Isnin, 20 Disember 2010

Seorang Syaikh pergi ke Pusat Tari Menari

(Diceritakan oleh Syaikh Dr. Muhammad bin Abdul Rahman al-‘Arifi, Saudi)

Seorang lelaki menceritakan kepadaku…

Di daerah saya terdapat sebuah masjid kecil. Imamnya seorang yang telah tua. Dia menghabiskan usianya dengan solat dan mengajar.

Dia begitu mengambil berat terhadap makmum yang bersolat di masjid itu. Baginya semua makmum itu adalah anak-anaknya. Dari sehari ke sehari dia mendapati bilangan yang datang berjamaah semakin berkurangan.

Pada suatu hari usai solat berjamaah, dia menoleh ke arah ahli jamaah dan bertanya:
- Apa yang telah terjadi ke atas kebanyakan penduduk daerah ini, khususnya orang-orang muda? Mengapa mereka tidak mendekati masjid dan tidak mengenaliku sebagai imam di sini?

Para jamaah menjawab:
- Orang-orang muda berada di pusat hiburan dan pusat tari menari (al-malahi wa al-maraqis)

Imam bertanya dengan penuh kehairanan:
- Al-maraqis? Apa itu al-maraqis?

Salah seorang ahli jamaah menjawab:
- Al-maraqis tu, ialah satu dewan besar, terdapat lantai kayu yang tinggi (pentas). Remaja-remaja perempuan akan naik ke atas pentas itu dan menari. Pengunjung-pengunjung yang duduk di bawah akan menyaksikannya.

- أعوذ بالله! Orang-orang yang menyaksikan itu adalah muslim?
- Ya!
- لا حول ولا قوة إلا بالله ! kita wajib menasihati mereka!
- Wahai Syaikh, tuan hendak menasihati dan memberi peringatan kepada mereka yang berada di pusat tari menari tu?
- Ya!
Lantas imampun bangkit dari duduknya. Dia terus keluar dari masjid sambil mengajak semua jamaah mengikutinya. Mereka cuba menghalang niatnya dengan mengatakan bahawa orang-orang di al-maraqis itu akan mengejek, mempersenda atau mungkin akan menyakitinya (dengan memukul atau sebagainya). Dia menjawab dengan tegas:
- Adakah kita ini lebih baik daripada Rasulullah s.a.w.?

Dia memegang tangan para jamaah sambil berkata:
- Ayuh, tunjukkan aku di mana al-maraqis itu?
Dia melangkah dengan pantas, tegas dan penuh yakin diikuti para jamaah sehinggalah mereka sampai di al-maraqis. Dari jauh tuan punya al-maraqis melihat mereka berjalan beramai-ramai. Pada sangkaannya mereka itu hendak ke majlis ilmu atau menghadiri program ceramah agama. Rupa-rupanya rombongan itu datang ke al-maraqisnya. Dia terpinga-pinga kehairan, lalu bertanya:
- Tuan-tuan hendak apa?

Imam menjawab:
- Kami hendak memberi nasihat kepada mereka yang berada di tempat ini.
Tuan punya al-maraqis semakin kaget. Dipandangnya mereka semua tanpa berkelip. Dia menolak hasrat Imam dengan baik. Imam memujuknya dan mengingatkannya dengan pahala yang besar sekiranya dia membenarkan Imam masuk dan memberi nasihat kepada mereka yang berada di dalam al-maraqisnya. Dia tetap menolak.

Kemudian Imam membuat tawaran dengan memberi ganjaran, iaitu membayarnya sebanyak pendapatan hariannya. Tuan punya al-maraqis akhirnya bersetuju dan meminta supaya Imam serta ahli rombongannya datang keesokan hari waktu al-maraqisnya mula beroperasi.

Keesokan harinya…
Di atas pentas sedang riuh rendah dengan tarian dan hilai tawa para pengungjung yang dihasut nafsu syaitan durjana, tiba-tiba tirai dilabuhkan. Pengunjung-pengunjung yang ada di bawah kebingungan dan tetanya-tanya sama sendiri.

Sebentar kemudian, tirai diangkat. Tiada penari, sebaliknya seorang tua sedang duduk di atas kerusi dengan tenang.

Pada mulanya pengunjung menyangka itu adalah suatu gimik atau sesi lawak jenaka…

Imam memulakan bicara dengan tenang. Dia membaca basmalah, memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. kemudian terus menasihati mereka semua.

Mereka berpandangan antara satu sama lain. Ada yang ketawa, yang mengutuk, yang mengejek dan sebagainya. Imam terus menyampaikan nasihatnya tanpa mempedulikan reaksi mereka. Akhirnya seorang pengunjung bangun dan meminta hadirin agar diam dan beri tumpuan kepada apa yang disampaikan orang tua itu.

Imam meneruskan bicaranya dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran, Hadis-hadis Nabi s.a.w. serta kisah-kisah orang yang bertaubat daripada melakukan maksiat. Antara lain dia berkata:

- Wahai sekelian manusia, sesungguhnya kamu telah hidup lama dan kamu telah banyak buat maksiat. Ke mana perginya kelazatan maksiat itu? Kelazatan itu telah berlalu pergi. Yang tinggal adalah lembaran-lembaran hitam. Kemudian kamu akan disoal tentangnya pada Hari Qiamat kelak. Akan tiba satu hari di mana semuanya akan binasa kecuali Allah Yang Maha Esa lagi Perkasa. Wahai manusia, adakah kamu perhatikan amalan kamu? Ke manakah amalan itu akan membawa kamu? Sesungguhnya kamu tidak mampu menanggung kepanasan api di dunia yang merupakan satu bahagian daripada 70 puluh bahagian (1/70) api Jahnnam. Maka segeralah bertaubat sebelum terlambat.

Perkataan-perkataannya mula menusuk hati. Kalimah yang lahir dari hati akan sampai ke hati. Semua hadirin menangis tersedu-sedu. Lalu Imam berdoa supaya Allah ampuni dan rahmati mereka. Doanya yang tulus ikhlas diaminkan oleh mereka semua.

Imam bangun dari kerusinya dengan hati yang cukup puas telah dapat melaksanakan tugasnya. Semua hadirin berdiri dan mengikutinya. Alhamdulillah semuanya bertaubat dengan usahanya termasuk tuan punya al-maraqis turut menyesal dengan usahanya selama ini.

Pengajaran: di mana ada kemahuan di situ ada jalan insya Allah. Ikhlaskan niat, dakwah kita perhebat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan