Khamis, 12 Ogos 2010

KISAH BENAR, AJAIB DAN ANEH

Ini merupakan kisah ajaib yang terdapat dalam Kitab Al Birr wa As Silah oleh Imam Ibn Al Jawzi. Maka hayatilah apa yang diriwayatkan oleh Al Imam daripada `Ikrimah rahimahullah:

Seorang raja pada masa silam telah berkata kepada rakyatnya: “Sesiapa yang bersedekah dengan sesuatu nescaya saya akan potong kedua tangannya!” Maka datang seorang lelaki kepada seorang wanita lalu berkata: “Bersedekahlah kepadaku.” Wanita itu menjawab: ” Bagaimana aku akan bersedekah sedangkan raja akan memotong tangan orang yang bersedekah.” Dia lalu berkata: “Aku memohon kepada engkau demi Wajah Allah agar bersedekah kepadaku.” Wanita itu pun bersedekah dengan dua keeping roti dan akhirnya raja mengetahui akan kejadian tersebut. Raja pun menghantar orang kepada wanita itu lalu memotong kedua tangannya.

Tidak berapa lama kemudian raja menyatakan hasrat kepada ibunya agar menunjukkan kepadanya seorang wanita cantik untuk dikahwininya. Ibunya pun menyebut tentang seorang wanita yang kecantikannya tiada taranya namun dia memilki suatu kecacatan yang teruk iaitu kedua tangannya telah terpotong. Raja pun pergi untuk melihat wanita tersebut dan apabila dia melihatnya dia menjadi kagum lalu terus melamarnya. Wanita itu bersetuju dengan lamaran tersebut lalu mereka pun berkahwin. Raja pun tidur dan melakukan hubungan dengan wanita tersebut. Apabila tiba keadaan perang dan raja pun pergi berperang dengan musuh maka orang yang dengki telah mengadu kepada raja bahawa isterinya telah curang lalu melahirkan seorang anak. Raja lalu mengutus surat memerintahkan agar wanita tersebut dipukul, dihalau dan ditinggalkan bersama anaknya di padang pasir.
Semasa lalu di sebuah sungai dan ingin minum maka bayi itu terjatuh daripadanya ke dalam sungai lalu lemas. Wanita itupun menangis dan ketika itu datang dua orang lelaki yang berkata kepadanya: “Apa menyebabkan kamu menangis?” Dia berkata: “Anak saya telah jatuh ke dalam air lalu lemas.” “Adakah kamu suka jika kami mengeluarkannya bagi kamu?” ujar kedua lelaki tersebut. “Ya. Demi Allah,” jawab wanita tersebut. Maka mereka berdua berdoa kepada Allah dan anaknya pun keluar daripada air tersebut lalu mereka berkata: “Adakah kamu ingin kami kembalikan tangan kamu?” “Ya,” jawab wanita itu lalu mereka berdua berdoa kepada Allah dan tangannya pun kembali seperti sediakala lalu berkata, “Adakah kamu tahu siapa kami?” “Tidak,” jawab wanita tersebut. Mereka berkata: “Kami adalah dua roti yang kamu bersedekah dengannya.”
WALLAHUA'LAM

Daripada Abi Hurairah radhiyAllah `anhu bahawa Nabi SallAllah `alayhi wasallam bersabda: Tujuh golongan yang bakal dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya, pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, yaitu:
1. Pemimpin yang adil.
2. pemuda yang tumbuh dengan ibadah kepada Allah (selalu beribadah).
3. seseorang yang hatinya bergantung kepada masjid (selalu melakukan salat jamaah di dalamnya).
4. dua orang yang saling mengasihi di jalan Allah, keduanya berkumpul dan berpisah karena Allah.
5. seorang yang diajak perempuan berkedudukan dan cantik (untuk berzina), tapi ia mengatakan: Aku takut kepada Allah.
6. seseorang yang memberikan sedekah kemudian merahsiakannya sampai tangan kanannya tidak tahu apa yang dikeluarkan tangan kirinya.
7. seseorang yang berzikir (mengingat) Allah dalam kesendirian, lalu meneteskan air mata dari kedua matanya.
(Dikeluarkan oleh Al Bukhari dalam Az Zakaah 1423 dan Muslim dalam Az Zakaah 1031)

Dan daripada Hakiim bin Hazaam radhiyAllah `anhu daripada Nabi SallAllah `alayhi wasallam: “Tangan yang di atas (orang memberi) itu lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima). Dan mulailah dengan orang yang kau tanggungi.”

“Sebaik-baik sedekah ialah yang diberikan daripada lebihan keperluan”
Dan sesiapa yang menahan diri daripada perkara haram dan meminta-minta nescaya Allah akan mengurniakan harta kepadanya.

Dan sesiapa yang tidak menerima pemberian orang (walaupun dia memerlukannya) nescaya Allah akan mengkayakannya. (Riwayat Bukhari dan lafaz adalah baginya)
Daripada `Aeeshah radhiyAllah `anha dia berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Apabila seseorang wanita membelanjakan daripada makanan rumahnya tanpa berlebih-lebihan maka baginya adalah pahala dan begitu juga bagi suaminya dan penyimpan makanan. Tidak berkurang pahala salah seorang di antara mereka. (Muttafaq `alayh)

Dan daripada Abi Sa’iid Al Khudriyy radhiyAllah `anhu dia berkata: Rasulullah ke musolla pada hari `Iid Al Adha atau `Iid Al Fitr lalu kemudian Baginda memberi peringatan kepada orang ramai dan memerintahkan mereka untuk bersedekah lalu berkata: “Wahai manusia, bersedekahlah.” Lalu dia lalu di kawasan wanita lalu berkata: Wahai kaum wanita bersedekahlah kalian, sesungguhnya telah diperlihatkan kepadaku bahwa kalian adalah majoriti penduduk neraka. maka mereka (kaum wanita) berkata: Disebabkan apa wahai rasulullah? Beliau berkata: Kalian banyak melaknat, mengingkari kebaikan keluarga (suami), aku tidaklah melihat kaum yang kurang akal dan agamanya, yang dapat menghilangkan akal seorang laki-laki yang kokoh hatinya, selain salah seorang dari kalian.

Baginda pun kemudian meninggalkan tempat itu dan Zainab, isteri kepada Ibn Mas’uud datang kepada Baginda meminta izin daripadanya lalu seseorang berkata: “Wahai Rasulullah, Ini Zainab.” Rasulullah berkata, “Zainab yang mana satu?” Maka diberitahu kepada Baginda: “Isteri Ibn Mas’uud.” Baginda lalu berkata: “Izinkan dia.” Zainab lalu berkata: “Wahai RAsulullah, engkau mengarahkan hari ini untuk bersedekah dan saya memiliki sedikit barang kemas. Saya ingin menyedekahkannya namun Ibn Mas’uud berkata bahawa dia dan anaknya lebih berhak menerima sedekah tersebut.” Nabi SallAllah `alayhi wasallam berkata: “Telah berkata benar Ibn Mas’uud. Suami dan anakmu adalah lebih berhak untuk kau sedekahkan buat mereka.” (Riwayat Bukhari dan lafaz hadith adalah baginya)

Daripada Thaubaan radhiyAllah `anhu dia berkata Rasulullah SallAllah `alayhi wasallam bersabda: “Sebaik-baik dinar yang diinfaqkan oleh seseorang ialah dinar yang dibelanjakan pada keluarganya dan dinar yang dibelanjakan buat tunggangannya di jalan Allah dan dinar yang dibelanjakan buat rakan-rakannya di jalan Allah.” (Riwayat Muslim)

Dan daripada Abi Hurairah radhiyAllah `anhu bahawa Nabi SallAllah `alayhi wasallam bersabda: “Setiap awal pagi, semasa terbit matahari, ada dua malaikat menyeru kepada manusia dibumi. Yang satu menyeru, “Ya Tuhan, karuniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kepada Allah.” Yang satu lagi menyeru “musnahkanlah orang yang menahan hartanya.” (Muttafaq `alayh : Al Bukhari 1442, Muslim 1010)

Dan daripada Yazid bin Abi Habib bahawa Abu Al Khair memberitahu kepadanya bahawa dia mendengar `Uqbah bin `Aamir berkata: Aku mendengar Rasulullah SallAllah `alayhi wasallam bersabda: Semua orang berada dalam naungan sedekahnya sehinggalah manusia dijatuhkan hukuman (pada hari Akhirat). Yazid berkata: Abu Al Khair akan sentiasa bersedekah setiap hari walaupun dengan sedikit tepung uli mahupun bawang atau yang seumpamanya. (Riwayat Ahmad 4/147, Abu Ya’la 1766, At Tabraaniyy 17/280, disahihkan oleh Ibn Khuzaimah 2431 dan Ibn Hibban 3310 dan disahihkan oleh Al Albaani dalam Sahih At Targhiib 872 )

Bukan setakat itu sahaja malah sebahagian Salaf menganggap bahawa sedekah boleh menghindarkan seseorang daripada penyakit-penyakit dan kesusahan-kesusahan meskipun dia zalim.

Ibrahim An Nakha’ii berkata: Mereka (kaum Salaf) biasa menganggap bahawa sedekah boleh mencegah daripada lelaki yang zalim.

Wajah Abu `Abdillah Al Hakim pemilik kitab Al Mustadrak pernah mengalami sejenis luka selama hampir setahun lalu dia meminta agar orang-orang baik mendoakannya. Mereka banyak mendoakannya dan dia pun bersedekah kepada kaum Muslimin dengan meletakkan tempat minum air pada pintu rumahnya dan menuangkan air ke dalamnya untuk diminum oleh manusia. Tidak berlalu seminggu pun dan luka tersebut sembuh dan wajah beliau kembali seperti sedia kala.

`Abdullah bin Al Mubarak, seorang tokoh yang berilmu, zuhud lagi bertaqwa telah ditanya seorang lelaki tentang luka pada lututnya yang telah ada selama 7 tahun. Lelaki tersebut telah mendapatkan pelbagai rawatan dan berjumpa pelbagai doktor namun tidak pulih juga. `Abdullah bin Al Mubaarak lalu berkata: Pergi dan lihat tempat di mana manusia memerlukan air dan galilah di situ mudah-mudahan ada mata air di situ yang akan memberhentikan lukamu. Lelaki itupun melakukannya dan dia pun sembuh.

Kelebihan bersedekah adalah besar dan kisah-kisah serta hikayat-hikayat adalah banyak namun cukuplah sekadar yang berfaedah bagi kita. Kalaulah bagi sedekah salah satu kelebihan ini maka adalah wajar sangat kita melakukannya apatah lagi kalau semua ini datang kepadamu hasil daripada bersedekah walaupun dengan satu Riyal sahaja. Janganlah memandang enteng kepada sebarang perkara ma’ruf. Semailah pahala dan tolaklah daripada dirimu bala. Bersedekahlah dan galakkan selainmu untuk bersedekah kerana kelebihannya yang sangat hebat yang telah saya kumpulkan buatmu. Janganlah engkau ketinggalan nescaya engkau akan merugi pada hari yang mana harta dan anak-pinak tak berguna lagi.

Beberapa nota:
1. Apabila anda berjaya meyakinkan seseorang untuk mengkhususkan sebahagian daripada gajinya untuk bersedekah maka anda akan mendapat seperti pahalanya tanpa mengurangkan pahalanya sedikit pun. Engkau mungkin mati dan di sana ada orang yang bersedekah disebabkan engkau.

2. Apabila engkau mengutuskan risalah ini lalu seseorang menetapkan untuk selalu bersedekah maka bagi anda sebagaimana pahalanya tanpa mengurangkan pahalanya sedikit pun.

Rasulullah Nabi SallAllah `alayhi wasallam bersabda: Dari Abu Hurairah radhiyAllah `anhu bahawa Nabi Muhammad SallAllah `alayhi wasallam bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (Hadith Sahih – Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan