun pasti menuntut sejumlah pengorbanan tertentu, dan bukanlah sekadar diwujudkan dengan kata-kata dan puji-pujian ke atas Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, kesan sewajarnya yang dituntut daripada kaum Muslim adalah kewajipan dan ketaatannya untuk mengikuti dan meneladaninya, bukan semata-mata hanya tertumpu dalam akhlak atau nilai moral baginda sahaja, tetapi juga dalam seluruh gerak-kerja dan perilaku baginda. Demikianlah sebagaimana firman Allah berikut yang bermaksud: “Katakanlah, "Jika kalian (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kalian." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [TMQ ali Imran (3): 31].

Ibn Katsir dalam tafsirnya turut menyatakan bahawa ayat di atas merupakan kata putus bahawa siapa pun yang mengaku mencintai Allah, sementara ia tidak mengikuti jalan hidup Nabi Muhammad, maka dia adalah pendusta, sehinggalah dia betul-betul mengikuti seluruh syariat Muhammad dan agama yang dibawanya di dalam seluruh ucapan dan perilakunya. Manakala, dalam Tafsir al-Qurthubi, al-Azhari, menyatakan, "Mencintai Allah dan Rasul-Nya ditunjukkan dengan mentaati keduanya dan menjalankan perintah keduanya."

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman yang maksudnya: “Sungguh telah ada suri teladan yang baik pada (diri) Rasulullah bagimu,(yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah.”  [TMQ al-Ahzab(33): 21]

Kedua:  Kesalahfahaman tentang cara mencontohi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam.  Sebagaimana yang sering diingatkan oleh para penceramah,  umat Islam mesti sedar bahawa perasaan cinta sahaja kepada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam tidaklah mencukupi tanpa diikuti dengan usaha untuk meneladani Baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam segala perbuatan.  Akan tetapi, isu bagaimana dan dalam apa-apa jua perkara yang menuntut kita  meneladani Rasulullah secara praktikalnya masih tidak difahami oleh umat Islam. Majoriti antara kita lebih cenderung untuk bersikap parsial, iaitu mengambil suatu bahagian dan meninggalkan suatu bahagian lainnya.  Ini jelas dilihat apabila kita memilih untuk memenuhi kewajipan dalam aspek ritual-spiritual tetapi meninggalkan aspek lainnya yang lebih luas, termasuk dalam sistem pemerintahan, ekonomi, sosial, perundangan, hukuman, pendidikan dan lain-lain.  Hal ini seolah-olah Baginda tidak meninggalkan apa-apa panduan untuk kita, walhal sebenarnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam juga telah memberikan contoh dalam melaksanakan perkara-perkara tersebut.  Kita harus sedar bahawa Rasulullah bukan sahaja seorang ahli ibadah, malah baginda juga merupakan seorang suami, ayah, ahli politik yang agung, pemimpin dalam struktur sama ada ketua negara mahupun ketua angkatan perang, malah baginda sendiri juga merupakan seorang ahli perang.  Rasulullah juga merupakan seorang pendakwah, pembawa risalah Allah, penyebar Islam dan pembawa rahmat ke seluruh alam.

Oleh itu, di saat ini kita sepatutnya sudah menyedari sama ada kita benar-benar sudah memenuhi seruan baginda atau tidak.  Mengapa saat ini kita masih tidak mahu meninggalkan riba’ dan transaksi-transaksi batil yang dibuat oleh sistem kapitalisme, tidak mahu mengatur urusan sosial dengan aturan Islam, tidak mahu menjalankan pendidikan dan politik Islam, tidak mahu menerapkan hukum-hukum Islam (seperti qishâsh, potong tangan bagi pencuri, rejam bagi pezina, sebat bagi pemabuk, hukuman mati bagi yang murtad, dll), juga tidak mahu mengatur pemerintahan/negara dengan aturan-aturan Islam?  Bukankah semua itu  pernah dipraktikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam selama bertahun-tahun di Madinah dalam kedudukannya sebagai kepala Negara Islam (Daulah Islamiyah)?  Bahkan para sahabat dan pencinta Rasulullah yang sejati juga telah menuruti jejak langkahnya dengan menerapkan sistem Islam kaffah ke dalam kehidupan baik individu, masyarakat mahupan negara.

Khatimah
Kini, sudah saatnya kita mencintai Rasul bukan hanya sebatas kata-kata, terhenti di lisan atau semasa Maulidur Rasul sahaja, tetapi wajib bagi kita mengkaji dan mengikuti serta menzahirkan perjuangan hidup Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam dan mengaplikasikannya dalam kehidupan ini.

Wahai kaum Muslimin!  Zaman kenabian telah berakhir dengan pengutusan Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam, Nabi yang terakhir dan penutup segala nabi. Kalian sekali-kali tidak akan dapat menjadi nabi, tetapi kalian boleh memilih di antara dua jalan. Pertama, untuk hidup mulia denganmeneruskan teladan yang ditinggalkan Nabi Allah SAW atau kedua, hidup dalam kehinaan kerana meninggalkan sunnah Nabi.  Bagi kedua-dua jalan itu ada penyudahnya yang Allah sediakan bagi kalian di Akhirat.  Wallahu`alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan