Khamis, 15 Julai 2010

KHUTBAH JUMAAT

AZAB NERAKA

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sebagai seorang muslim kita wajib percaya dengan adanya hari akhirat dan wajib beriman kepada semua perkara-perkara Samiyyat seperti syurga dan neraka. Sesungguhnya neraka itu wujud dan diciptakan sebagai hukuman dan pembalasan Allah Subhanahu Wata�ala kepada perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan semasa hidup di dunia. Neraka adalah suatu tempat yang disediakan Allah Subhanahu Wata'ala untuk mereka yang berdosa dan derhaka kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan rasul-Nya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah An-Nisaa' ayat 14 tafsirnya :

"Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekal lah ia di dalamnya dan baginya azab siksa yang amat menghina".

Muslimin yang dirahmati Allah,Ketahuilah bahawa neraka itu adalah api yang sangat panas, berjuta-juta lebih panas dari api di dunia. Jika sekiranya api neraka itu jatuh ke dunia walaupun sebesar biji sawi, maka ketika itu hancurlah dunia ini. Neraka itu bukanlah berupa unggun api yang menyala di suatu tempat lapang yang terbuka dan bukanlah seperti gunung berapi yang mengumpul-ngumpulkan asap dari dalam sebuah lubang yang sangat dalam, tetapi neraka itu bertingkat-tingkat dan berpintu-pintu. Setiap tingkat mempunyai gunung-gunung, bukit-bukit dan sungai-sungai, bercorong dan bertelaga. Semuanya terjadi dari api yang sangat panas. Neraka itu mempunyai tujuh tingkat dan tujuh pintu iaitu Jahanam, Latha, Hutamah, Sa'ir, Saqar, Jahim dan Hawiyah. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Hijr ayat 44 tafsirnya :

"Ia (neraka) mempunyai tujuh pintu, bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka yang sesat dan menyesatkan ini".

Di dalam neraka juga terdapat sebuah lembah wail yang seram dan menakutkan dan sangat panas, penuh dengan binatang yang berbisa. Inilah lembah yang sangat ditakuti, apinya amat menggerunkan, menderu dan menggetarkan sampai kehulu hati. Di sinilah tempat pembalasan bagi orang yang mendustakan agama. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Mursalaat ayat 15 tafsirnya :

"Neraka Wail lah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan apa yang dijanjikan oleh Rasul-nya".

Ketahuilah bahawa orang yang mendustakan agama itu antaranya ialah orang yang mensia-siakan anak yatim, orang yang tidak mahu memberi makan orang miskin, orang yang lalai sembahyang, orang yang sembahyang kerana riak dan orang yang enggan membayar zakat.

Neraka Wail juga disediakan untuk mereka yang amat buruk pergaulannya antara sesama manusia, umpamanya orang yang suka mengumpat, menghina dan sebagainya, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Humazah ayat 1-2 tafsirnya :

"Neraka Wail lah bagi orang yang mengumpat (pencaci kelakuan orang lain). Dan orang yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaan".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari akhirat nanti iblis dan mereka yang kafir dan munafik akan dibelenggu, diikat kaki dan tangannya dan setelah itu mereka akan diheret atau ditolak atau dilemparkan masuk ke dalam neraka. Mereka tidak diadili, tidak dihisab, tidak dimizan iaitu ditimbang dan juga tidak pula meniti Siratul Mustaqim kerana dosa dan kesalahan mereka memang sudah diketahui dan sudah nyata.

Manakala bagi umat yang mentauhidkan Allah Subhanahu Wata'ala iaitu umat Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam dan umat nabi-nabi yang terdahulu, sama ada mereka yang beramal soleh mahupun mereka yang derhaka, mereka ini akan dihisab iaitu diadili, ditanya sampai kepada perkara-perkara yang sekecilnya. Mereka akan dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatan mereka selama hidup mereka. Setelah itu amalan mereka akan dimizan dan diputuskan hukumannya dan ditentukan siapa-siapa yang akan masuk syurga dan siapa-siapa pula yang akan masuk neraka.

Selepas itu mereka akan meniti titian Siratul Mustaqim. Titian itu lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang. Ada yang berjaya menyeberanginya dan ada pula yang terjatuh ke lubang neraka jahanam.

Bagi mereka yang dimasukkan ke neraka, setelah sampai ke dalam neraka maka terjadilah keributan, pekik dan raung memecahkan kesunyian, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Faathir ayat 37 tafsirnya :

"Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka sambil merayu : Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari azab ini, kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan".

Maka terjadilah penyesalan tidak terhingga, tetapi sesalan itu sedikit pun tidak berguna. Di neraka mereka akan terus menerus disiksa. Setiap kali kulit mereka hangus dimakan api, maka akan ditukar dengan kulit yang baru, dan mereka tetap menderita selama-lamanya. Oleh kerana tidak tertahan azab siksa panas api yang membakar, maka mereka meronta-ronta kesakitan dan cuba untuk lari keluar. Tetapi hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku kerana pintu-pintu neraka itu telah ditutup rapat-rapat dan dijaga oleh malaikat penjaga neraka.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Jarak antara syurga dan neraka itu sangat jauh. Akan tetapi walaupun jaraknya berjauhan, namun penghuninya saling melihat antara satu sama lain dan saling dapat berbicara dengan jelas. Mereka yang berada di dalam neraka boleh nampak dengan jelas segala kesenangan dan kenikmatan di dalam syurga. Oleh kerana tidak tertahan dengan penderitaan dan kesengsaraan di dalam neraka dengan rasa dahaga yang memutuskan kerongkong dan rasa lapar yang tidak terhingga serta melihat pula kesenangan, kenikmatan dan kemewahan yang terdapat di syurga, maka mereka bermohon kepada mereka yang ada di syurga, 'Tolong limpahkan air yang sejuk untuk kami minum atau apa-apa yang telah direzekikan Allah kepada mu untuk kami'. Mereka yang ada di syurga menjawab, 'Sesungguhnya Allah telah melarang (mengharamkan) keduanya kepada orang-orang yang kafir'.

Ketika penghuni syurga sedang bersenang-senang, tiba-tiba terdengar pekikan penghuni neraka yang sedang disiksa meminta tolong. Jika yang memekik meminta tolong itu adalah anak atau ibu bapa, maka sedihlah penghuni syurga tersebut dan remuklah hatinya. Sebenarnya dia ingin hendak menolong, apa lagi jika yang meminta tolong itu anak kandungnya sendiri. Tetapi apakan daya mereka tidak dapat tolong menolong.

Oleh yang demikian wahai kaum Muslimin, marilah kita meninsafi segala dosa yang pernah kita lakukan dengan bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala selagi masa masih ada dan sama-samalah kita menyelamatkan diri kita dari api neraka. Di samping itu kita hendaklah juga menyelamatkan ahli keluarga kita dari api neraka iaitu dengan memastikan diri kita dan semua ahli keluarga kita iaitu dengan mengerjakan segala suruhan Allah Subhanahu Wata'ala dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita semua akan tergolong di kalangan orang-orang yang akan menerima balasan syurga dan dijauhi dari azab neraka. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Tahriim ayat 6 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya, manusia dan batu berhala, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat yang keras kasar layanannya. Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan