Ahad, 10 Oktober 2010

AKHLAK MULIA MENAWAN JIWA

Ibrahim an-Nakha’ei (666-715 M) seorang ulamak fiqh dari generasi tabi’ein. Beliau hanya dapat melihat dengan sebelah mata. Sebelahnya mata lagi buta. Seorang muridnya bernama Sulaiman bin Mahran adalah seorang yang rabun. Ibn al-Jauzi menceritakan kisah kedua orang guru dengan muridnya itu.

Pada suatu hari kedua-duanya berjalan beriringan di sebatang jalan di Bandar Kufah menuju ke Masjid Jame’. Tiba-tiba Ibrahim berkata:

- Wahai Sulaiman! Bolehkah kamu mengambil jalan lain daripada jalan yang aku lalui? Aku bimbang sekiranya orang-orang yang bodoh melihat kita berjalan beriringan, mereka akan mengumpat kita dengan berkata “a’war (orang yang buta sebelah mata) memimpin a’masy (orang yang rabun). Dengan itu mereka berdosa.

Sulaiman menjawab:

- Wahai Abu ‘Imran! Apa masalahnya? Kalau mereka mengumpat, kita dapat pahala dan mereka yang berdosa?

Ibrahim membalas:

- Subhanallah! Bukankah lebih baik kita selamat dan mereka pun selamat daripada kita dapat pahala dan mereka berdosa?

Ya! Subhanallah! Betapa suci hati seorang ulamak dan betapa tinggi ketaqwaannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan