Isnin, 1 November 2010

Hukum-hakam Qurban Berdasarkan Mazhab al-Syafie

QURBAN

Pengertiannya
Qurban ialah sembelihan binatang, iaitu unta, lembu, kambing dan biri-biri. Qurban ini bertujuan untuk mendampingkan diri kepada Allah SWT dan dilakukan pada Hari Raya Qurban.

Dalil Pensyariatan
Dalil pensyariatannya ialah firman Allah SWT:
Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (Surah al-Kautsar: 2)

Maksud sembelih dalam ayat tersebut menurut pendapat yang paling sahih ialah sembelihan qurban.

Dalil hadith pula ialah:
Maksudnya: "Nabi SAW menyembelih dua ekor kibasy putih yang bertanduk besar sebagai qurban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut". Riwayat al-Bukhari (5245) dan Muslim (1966)

Hikmah Pensyariatan
Qurban ialah ibadat. Setiap qurban yang dilakukan kerana ibadat mempunyai hikmah dan faedah selain daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT. Hal ini samalah dengan ibadat-ibadat yang lain.

Hikmah yang paling jelas dan tinggi nilainya tentang qurban adalah untuk menghayati samangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS, iaitu ketika Allah SWT menguji Baginda supaya menyembelih anaknya. Kemudian Allah SWT menebusnya dengan seekor kibasy yang diturunkan-Nya dan memerintahkan Baginda menyembelihnya. Peristiwa ini berlaku setelah Nabi Ibrahim AS dan anaknya berusaha bersama-sama melaksanakan perintah Allah SWT.

Di samping hikmah tersebut, ibadat qurban juga menolong orang fakir dan orang yang berhajat serta menggembirakan mereka, anak isteri dan keluarga pada hari raya. Seterusnya dapat mengeratkan hubungan persaudaraan antara anggota masyarakat Islam dan menanamkan semangat hidup berjemaah serta berkasih sayang.

Hukum Qurban
Hukum Qurban ialah sunat muakkad tetapi kadangkala menjadi wajib dengan dua sebab:

Pertama: Apabila seseorang mengisyaratkan binatang kepunyaannya yang boleh dijadikan qurban sambil berkata: Inilah qurbanku atau Aku akan qurbankan kambing ini. Dengan itu dia wajiblah melakukannya.

Kedua: Apabila seseorang berazam hendak melakukan qurban untuk mendampingkan diri kepada Allah dengan berkata: Aku mewajibkan diriku berqurban kerana Allah. Lantas menjadi wajib kepadanya melaksanakan qurban itu. Hal ini samalah jika dia mewajibkan dirinya melakukan sebarang ibadat-ibadat sunat kerana ketika itu ia telah menjadi nazar.

Orang yang Dituntut Berqurban
Sunat berqurban bagi orang-orang yang cukup syarat-syarat berikut:
Pertama: Islam.
Tidak dituntut berqurban bagi orang yang bukan Islam.

Kedua: Baligh dan berakal.
Orang yang belum baligh dan tidak berakal tidak sunat berqurban kerana tidak mukallaf.

Ketiga: Berkemampuan.
Maksud berkemampuan ialah seseorang yang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka di bawah tanggungannya, sama ada makan, pakaian dan tempat tinggal pada sepanjang hari hari raya dan hari Tasyriq.

Binatang yang Disyariatkan Untuk Qurban
Qurban hanya sah dengan unta, lembu kambing dan biri-biri.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih qurban (atau lain-lainnya supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka, binatang-binatang ternak yang disembelih itu. (Surah al-Haj: 34)

Tidak terdapat hadith Nabi SAW atau kata-kata sahabat yang menunjukkan bahawa yang dijadikan qurban selain daripada binatang-binatang tersebut.

Binatang yang afdhal dijadikan qurban ialah unta, diikuti lembu dan kambing. Harus berqurban dengan seekor unta jantan atau betina atau lembu untuk tujuh orang.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Jabir RA katanya:
Maksudnya: "Kami berqurban bersama-sama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah dengan seekor unta untuk 7 orang dan seekor lembu untuk tujuh orang". Riwayat Muslim (1318)

Syarat Binatang Qurban
Umur: Umur unta yang hendak diqurban disyaratkan masuk tahun keenam. Umur lembu dan kambing telah masuk tahun ketiga, manakala umur biri-biri pula telah masuk tahun kedua atau telah tanggal gigi hadapannya sekalipun umurnya belum sampai setahun.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: "Biri-biri yang paling balk dibuat qurban ialah yang berumur 8 ke 9 bulan".

Tidak cacat: Ketiga-tiga jenis binatang qurban tersebut tidak cacat yang menyebabkan kurang dagingnya. Oleh itu, tidak sah qurban kambing yang terlalu kurus, sangat tempang, buta sebelah mata, berpenyakit atau putus sebahagian telinganya.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada al-Barra' bin Azib RA, daripada Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: "4 perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan qurban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya, penyakit yang nyata, jelas tempangnya, dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang". Riwayat al-Tirmizi (1497) dan Abu Daud (2802) -

Setiap perkara yang menyebabkan binatang itu kurus dan kurang dagingnya hendaklah diqiaskan kepada kempat-empat kecacatan tersebut.

Waktu Qurban
Waktu qurban bermula selepas terbit matahari pada Hari Raya Qurban, iaitu sekadar tempoh masa dua rakaat solat sunat hari raya dan dua khutbah. Waktu tersebut berterusan sehingga matahari terbenam pada hari tasyriq yang akhir. Harri tasyriq ialah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Waktu yang afdhal menyembelih binatang qurban ialah setelah selesai solat sunat hari raya.

Hal ini berdasarkan hadith:
Maksudnya: "Perkara pertama yang kami lakukan pada hari raya ini ialah bersolat kemudian balik dan menyembelih binatang qurban. Sesiapa yang melakukan perkara tersebut mereka telah melaksanakan sunnah kami dan sesiap yang melaksanakannya sebelum itu maka dagingnya adalah pemberian biasa kepada ahli keluarganya dan tidak dikira ibadat qurban". Riwayat al-Bukhari (5225)

Dalil hadith yang lain ialah, daripada Jubair bin Mut'im RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: "Dan setiap hari tasyriq adalah waktu untuk sembelihan qurban". Riwayat Ibn Hibban (1008)

Agihan Daging Qurban
Jika qurban wajib, sama ada kerana qurban nazar atau qurban binatang yang telah diisyaratkannya seperti yang dijelaskan, ia tidak harus digunakan oleh orang yang berqurban dan mereka yang di bawah tanggungannya. Mereka yang memakannya hendaklah menggantikannya atau membayar nilai.

Jika qurban sunat, harus bagi orang yang berqurban makan daging qurban yang dikehendakinya dengan syarat disedekahkan sebahagiannya. Tetapi yang afdhalnya ialah dia makan sedikit untuk mendapat keberkatan dan selebihnya disedekahkan. Dia juga boleh makan 1/3 bahagian, menyedekahkan 1/3 bahagian kepada orang fakir dan 1/3 bahagian lagi dihadiahkan kepada sahabat handai dan jiran tetangganya sekalupun mereka kaya. Akan tetapi mereka yang kaya tidak tidak boleh menjualnya kerana pemberian qurban itu sebagai hadiah untuk dimakan. Sementara daging yang disedekahkan kepada orang fakir telah menjadi hak miliknya. Dia boleh makan atau melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya.

Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu.Oleh itu, sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. (Surah al-Haj: 36)

Orang yang berqurban boleh menyedekahkan kulit binatang qurbannya atau mengambil manfaatnya, tetapi tidak harus menjualnya atau diberi kepada penyembelih sebagai upah menyembelih. Ini kerana perbuatan demikian adalah kecacatan yang merosakkan qurbannya.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: "Sesiapa yang menjual kulit binatang qurbannya, tidak sempurna qurbannya". Riwayat al-Baihaqi (9/294)

Sunat dan Adab Berqurban
Apabila tibanya 10 Zulhijjah, seseorang yang berazam melakukan sembelihan qurban, sunat baginya supaya tidak menghilangkan bulunya seperti rambut, janggut, misai dan lain-lain dan kukunya sehingga dilakukan penyembelihan. Oleh itu hendaklah menjaga kedua-duanya dengan baik.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Nabi SAW bersabda:
Maksudnya : "Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan antara kamu ada yang hendak melakukan ibadat qurban, maka janganlah dia membuang bulu dan kukunya". Riwayat Muslim (1977)

Orang yang berqurban, sunat menyembelihnya sendiri. Jika tidak dapat membuat demikian kerana uzur dan sebagainya, maka hendaklah dia menyaksikan penyembelihan tersebut.

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada Fatimah R.Anha:
Maksudnya: "Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan qurban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang teerdahulu. Fatimah bertanya: Wahai Rasulullah! Ini adakah khas untuk kita Ahlil Bait sahaja atau untuk kita dan orang Islam keseluruhannya? Jawab Rasulullah SAW: Bahkan untuk kita dan untuk orang Islam seluruhnya". Riwayat al-Hakim (4/222) dengan sanad yang sahih

Sunat bagi pemerintah atau pemimpin orang Islam menggunakan wang Baitul Mal untuk melakukan ibadat qurban bagi pihak rakyat Islam.

Hal ini berdasarkan hadith:
Maksudnya: "Nabi SAW menyembelih seekor kibasy untuk qurban sambil membaca: Bismillah Ya Allah! Terimalah qurban daripada Muhammad, keluarga Muhammad dan umat Muhammad". Riwayat Muslim (1967)

Baginda melakukan sembelihan itu di kawasan lapang di tempat orang ramai berkumpul mendirikan solat sunat hari raya. Sembelihan itu dilakukan oleh Baginda sendiri.

Hal ini jelas dalam hadith, daripada Ibn Umar RA katanya:
Maksudnya: "Rasulullah SAW telah menyembelih binatang qurban di kawasan lapang tempat bersolat". Riwayat al-Bukhari (5232)
--------------------------------------------------------------------------------
Petikan al-Fiqh al-Manhaji Mazhab al-Syafie (terjemahan), Darul Syakir Ent.

al-ahkam.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan