Selasa, 21 Disember 2010

MANUSIA CERDIK IALAH MEREKA YANG MENGINGATI MATI

Oleh: Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat

TIDAK seorang pun yang sudi digolongkan sebagai orang yang jahil atau bebal, sebaliknya masing-masing ingin dipandang sebagai orang yang bijak dan cerdik. Sekalipun mereka tidak berusaha untuk melayakkan dirinya untuk digolongkan sebagai manusia bijak dan cerdik, malah tidak kurang juga orang yang berlagak bijak meskipun dia sebenarnya adalah sebaliknya.

Ada orang yang mengukur kebijaksanaan seseorang itu berdasarkan ijazah yang dimiliki, kerana orang yang lulus dalam sesuatu pepereksaan hingga melayakkan mereka menerima ijazah itu, adalah bukti bahawa dia seorang yang bijak. Si jahil adalah mustahil boleh mencapai segulung ijazah, kecuali dia telah berusaha membuang kejahilannya dengan belajar bersungguh-sungguh.

Tidak dinafikan orang yang memiliki ijazah adalah orang yang bijak, tetapi tidak pula bererti orang yang tidak memiliki ijazah itu tidak bijak, kerana jika ditinjau dari kacamata Islam bahawa orang yang beriman itu lebih bijak dari orang yang tidak beriman. Orang yang beriman dianggap bijak oleh Islam kerana mereka mengetahui tentang Allah yang Maha Esa, mengetahui rahsia disebalik alam barzakh. dan seterusnya mengetahui alam akhirat kekayaan dari harta negara dengan memperalatkan kekuasaan yang dimiliki, untuk kepentingan diri dan kelompoknya.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Peniaga yang amanah akan bersama para malaikat yang mulia di akhirat kelak." dan pada hadith yang lain disebut: "Peniaga yang amanah akan bersamaku (Rasulullah) di dalam syurga."

Natijah dari banyak mengingati mati itu akan melahirkan manusia yang berdisiplin tinggi, berakhlak mulia, tidak gentar menghadapi ancaman manusia, kerana dia tidak takut selain kepada Allah Taala. Dia berani menyatakan kebenaran meskipun seorang diri, kerana kebenaran itu adalah dari Allah Taala, justeru tidak ada sesuatu yang meragukan dia.

Orang yang mengingati mati akan sentiasa berusaha menambahkan ilmu terutamanya tentang ilmu yang berhubung dengan Allah Taala, kerana asas kepada keimanan ialah ilmu. Sebab itulah Allah Taala berjanji akan mengangkat darjat orang yang berilmu sebagaimana firman-Allah SWT:

11. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan.
(Surah al-Mujadilah ayat 11)

Allah Taala mengangkat derajat orang beriman dan berilmu pengetahuan kerana mereka mempunyai asas yang kukuh untuk unggul ketaqwaannya, berdasarkan bahawa hati mereka sentiasa mengingati mati, sangat sensitif terhadap suruhan dan larang Allah, tidak mungkin mereka akan melanggar larangan Allah Taala, kerana meninggalkan kefardhuan dan melakukan kejahatan akan menyulitkan kehidupannya di alam barzakh dan di akhirat. Mereka sentiasa gementar hatinya terhadap ancaman Allah. Seperti firman Allah Taala yang bermaksud:

28. Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang Yang melata serta binatang-binatang ternak, ada Yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

Mengingati mati tidak akan menimbulkan kesan yang pasif atau negatif, sebagaimana anggapan setengah golongan orang yang tidak memahami hikmah di sebalik zikrul maut itu. Ramai orang jahil berkata, jika asyik ingat mati nescaya tidak akan membangun. Anggapan itu amat keliru kerana pembangunan masyarakat manusia tidak hanya pembangunan benda, kerana pembangunan benda tanpa pembangunan jiwa atau rohani pasti akan hancur binasa.

Dunia menyaksikan betapa kemajuan benda yang dihasilkan oleh kepakaran manusia, kemudiannya dihancurkan oleh tangan manusia sendiri. Los Angles sebuah bandaraya di Amerika musnah menjadi abu apabila manusia merusuh, ekoran dari rasa tidak puas hati terhadap sistem perundangan yang tidak menghasilkan keadilan seperti yang mereka harapkan, khususnya ketika membicarakan kes Rodney King.

Demikianlah nasib sebuah kotaraya yang disuburkan dengan tamaddun kekufuran, akibat sistem perundangan ciptaan manusia yang tidak berteraskan wahyu Ilahi, tanpa iman kepada Allah Taala, tiada kepercayaan kepada hari pembalasan, sebab itulah perundangan mereka tidak menjanjikan keadilan.

Andainya manusia membangun kebendaan dan kemudiannya tangan mereka sendiri pula yang meruntuhnya, sudah nyata mereka bukan golongan yang cerdik. Justeru orang yang bodoh dan dangkal saja yang membina tamaddun benda semata-mata yang tidak menjanjikan kebahagiaan, sebaliknya untuk mewarisi kesengsaraan.

Mengingati mati akan melunakkan hati yang keras, serta menjinakkan narsu yang ganas, umpama seekor harimau yang hilang garangnya apabila tali tas atau tali cemeti dipecutkan di hadapannya.

Apabila nafsu yang ganas telah ditundukkan, maka akan bertambah mudahlah usaha untuk membuat persiapan dan bekalan bagi menghadapi suatu kehidupan abadi selepas mati. Justeru nafsu yang ganas itulah yang selama ini menjadi penghalang, hendak menderma untuk kebajikan atau perjuangan menegakkan kalimah Allah tidak lagi keberatan kerana sifat bakhil yang didalangi oleh nafsu itu sudah ditundukkan.

Orang yang tidak pernah mengingati mati adalah orang yang dangkal ilmu pengetahuan dan lemah, terutama dalam aspek kerohanian. Golongan tersebut sering menjadi tunggangan kepada nafsunya sendiri, hidup dalam suasana lalai dan terpesona dengan kelazatan dunia yang bersifat sementara, sedangkan kesenangan akhirat itulah yang kekal. Jika ada manusia yang tidak memilih kebahagiaan yang kekal, nescaya mereka itu adalah terdiri dari orang-orang yang dungu.

Read more: http://www.pahangkini.net/rencana/agama/144-manusia-cerdik-ialah-mereka-yang-mengingati-mati#ixzz18iC0RHfy

Tiada ulasan:

Catat Ulasan