Selasa, 25 Mei 2010

PERSOALAN TASAWWUF

BERSAMA DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Bolehkah berlaku karamah selepas seseorang meninggal dunia?

JAWAPAN

Tentang karamah para wali, sama ada di masa hidup mahupun selepas mati, terdapat kekhilafan di sisi ulama. Ada yang mempercayainya dan ada pula yang tidak mempercayainya, dan tidak perlu dibincangkan kerana ia tidak mempercayai ketetapan al-Quran dan Sunnah Nabi. Terhadap kalangan yang mempercayainya, tentu sedar bahawa karamah selepas mati itu adalah termasuk sejenis karamah, yang tidak dapat dibantanh oleh akal dan syarak.

Imam Ibn Hajar menyatakan: Tidaklah menghairankan kalau di kalangan Muktazilah membantah adanya karamah sebab lebih jauh daripada itu mereka pun membantahnya. Mereka membantah nas-nas tentang mutawattir (hadis-hadis yang terkenal), seperti ingkar adanya soalan Mungkar dan Nakir, seksa kubur, kalam Rasulullah s.a.w di akhirat, timbangan dosa dan pahala dan lain-lain lagi.

Timbulnya anggapan demikian, kerana mereka sangat berpegang pada akal yang fasid (tidak objektif) dan dengan akal yang demikian pula mereka pula membantah beberapa tanda-tanda kebesaran Allah.

Apa yang lebih menghairankan ialah kalau bantahan itu datangnya dari kalangan yang menamakan dirinya Ahli Sunnah.

Adapun dalil adanya keramat sesudah mati, antara lain sebagaimana seperti berikut: Keramat adalah sesuatu yang mungkin. Setiap yang mungkin itu jaiz (harus). Jadi keramat sesudah mati adalah jaiz (harus), bukan wajib dan bukanpula mustahil. Sebab jika tidak berlaku, tentu lazim mentarjihkan (menguatkan) salah satu dari dua yang mungkin tanpa sesuatu yang memperkuatnya. Kuatnya sesuatu tanpa menguatkan, adalah mustahil.

Jika mengatakan tidak meungkin terjadi, sedangkan karamah itu adalah ciptaan Allah adalah Sesuatu yang mungkin, baik untuk mengadakan ataupun untuk tidak mengadakan, nescayalah Allah itu lemah, bukan Maha Kuasa. Allah lemah adalah mustahil.

Jika mengatakan setiap yang boleh jadi, tidak mesti terjadi, maka anggapan itu benar. Tetapi terdapat alasan kuat dari hadith Nabi s.a.w yang memastikan adanya karamah selepas mati.

Al-hafiz al-Munziri dalam kitab al-Targhib wa al-Tarhib memetik hadis Tirmizi (gharib), yang menyatakan bahawa Ibn Abbas berkata yang maksudnya:

Beberapa orang sahabat membentang khemah di atas sebuah kubur. Dia tidak menyangka bahawa tempat itu adalah tanah perkuburan padahal ia kubur seorang manusia.

(Pada malam hari), sahabat itu mendengar mayat dalam kubur itu membaca al-Quran surah al-Mulk dari awal hingga akhir (dengan suara yang merdu).

(Setelah disampaikan kepada Nabi s.a.w) maka Baginda bersabda: Surah al-Mulk itu adalah mencegah dari kejahatan dan menyelamatkan dari seksa kubur.

Berdasarkan hadith itu, jelaslah bahawa Baginda mengakui adanya karamah sesudah mati, sebab adanya mayat membaca al-Quran, dengan menyatakan surah al-Mulk itu mencegah dan menyelamatkan dari seksa neraka.

Jika sekiranya karamah orang mati itu tidak ada, tentulah ia membantahnya seketika itu juga, sebab; keterangan tidak boleh lambat dari waktu yang diperlukan.

Kalangan ulama tasawuf, wali-wali Qutub dan ahli-ahli falsafah tidak membantah adanya karamah selepas mati, kerana para wali itu dijadikan Allah sebagai anak kunci atau sebagai anak tangga untuk menyampaikan hajat orang yang mendoa kepada-Nya. Dan mereka merupakan wasilah untuk melepaskan orang dari berbagai masalah dan kesusahan. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra’, ayat 20 yang bermaksud:

“Kepada masing-masing golongan baik golongan Ini mahupun golongan itu kami berikan bantuan daripada kemurahan Tuhanmu. dan kemurahan Tuhanmu tidak dapat dihalangi.”

Yang dimaksudkan dengan golongan ini dan golongan itu ialah mereka yang tersebut dalam ayat 18 dan 19 sebelumnya, iaitu orang yang menghendaki kehidupan dunia dan orang yang menghendaki kehidupan akhirat.

Jika Ibn al-Qayyim mengemukakan adanya karamah para wali, merupakan tanda-tanda kebesaran Allah, maka Syeikh Abdul Wahab Sya’rani memperkuatkan pendapat itu dengan alasan bahawa beliau sendiri telah menyaksikan berkali-kali.

Syeikh Muhammad Hasanain al-Adawi dalam kitabnya al-Mathaalib Qudsiah fi Ahkaam al-Ruh wa Aatsariha al-Kauniah, menegaskan bahawa limpahan kurnia Allah kepada para wali berupa karamah baik pada masa hidup mahupun sesudah matinya, adalah sesuatu hal yang pasti di kalangan pengikut-pengikut ahli tasawuf, bahkan juga kalangan lain, kerana tidak ada alasan yang dapat menolaknya baik logic, mahupun ayat al-Quran ataupun hadis Nabi.

Wali itu sudah diizinkan Allah dapat melakukan sesuatu dengan ketentuan-Nya sebelum sesuatu itu terjadi, sesuai dengan ilmu-Nya.

Abu al-Mawahib al-Syazali menyatakan bahawa wali yang sempurna ialah yang sudah mendapat keizinan Allah untuk memutarbalikkan sesuatu dalam ala mini. Allah mengurniakan karamah ke atasnya di saat hidupnya sebagaimana diberinya sesudah kematiannya.

Allah menyembuhkan orang sakit, menyelamatkan orang karam, mengalahkan musuh, menurunkan hujan dan sebagainya, sebagai kemuliaan (karamah) bagi wali itu. Boleh jadi Allah memunculkan seseorang yang menyerupainya, ketika orang itu memerlukannya dan meminta bantuannya. Dan bersamaan dengan itu, permintaan orang itu pun diperkenankan-Nya.

Secara ringkasnya, orang-orang yang mengakui dan meyakini adanya karamah para wali itu, seperti menyembuhkan orang sakit atau menyelamatkan orang yang karam di tengah lautan, baik di masa hidup mahupun sesudah matinya bukan bererti bahawa merekalah yang membuatnya. Sama sekali tidak. Dan bukan pula Allah telah melimpahkan kepada mereka untuk melaksanakannya. Tetapi yang dimaksudkan adalah para wali Allah, disebabkan kesucian diri dan kemuliaannya di sisi Allah, apabila orang memohon kepada Allah dengan menghadapkan wajah kepada roh-roh mereka yang bersih dan suci, permintaan itu diperkenankan-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan