Sabtu, 18 Disember 2010

Golongan Yang Membisu Terhadap Kemungkaran

Oleh : Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Firman Allah SWT menerusi ayat 54 Surah al-Baqarah yang bermaksud :
"Bunuhlah diri kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani."

Ia berlaku dalam satu peperangan yang dijadikan Allah SWT dan mengikut riwayatnya, mereka tidak sanggup melihat muka masing-masing. Akhirnya Allah SWT jadikan gelap, dengan itu mereka mengamuk antara satu sama lain tanpa ada sebarang perasaan belas kasihat lagi.

Riwayat lain pula menyebut, yang tidak menyembah patung anak lembu memegang senjata lalu membunuh mereka yang menyembah patung tersebut.
Riwayat yang terdahulu daripada itu menyebut, bahawa orang yang meyembah dan tidak menyembah patung tersebut kedua-dua belah pihak terkena hukuman belaka.

Sebab apa mereka semua dikenakan hukuman? Sebab yang jelas ialah kerana mereka tidak menyembah patung dan kerana mereka berdiam diri dengan terlibat menyekutukan Allah dengan menyembah patung tersebut.
Firman-Nya lagi dalam ayat 79 surah al-Maidah yang bermaksud :
"Mereka sentiasa tidak berlarang-larang (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereke lakukan. Demi seseungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka lakukan."
Mereka mendiamkan diri terhadap kemungkaran tersebut. Mereka tidak setuju tetapi hanya sekadar benci di dalam hati sahaja. Oleh kerana itulah kepada umat Nabi Muhammad ini, baginda s.a.w berpesan dengan maksudnya:
" Sesiapa di kalangan kamu yang melihat perkara mungkar, hendaklah dia mengubah dengan tangannya, kalau tidak berkuasa mengubah dengan tangan , maka dengan lidah, kalau tidak berkuasa dengan lidah, maka benci di dalam hati, itulah tanda selemah-lemah iman."
Mengikut satu riwayat lain dan tidak ada selepas daripada itu iman walaupun sebesar biji sawi.

Ertinya kalau benci di dalam hati tidak ada, maka bererti bersetujulah dengan kemungkaran yang berlaku. Berhubung dengan ini, ada ulama mentafsirkan mengubah dengan tangan ini ialah mengubah dengan kuasa kerajaan terhadap rakyatnya.

Apabila kerajaan itu melihat kemungkaran berlaku dan mestilah mengubah kemungkaran itu dengan kuasa yang ada padanya kecuali kalau kerajaan itu sendiri yang melakukan kemungkaran (atau menyuburkan pelbagai kemungkaran).

Kalau tidak berupaya dengan tangan, maka hendaklah mencegah kemungkaran itu dengan lidah. Mencegak kemungkaran dengan lidah ini menjadi tanggungjawab dan
kewajipan para ulama yang tahu hukum Allah. Mereka tidak boleh mendiamkan diri atau sekadar benci dalam hati sahaja.

Yang mencegah kemungkaran di dalam hati ialah orang yang tidak tahu bagaimana cara berhujah dengan orang yang terlibat dengan kemungkaran. Kalau mengerti berhujah, maka menjadi tanggungjawab kepada orang yang berkenaan untuk berhujah.

Berilmu di sini bukan bererti menimba ilmu sebanyak-banyaknya sampai bertaraf ulama atau sampai ke peringkat dapat mentafsirkan al-Quran, tahu menguasai bahasa al-Quran sehingga dapat membezakan hukum-hukum dalam al-Quran dengan jelas, baru kboleh kita berhujah dengan manusia.

Sekurang-kurangnya kita boleh memberi nasihat mengikut kadar ilmu masing-masing termasuk mengubah dengan lidah dan tulisan. Kalau tidak mampu dengan itu semua, maka barulah benci di dalam hati.

Umpamanya, dia tidak ada daya dan kemampuan, maka ketika itu dia hendaklah benci di dalam hati dan melahirkan perasaan kebenciannya terhadap kemungkaran yang berlaku.

Cara kita tidak setuju kemungkaran bermacam-macam, seperti kita melakukan pemulauan, tidak menegur mereka yang terlibat atau seumpamanya yang menunjukkan kita tidak setuju dengan kemungkaran yang dilakukan. Inilah cara yang diajar oleh Islam dan diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Yang terpilih masih buruk akhlaknya

Tidak ada sebarang penentangan daripada Bani Israil apabila melihat ada di kalangan kelompok mereka menyembah lembu yang dibuat oleh Musa as-Tsamiri.

Mereka berdiam diri terhadap kemungkaran yang dilakukan itu kerana mereka menjadikan keluarga sebagai asas kepada tidak perlunya sebarang pencegahan atau larangan terhadap perbuatan tersebut.

"Bagaimana mahu menetang mereka kerana mereka adalah puak kita, kalau Firaun melakukannya barulah kita tentang. Ini bukan Firuan tetapi Bani Israel, orang kita,"

Mungkin inilah antara hujah mereka dalam masalah ini.

Kalau kita kaitkan dengan orang Melayu pula, kita mungkin akan berkata: "Tidak boleh marah kepada orang Melayu sebab mereka sebangsa dengan kita, lainlah kalau mereka bangsa lain."
Inilah umpanaya perangai Bani Israel, mereka mendiamkan diri apabila mereka melihat kemungkaran itu berlaku dalam kelompok mereka.

Dengan sebab itu, Allah SWT mendera atau meghukum mereka dengan hukuman yang layak dengan perbuatan mereka iaitu dengan cara mereka membunuh antara satu sama lain sehingga Nabi Musa a.s berdoa kepada Allah (bermunajat kepada Allah) apabila mayat bergelimpangan, mengikut riwayatnya sampai 70,000 orang mati di dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai itu.

Nabi Musa bermunajat kepada Allah supaya mengampunkan dosa mereka sambil berasa sedih melihat keadaan mayat-mayat tersebut.

Allah SWT mengampunkan dosa mereka dan yang mati disifatkan sebagai mati syahid lalu mereka masuk syurga. Manakala yang masih hidup diampunkan dosa-dosa mereka.
Firman Allah SWT menerusi Ayat 54 Surah al-Baqarah yang bermaksud :
"Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima Taubat), lagi Maha Mengasihani."
Allah menceritakan tentang kedegilan nenek moyang Bani Israel supaya kaum itu mengingati kedegilan mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan ketika kamu berkata kepada Nabi Musa a.s : Di mana mereka berkata, inilah kaum Nabi Musa iaitu 70 orang yang telah dipilih olehnya supaya mengikutinya pada masa bermunajat kepada Allah SWT. Mereka inilah yang terpilih di kalangan Bani Israil tetapi sayangnya yang terpilih inipun perangainya masih buruk".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan