Ahad, 24 Oktober 2010

KHUTBAH JUMAAT 22/10/2010

TAJUK: AKHIRAT DIDAHULUKAN, SYURGA DIUTAMAKAN
Dan tidaklah ada Yang lebih zalim daripada orang Yang diberi ingat Dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa Yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; Sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka Yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). dan jika Engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka Dengan keadaan Yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya. (Surah Al-Kahfi : ayat 57)

Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia
Agak susah bagi sesiapa pun hendak menimbang sesuatu kebenaran dari satu-satu perkara bila bertembung antara kehendak agama dengan kehendak kebangsaan. Contoh yang mudah, katakanlah tarian asli menurut kebangsaan adalah baik. Tetapi menurut Islam adalah haram, atau bersanding menurut kebangsaan adalah mempertahankan adat warisan datuk nenek tetapi menurut agama adalah haram. Bersalam-salaman lelaki perempuan yang bukan mahram kononnya sebagai tanda kemesraan, menurut dasar kebangsaan adalah baik dan digalakkan tetapi menurut dasar agama adalah haram. Membaca doa pembukaan dimajlis2 rasmi dianggap baik tetapi kemudiaannya selepas habis berdoa disusuli pula dengan tari menari, pergaulan bebas yang menurut kebangsaan sebagai hiburan untuk memeriahkan suasana majlis dan menurut agama adalah diharamkan. Dan satu contoh lagi ialah menepung tawar adalah ajaran adat yang dikaitkan dengan fahaman bangsa boleh disebut juga di dalamnya ada semangat kebangsaan tetapi sekiranya menurut agama Islam hukumnya tidak disunnahkan.

Sebenarnya kalau saya hendak senaraikan pertembungan antara kebangsaan yang salah dengan ajaran agama yang benar terlalu banyak. Oleh sebab itu kalau satu-satu bangsa menjadikan kebangsaan sebagai asas perjuangan dan dalam masa yang sama juga mereka hendak mempertahankan agama, maka mereka akan menempuh pertentangan fikiran yang sangat hebat yang boleh membawa kepada sakit jiwa dan huru hara yang sebenarnya perjuangan itu adalah salah dan lari dari ajaran Islam yang sebenar atau dalam erti kata lain berjuang untuk mempertahankan dasar kebangsaan sehingga mengenepikan dasar agama adalah sesat lagi menyesatkan.

Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia
Dalam mempertahankan bangsa, adat warisan nenek moyangatau dasar kebangsaaan Negara, orang yang mengetahui agama terpaksa menerima kemungkaran yang dibuat oleh bangsanya sendiri seperti seorang ustaz yang ditugaskan di kementerian kebudayaan terpaksa menyaksikan tarian budaya bangsanya yang sudah tentu haram di sisi hukum syariat.

Waktu itu dia mesti pilih antara dua samada mengorbankan agama atau mengorbankan adat bangsanya. Kalau di dalam hatinya lebih banyak kepentingan bangsa, kepentingan diri dan dunia, maka sudah tentu dikorbankan agama. Tetapi kalau agama yang menjadi kecintaannya maka dikorbankan kepentingan bangsanya dengan berusaha mencegah, menegah, mengubah, menegur, memperbetulkan @ menggantikan dengan cara hiburan dan perlakuan Islam yang sebenar.

Ramai orang mempertahankan kejahatan bangsanya walaupun jelas bangsanya jahat kerana di dalam hatinya mempunyai jiwa atau semangat kebangsaan dan kadang-kadang juara yang mempertahankan bangsanya yang jahat itu terdiri daripada mereka yang boleh menguasai ilmu Al Quran dan hadis atau pada zaman ini disebut Mufti, Pengarah Jabatan Agama Islam, Ustaz, ustazah, Menteri Agama, Exco Agama dan yang sewaktu dengannya. Dicarinya hujah dalam hadis untuk mempertahankan kebatilan itu. Inilah golongan yang disebut Rasul: “Mereka yang menggunakan bahasa kamu (bahasa Al Quran) tetapi mengajak kamu ke jurang neraka.”

Moga-moga kita tidak bersama dengan golongan –golongan ini kerana mereka ini benar-benar wujud di dalam bumi Malaysia ini.

Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia
Setengah-setengah daripada negara bekas jajahan telah pernah memperjuangkan kesatuan bangsa. Semasa hendak menghalau penjajah, orang-orang agama menyangka di waktu itu biarlah bangsa itu merdeka lebih dahulu, setelah itu barulah kita perbaiki agama umat kita.

Tetapi rupa-rupanya setelah merdeka semangat nafsu bangsa diletakkan di hadapan. Dan sesiapa sahaja yang menentang kehendak nafsu bangsa dengan menggunakan agama akan disumbat ke dalam penjara. Inilah salah satu kesalahan yang besar yang dilakukan oleh mereka yang mencampur-adukkan agama dengan kebatilan bangsa. Bukannya sedikit perasaan duka yang terpaksa ditanggung oleh pejuang-pejuang agama lantaran kesilapan ini. Perjuangan menegakkan Islam ialah perjuangan membina iman. Iman dengan kufur tidak boleh barsatu. Iman dengan kufur tidak sehaluan. Iman jalannya ke akhirat dan syurga manakala kufur pula jalannya setakat pintu kubur sahaja dan di akhirat habuannya ialah neraka, sebab itulah golongan yang memperjuangkan Islam dengan golongan yang memperrjuangkan kebangsaan tidak boleh bersatu dan tidak sehaluan. Ayam dengan musang tidak boleh tinggal satu reban.

Perjuangan Rasulullah ialah perjuangan cinta iman dan Islam. Bukan perjuangan dicampur-aduk dengan semangat bangsa yang mana semangat bangsa adalah semangat daripada bara api kekufuran. Kalaulah orang Arab itu berjuang kerana bangsanya maka Islam tidak akan sampai kepada bangsa lain, Islam tidak akan sampai ke China, Afrika, India, dan juga ke bumi kita, Malaysia. Tetapi yang paling mulia dalam agama bukan bangsa Yahudi, bukan Nasrani, bukan bangsa Cina, bukan India, bukan bangsa Arab dan bukan bangsa Melayu tetapi yang paling mulia ialah orang yang bertaqwa. Sifat taqwa itu boleh dimiliki oleh bangsa apa sekalipun.

Tidak ada bangsa yang lebih baik dari bangsa lain kecuali bangsa yang lebih bertaqwa. Melayu yang bertaqwa lebih baik dari Cina yang tidak bertaqwa seperti juga Cina yang bertaqwa pasti lebih mulia dari Melayu yang tidak bertaqwa. Oleh itu janganlah kita sensitif atau melenting bila soal kebangsaan disinggung tetapi pejam mata bila Islam dan cara hidupnya diperkecil-kecilkan, dihina dan dipermainkan oleh orang yang mengaku Islam. Sepatutnya kita sensitive bila soal agama disinggung dan dipermain2kan.

Jaguh pejuang bangsa adalah kerdil dibandingkan dengan pejuang Islam. Sebab itu jaguh bangsa adakalanya dilupakan tetapi pejuang Islam sentiasa harum namanya dari zaman ke zaman, masih diingati, disebut dan dibanggakan serta dijadikan contoh seperti Imam2 Mazhab, Tariq bin Ziyad, Solehuddin al-Ayyubi, Hassan al-Banna, Syed Qutb, Syeikh Ahmad Yasin, Syeikh Rantisi, Al-Maududi, Sa’id Hawwa, Dato’ Ishak Baharom, As-syahid Ibrahim Libya, Ustaz Fadhil Noor dan lain-lain kerana mereka ini memperjuangkan agama bukannya memperjuangkan bangsa, fahaman2 sesat yang hina dunia akhirat . Kita merasa hairan dengan sebilangan kecil ulama di merata dunia Islam yang telah mengarang banyak kitab-kitab agama (samada kitab tauhid, fekah mahupun tasauf) tetapi melenting dan marah-marah bila adat atau sikap kebangsaannya yang bertentangan Islam ditegur. Kita sepatutnya merasa megahlah dengan Islam bukan dengan bangsa sepertimana kata Umar ibnul Khattab:
“Mulia Umar kerana Islam bukan kerana Arab.”

Berkata Jaafar bin Abi Talib sewaktu mengadap Najasyi:

"Dahulu kami bangsa Arab adalah bangsa padang pasir yang ganas dan berperang sesama sendiiri. Kami menanam anak-anak perempuan kami, memakan bangkai dan meminum arak. Tetapi datang Nabi Muhammad membawa Islam dan mengubah cara hidup kami kepada persaudaraan dan kasih sayang.”Jadilah seperti Umar dan Jaafar yang rasa mulia dengan Islam walaupun terpaksa mencaci adat buruk bangsanya.

Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia
Jalan keluar dari masalah ini, ialah berusaha untuk membebaskan diri daripada perangkap minda (mind trap) dan perangkap jiwa (psychological trap), dan perlunya kita menjana dan mengukuhkan jati diri Islami. Dalam hal ini saya teringat pesan pemikir Ikhwanul-Muslimin Syed Qutb kepada bangsa Arab dalam bukunya, ‘Ya Arabi’ (Wahai Bangsa Arab). Syed Qutb menyeru bangsa Arab supaya melaksanakan Islam sepenuhnya dalam kehidupan mereka kerana ‘hanya dengan Islam bangsa Arab menjadi mulia’, iaitu mengekori pandangan dari Umar Al-Khattab r.a. bahawa “Kita (bangsa Arab) dahulu adalah sehina-hina manusia, lalu Allah memuliakan kita dengan Islam; andainya kita cuba mencari yang lain selain Islam necaya Allah akan menghina kita kembali.”

Kalau Arab dahulu digeruni musuh disebabkan mereka berpegang kuat dengan Islam, maka kini kita dapat lihat kejatuhan dan penghinaan terhadap bangsa Arab disebabkan mereka menolak Islam. Keadaan yang sama juga perlu dilihat kepada bangsa Melayu di Malaysia.

Dr. Siddiq Fadhil menyebut kembali kata-kata Umar itu dalam pengantarnya pada buku ‘Jati Diri Dan Pisikik Melayu’, dengan menambah, “Dalam keadaan terdesak, Melayu selalu melaungkan kata pusaka ‘Tak Melayu hilang di dunia’. Seharusnya sumpah pahlawan yang bertekad melakukan come back di pentas dunia itu tidak diangkat sekedar menjadi slogan, tetapi diberi makna dengan pesan Allah s.w.t.; Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Maka demikianlah Allah .w.t. menerangkan mithal perbandingan.” – Surah Al-Ra’ad:17.”
Kesimpulannya bangsa Melayu hanya akan menjadi unggul, terbilang, dihormati dan bermartabat jika mereka berdiri teguh dangan Islam dan melaksanakan tuntutan Islam dalam kehidupan bermasyarakat, bernegara, berumahtangga dan seluruhnya, bukan melalui Keris Taming Sari atau keris pusaka yang lain, atau pandai bepencak silat, menyanyi, menari dan berlawak jenaka. Atau menjadil ahli politik yang pandai putar belit, ataupun menjadi peniaga yang tamak atau menjadi juara dalam buang anak, zina, rasuah dan dadah. Melayu atau apa bangsa pun hanya mulia dengan Islam yang mengajarkan erti kejujuran, rajin, bijaksana, adil dan amanah. Ini pra-syarat yang wajar untuk mengangkat martabat sesuatu bangsa dengan kembali menghayati dan mengamalkan seluruh tuntutan Islam serta mengutamakan agama daripada bangsa. Bangsa Melayu telah dimuliakan Allah dengan Islam, andainya kita cuba mencari yang lain selain Islam seperti faham kebangsaan, secular, liberal, kapitalis, sosialis, atheis nescaya Allah akan menghina kita kembali sehina-hinanya di dunia dan akhirat.

Oleh itu, tinggalkanlah perjuangan ‘ ketuanan Melayu” yang berasakan kepada semangat nasionalis atau kebangsaan bahkan tukarlah haluan perjuangan itu kepada perjuangan Islam yang menguntungkan kehidupan manusia sama ada di dunia, lebih lagi di akhirat.

AKHIRAT DIDAHULUKAN, SYURGA DIUTAMAKAN. Ayuh saudara2ku sekelian, sedar dan bangunlah untuk menegakkan agama Allah di bumi Malaysia ini dan bebaskan bumi Malaysia dan bumi Islam yang lain daripada kepompong assobiyah kebangsaan yang bertentangan dengan ajaran Rasulullah s.a.w.

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan bermaksud membeza-bezakan antara (keimanan kepada) Allah dan Rasul-rasul-Nya, dengan mengatakan: “Kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kufur terhadap sebahagian (yang lain)”, serta bermaksud (dengan perkataan itu) mengambil jalan (tengah) di antara yang demikian (iman atau kafir), merekalah orang-orang kafir yang sebenarnya. Dan Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir itu azab yang menghinakan.” (TMQ al-Nisa’ [4]: 150-151)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan