Nampaknya isu Ketuanan Melayu masih menjadi ratib yang tidak henti-henti keluar dari mulut pimpinan UMNO. Peliknya tidak pula istilah ini disebut ketika Konvensyen BN 2010 yang lepas. Adakah Ketuanan Melayu tidak boleh menembusi pintu Dewan San Choon, Wisma MCA di mana konvensyen itu berlangsung?
Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau. Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah SWT? Firman-Nya (surah Ali-Imran ayat 19):
Maksudnya: Sesungguhnya, ad-Din (agama yang benar) di sisi Allah hanyalah Islam.
Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah SWT? Ini kerana Islam adalah anugerah, maka bertuah dan rahmatnya mereka yang dianugerahkan hidayah Islam. Firman Allah SWT (surah Ali-Imran ayat 164):
Bermaksud : Sesungguhnya benar-benar Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah. dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.
Namun, dukacita sekali apabila ada orang yang tidak memanfaatkan anugerah itu, kerana menolak Islam. Ini berlaku di kalangan orang Melayu yang mendukung UMNO, kerana amalan UMNO itu sendiri yang berjuang menegakkan Ketuanan Melayu dan menolak Ketuanan Islam. Bila menolak Islam ertinya menolak anugerah daripada Allah SWT. Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima. Demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengenepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka. Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu. Apa yang peliknya, di samping menjulang Ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab Ketuanan Melayu?
Hakikatnya, apabila melaungkan Ketuanan Melayu, ia sudah dilihat sebagai mengenepikan Islam. Mengenepikan Islam bermakna tidak menerima asas-asas agama di dalam membela rakyat. Maka, tanpa memakai agama (Islam) orang Melayu hanya akan menjadikan bangsa yang hina, bukannya lebih mulia. Malah di dalam al-Quran sendiri Allah berfirman (surah Ali-Imran ayat 85):
Bermaksud: Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam maka dia termasuk dalam golongan mereka yang rugi di akhirat nanti.
Layakkah pimpinan yang dilihat hina dan rugi itu menjadi tempat rakyat bergantung? Dalam konteks UMNO yang memerintah negara ini, dan apabila kepimpinan mereka asyik dengan Ketuanan Melayu (menolak Islam) musibah kepimpinannya bukan sahaja orang Melayu, bahkan orang bukan Melayu akan disembelih dengan slogan seperti ini. Apa yang berlaku di Kelantan adalah buktinya, tatkala Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh pemimpin yang bertunjangkan Ketuanan Melayu. Begitu pula, satu ketika (selepas pilihann raya 2008) kerajaan Pakatan Rakyat membahagi-bahagikan tanah untuk penduduk Cina dalam kampung baru di Perak, pemimpin UMNO begitu lantang menentang. Semacam orang Cina tak layak menerima milikan tanah. Malah belum lagi kita lupa, kerajaan Selangor ketika diperintah UMNO (sebelum 2008) pernah mengambil tindakan merobohkan kuil-kuil Hindu atas alasan pembinaan haram.
Kesemuanya adalah angkara perjuangan Ketuanan Melayu yang tidak relevan dan perjuangan yang sia-sia. Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman kerana Islam itu adalah agama untuk semua orang.
Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai ad-Din (din dan daulah). Justeru itu, wahai UMNO, marilah balik kepada Islam sebagai penyelesaian yang sempurna, iaitu suatu penyelesaian yang datang daripada Allah SWT. Ia sudah sempurna, tanpa cacat cela sedikitpun, jauh sama sekali dari sifat kehinaan. Firman Allah SWT (surah al-An’am ayat 115):
Bermaksud : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat merobah robah kalimat-kalimat-Nya dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Akidah kita umat Islam, al-Quran ialah manual dari Allah SWT untuk manusia mentadbir dunia. Justeru, apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasib orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada al-Quran. Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam. Justeru marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang dihidapi. Tidak guna jika menggunakan ubat yang salah, penyakit tidak sembuh bahkan semakin melarat. Dalam hal ini, Ketuanan Melayu ialah ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.
Al-Quran menyatakan bahawa sesuatu bangsa tidak mempunyai sebarang kelebihan ke atas bangsa yang lain, yang melebihkannya hanyalah taqwa kepada Allah SWT. Renunglah sejenak sekali lagi firman Allah SWT (surah al-Hujurat ayat 13) :
Bermaksud: Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.
Kemuliaan tidak pernah bergantung kepada bangsa. Ia hanya wujud apabila sesuatu bangsa itu bertaqwa kepada Allah SWT. Bangsa Arab yang melakukan hampir kesemua jenis jenayah di dunia, akhirnya menjadi mulia apabila menerima Islam. Jika bangsa Arab yang sedemikian jahil itupun dimuliakan Allah SWT dengan Islam, apa peliknya jika bangsa Melayu pun boleh dimuliakan oleh Allah SWT, syaratnya berpegang dengan Islam!
Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela. Alhamdulillah, di Kelantan, saya telah menerajui Kerajaan Negeri selama 20 tahun dengan tidak pernah menyebut Ketuanan Melayu, namun orang Melayu tetap terbela dan terjaga. Manakala al-Sultan Kelantan pula disayangi oleh semua kum di setiap pelusuk negeri. Kaum bukan Melayu pula tidak mempunyai sebarang masalah untuk berada di Kelantan. Bimbang saya andainya Ketuanan Melayu disebut-sebut dan diulang-ulang, ia hanya akan memarakkan rasa dendam dalam diam dan api membakar di dalam senyap.
Cuba kita semua ingat kembali, natijah amalan Ketuanan Melayu jugalah yang telah menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah satu ketika dahulu dan kesannya hari ini lahirnya generasi yang buta al-Quran. Jawi yang menjadi tulisan asal bahasa Melayu di’kebumikan’ secara hina berkafankan Ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu jugalah yang menghapuskan bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat dan Ketuanan Melayulah yang bertanggungjawab terhadap terhakisnya tanah rezab Melayu di seluruh negara. Jenayah Ketuanan Melayu ini sebenarnya cukup panjang untuk ditulis. Ia menyimpulkan bahawa Ketuanan Melayu tidak membawa apa-apa faedah untuk negara hatta untuk bangsa Melayu sekalipun.
Marilah kita sama-sama mengingatkan satu sama lain tentang akhirat. Akhirat yang menjadi tempat tuju sama ada Melayu atau bukan Melayu. Ia khusus untuk Allah SWT membalas setiap perbuatan manusia. Justeru, kita diperintahkan mengulang-ulang peringatan ini beratus ribu kali sepanjang hidup kita melalui surah al-Fatihah yang menjadi bacaan wajib di dalam solat. Tujuh ayat yang menjadi agenda utama hidup seorang muslim diulang baca sentiasa, dan satu daripada ialah peringatan tentang hari kiamat. Firman Allah (surah al-Fatihah ayat 4):
Bermaksud: Yang menguasai di hari Pembalasan.
Yakinlah, tibanya kita di stesen yang bernama akhirat, Ketuanan Melayu tidak akan membawa apa-apa harga lagi di mahkamah Allah SWT!
Catusan di Wad 2, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian
6 Muharram 1432H/13 Disember 201M
6 Muharram 1432H/13 Disember 201M
Tulisan Jawi!
BalasPadam-
Semakin Terancam?! Semarak Jawi