Isnin, 19 Julai 2010

PEMIMPIN TELADAN

Sebagai pemimpin, seseorang itu mesti bertanggungjawab terhadap kedudukannya. Pemimpin, tidak kira sama ada pemimpin masyarakat, pemimpin di pejabat atau pemimpin dalam rumah tangga, memainkan peranan yang sangat penting untuk mewujudkan keharmonian, kebahagiaan, kejayaan dan segala-galanya yang terbaik untuk orang-orang yang dipimpinnya. Dan yang terpenting, pemimpin mestilah bersikap adil, jujur dan amanah.

Inilah juga ciri-ciri yang terdapat dalam diri Khalifah Umar bin Khattab. Setelah dilantik menjadi khalifah, menggantikan Saidina Abu Bakar, beliau lebih banyak menghabiskan masa nya dengan hidup bersama rakyat. Beliau sentiasa berusaha mengambil tahu sama ada rakyat hidup bahagia, adilkah pemerintahannya, makmurkah rakyat dan memastikan kebajikan rakyatnya. Untuk itu, Khalifah Umar selalu melakukan rondaan sendirian dengan menyamar diri sebagai pedagang atau rakyat jelata.

Pada suatu hari, seorang Yahudi dari negeri Syam datang ke Madinah mencari khalifah. Orang Yahudi iru menemui seorang lelaki dan bertanya tentang khalifah. "Kalau waktu begini, khalifah ada didepan masjid, sedang berehat," kata lelaki itu. Lelaki Yahudi itu menuju masjid. Dia hairan kerana di depan masjid itu tidak ada ruang rehat. Yang ada hanya sebatang pokok rendang dan seorang lelaki berpakaian usang sedang berbaring di bawah pokok itu.

Melihat lelaki itu seolah-olah mencari sesuatu lelaki di bawah pokok itu bangun dan bertanya tujuannya. "Ya, saya mencari tempat istirehat Khalifah Umar bin Khattab," kata lelaki Yahudi itu. "Kalau begitu, duduklah di sini, " kata lelaki itu mempersilakan orang Yahudi berkenaan duduk. "Untuk apa? Saya cari Khalifah Umar," kata lelaki Yahudi itu. "Sayalah Umar, orang yang saudara cari, " kata lelaki itu. "Kamu bukan Umar yang saya cari, saya cari Khalifah Umar, " kata orang Yahudi itu dengan marah.

"Saudara, sayalah Khalifah Umar bin Khattab, pemimpin negeri ini, " kata Umar. Lelaki Yahudi itu terkejut dan berasa malu melihatkan keadaan khalifah yang amat merendah diri itu. Dia pun mengemukakan masalah nya dan Khalifah Umar memberikan jawapan yang sangat bijak dan memuaskan hatinya. Kagum dengan kewibawaan Khalifah Umar, lelaki Yahudi itu akhirnya memeluk Islam.

Satu lagi kisah melibatkan seorang utusan dari Iraq yang mahu berjumpa dengan Khalifah Umar. Oleh kerana tiada kenalan di Madinah, utusan itu menginap di masjid. Melihat lelaki Iraq itu berbaring selepas solat, Khalifah Umar mendekatinya dan bertanya tujuannya. "Saya utusan dari Iraq. Saya ingin menghadap Khalifah Umar bin Khattab."

"Kenapa tidak langsung menemui nya dan mengkhabarkan berita yang saudara bawa?" "Saudara, sekarang ini sudah larut malam. Takkanlah saya nak menemui khalifah malam-malam begini. Tentu khalifah pun tidak mahu menemui saya, " kata lelaki itu lagi. "Khalifah pasti mahu menemui saudara. Sekarang ini pun saudara sedang berhadapan dengan khalifah," kata Khalifah Umar sambil tersenyum. "Maksud saudara?" "Sayalah Khalifah Umar bin Khattab," katanya. Lelaki Iraq itu bingung dan hampir pengsan kerana berhadapan dengan khalifah. Dan dia hairan kenapa di tengah malam begitu, khalifah masih berada di masjid.

"Jangan terkejut saudara. Walaupun saya khalifah, saya juga hamba" "Kalau sepanjang malam saya tidur, maknanya saya mensesiakan waktu untuk beribadah. "Kalau saya tidur di siang hari pula, bererti saya lupakan tugas kewajipan saya sebagai peminpin," kata Khalifah Umar denga tenang. Lelaki Iraq itu terdiam mendengar kata-kata Khalifah. Didalam hatinya, beliau benar-benar mengagumi Khalifah Umar.

Begitulah sifat Umar sebagai seorang pemimpin. Beliau bukan saja merendah diri, malah sentiasa melaksanakan tanggung jawabnya. Sifatnya itu memang seharusnya menjadi teladan kepada semua khususnya pemimpin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan