Khamis, 15 Julai 2010

Penantian Di Padang Mahsyar

Salam; Saya ada mendengar di dalam satu kuliah agama, ustaz mengatakan semasa dipadang Mahsyar nanti semua manusia akan dikumpulkan dan dibiarkan oleh Allah tanpa di buat apa-apa selama 7000 @ 70,000 tahun sebelum dihisab. Benarkah begitu? Tidakkah ia bertentangan dengan prinsip keadilan Tuhan ? Yang baik dan yang jahat mendapat layanan yang sama ( dibiarkan menanti-nanti untuk masa yang lama).. Terima Kasih.
-------------
Wa’alaikumussalam. Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan ini dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.

Persoalan mengenai hari Akhirat, baik Padang Mahsyar, Syurga, Neraka, dll, merupakan perkara yang wajib diimani dan bersifat Ghaib. Persoalan panjang atau pendek masa di Hari Kiamat itu sesuatu yang relatif. Sebagai contoh, orang-orang kafir akan merasakan penantian itu sangat lama, sebagaimana firman Allah swt :-

وَكَانَ يَوْمًا عَلَى الْكَافِرِينَ عَسِيرًا
“…..dan adalah ia satu masa yang amat sukar keadaannya kepada orang-orang kafir.” [surah al-Furqaan : 26].

Begitu juga didalam surah yang lain :

فَذَلِكَ يَوْمَئِذٍ يَوْمٌ عَسِيرٌ
“Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar” [surah al-Mudathir : 9]

Namun demikian, bagi orang yang beriman pula

أَصْحَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَئِذٍ خَيْرٌ مُسْتَقَرًّا وَأَحْسَنُ مَقِيلًا
"Ahli-ahli Syurga pada hari itu lebih baik tempat menetapnya dan lebih elok tempat rehatnya.” [al-Fuqaan : 24]

Didalam Tafsir Jalalain perkataan “Ahsanu Maqeelan” membawa maksud tempat rehat waktu setengah hari atau merujuk kepada rehat dari kepanasan tengahari, yang membawa maksud penantian yang hanya memakan masa separuh hari, sebagaimana dijelaskan didalam hadith dibawah. Dari Abu Hurairah ra, Nabi bersabda :

يوم القيامة على المؤمنين كقدر ما بين الظهر والعصر
Hari Kiamat bagi orang Mukmin adalah seperti waktu antara Zohor dan Asar” [Hadith Riwayat al-Hakim didalam al-Mustadrak].

Ayat-ayat al-Quran dan hadith ini menunjukkan jangkamasa yang berbeza diantara orang kafir dan orang beriman. Perlu dingat, “MASA” atau “WAKTU” juga merupakan makhluk Allah swt. Maka panjang atau pendek pada hari Kiamat itu, tidak mungkin dapat digambarkan semasa kita didunia ini. Ia berubah mengikut tahap dan kadar keimanan seseorang itu. Sebagai umat Islam, kita dilarang memikirkan secara mendalam perkara-perkara ghaib ini. Keadaan Akhirat ini tidak dapat digambarkan dengan mata, sebagaimana hadith Qudsi :

أعددت لعبادي الصالحين ما لا عين رأت ولا أذن سمعت ولا خطر على قلب بشر
Aku telah menyediakan kepada hambaku yang Soleh, apa yang matanya tidak pernah lihat, apa yang telinga tidak pernah dengar, dan perkara yang tidak terlintas didalam hati manusia”

http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=92&t=39631#p157432

Tiada ulasan:

Catat Ulasan