Rabu, 26 Januari 2011

Penawar DUKA

Tersebutlah sebuah kisah, seorang wanita hidup bahagia bersama anak lelaki tunggalnya. Tiba-tiba tanpa diduga anak tunggal kesayangannya direntap kematian. Tak terkira betapa sedihnya si ibu dengan kehilangan anak tersayang. Untuk menghilangkan kesedihan yang tak tertanggung dia (kita beri nama Hazinah) pergi menemui seorang alim yang bijak di daerahnya. Dia meminta orang alim tersebut memberitahu bagaimana caranya untuk mengembalikan anak tunggalnya yang telah mati agar hidup kembali. Apa cara sekalipun akan diusahakan walaupun sukar.

Orang alim memerah otaknya sehabis daya untuk mencari jalan bagaimana menghidupkan anak Hazinah yang telah mati. Akhirnya dia mendapat satu idea, lalu dikemukakan idea bernasnya itu kepada Hazinah.

- Bawakan kepada saya satu biji biji sawi. Syaratnya biji sawi itu hendaklah diambil daripada sebuah rumah yang tidak mengenal langsung erti kesedihan!
Dengan keazaman yang kental, Hazinah mula melangkah mengunjungi rumah demi rumah di sekitar daerahnya untuk mendapatkan sebiji biji sawi.

Mula-mula dia mengetuk pintu sebuah rumah. Seorang perempuan tua membuka pintu, dia menjenguk sambil menghadiahkan sekuntum senyuman manis kepada Hazinah. Hazinah bertanya tuan rumah:

- Adakah ahli rumah ini mengenali kesedihan?

Soalan itu dijawab oleh perempuan tua dengan senyuman pahit sambil air mata bercucuran dari matanya. Dia mengajak Hazinah masuk dan menceritakan kisahnya.

- Suamiku telah meninggal dunia setahun yang lalu. Dia meninggalkan empat orang anak perempuan dan dua orang anak lelaki. Tiada langsung sumber pendapatan untuk kami sekeluarga sehingga kami terpaksa menjual perkakas rumah. Kini tidak ada apa lagi yang tinggal untuk dijual.

Hazinah sangat terkesan mendengar penderitaan perempuan itu. Dia cuba sedaya mampu meringankan beban yang ditanggung. Kunjungan itu berakhir dengan jalinan persahabatan dan Hazinah berjanji akan datang lagi menziarahinya.

Hazinah meneruskan perjalanan mengunjungi rumah ke dua sebelum menjelang mangrib untuk mencari apa yang dihajatinya. Di rumah kedua, dia menemui seorang suri rumah yang suaminya sedang sakit tenat. Makanan untuk anak-anaknya telah kehabisan beberapa hari yang lalu. Hazinah sangat kasihan melihat keadaan keluarga itu. Dia segera ke pasar dan membeli bahan-bahan mentah seperti gandum, minyak dan lain-lain. Dia kembali semula ke rumah itu dan membantu tuan rumah memasak untuk keluarganya kemudian membantunya menyuapkan makanan kepada anak-anaknya. Setelah selesai, dia meninggalkan keluarga malang itu dan berjanji akan menjenguk lagi di lain kali.

Esoknya Hazinah meneruskan pencariannya. Rumah demi rumah diziarahi namun tidak ada sebuah rumahpun yang tidak mengenal kesedihan untuk diambil daripadanya sebiji biji sawi. Oleh kerana Hazinah seorang wanita berhati mulia, dia berusaha membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh setiap rumah yang dikunjungi atau sekurang-kurangnya berusaha meringankan beban mereka dan melakukan sesuatu yang menyenangkan hati mereka.

Hari demi hari sepanjang pencariannya dia membina persahabatan dengan ahli keluarga yang dikunjungi menyebabkan dia lupa apa yang ingin dicarinya, iaitu sebiji biji sawi.

Dia tidak menemui sebuah rumahpun yang tidak mengenali kesedihan. Malah dia sendiri telah larut dengan kesedihan yang mereka alami menyebabkan dia lupa kepada kesedihannya sendiri.

Demikianlah saranan yang telah diberikan oleh orang alim yang bijak telah dapat mengubat kesedihan Hazinah.

Sesungguhnya menulung orang lain, berkongsi suka duka dengan mereka menjadikan kita bebas dari belenggu keakuan yang sempit. Dengan itu juga kita akan disayangi mereka dan hidup kita akan bahagia.

Musibah yang menimpa kita tidak mungkin dapat diketahui besar atau kecil kecuali setelah kita mengukurnya dengan musibah yang menimpa orang lain…
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan