Khamis, 13 Mei 2010

Jenayah menjadi-jadi, hukum Allah penyelamat manusia

Anak Melaka

DARI sehari ke sehari, kita amat-amati jenayah semakin menjadi-jadi. Kes-kes yang dilaporkan luar biasa termasuk yang membabitkan keganasan rumah tangga. Ada suami mencurah asid ke muka isteri, mengelar kemaluan dan membunuh pasangan sendiri.

Kes bunuh menjadi kebiasaan. Mangsa termasuklah bayi yang dibiar mati dalam tong sampah. Kita menjadi bimbang dan bingung, apa sebenarnya telah menimpa negara kita yang didakwa pemimpin sebagai paling pesat pembangunannya malah menjadi contoh terbaik di kalangan negara-negara Islam.

Apabila disebut negara contoh, sewajarnya jenayah dalam negara terkawal tetapi perkembangan semasa membuktikan sebaliknya. Dari sehari ke sehari keadaan menjadi semakin buruk, oleh itu kita berpendapat adalah penting untuk semua pihak termasuk pemimpin negara bermuhasabah, melakukan semakan agar negara tidak terjerumus ke lembah hina. Kita tidak ingin apa yang kita bina bersama selama ini hancur berkecai disebabkan kealpaan dan kesombongan kita sendiri.

Kenapa jenayah menjadi-jadi? Kenapa orang tidak takut melakukan jenayah? Kenapa suami tergamak mencurah asid atau mengelar kemaluan isteri? Kenapa anggota polis boleh menembak (atau tertembak) seorang pelajar berusia 15 tahun? Kenapa orang boleh membunuh dan membuang bayi sesuka hati?

Jawapannya kerana hukam-hakam Allah SWT yang menciptakan manusia tidak tertegak di negara ini. Dalam hukum-hakam Allah ada kehidupan, itu jaminan-Nya tetapi kita tidak mengendahkannya. Kita berlaku zalim, menggubal dan menuruti hukum-hakam berasaskan nafsu-nafsi manusia. Apabila manusia berani menolak hukum-hakam Allah, mereka sudah menempa kebinasaan diri.

Hukum jenayah Islam terbahagi kepada hukum hudud, qisas dan ta’zir. Hukum qisas yang dari segi bahasanya bermaksud memotong dan dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. kerana kesalahan-kesalahan melibatkan hak individu.

Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mata, hidung dan telinga.

Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya.” (Surah al-Maidah ayat 45)

Dengan tidak tertegaknya hukum-hakam Allah ini, masyarakat tidak menjadi gerun; tidak ada ketakutan bagi mereka melakukan jenayah. Cuba bayangkan bagaimana gentarnya anggota masyarakat untuk membunuh jika mereka tahu pengakhiran mereka dibunuh juga, seorang suami yang mencurah asid ke muka isterinya akan menerima pembalasan yang sama manakala yang mengelar kemaluan mangsa, akan dikelar juga kemaluannya.

Masyarakat juga perlu disedarkan akan mahalnya diat (denda) yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas. Kadar diat dikira mengikut bilangan unta iaitu harta yang paling bernilai. Kadar penuh diat 100 ekor unta; jika seekor unta RM3,000, nilaian diat adalah RM300,000!

Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qisas dan diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Pemerintah tidak ada kuasa dalam pengampunan.

Demikianlah hukum-hakam Islam adalah untuk menjaga keselamatan semua; Islam menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Apabila itu terjaga, terselamatlah semua, bukankah kedatangan Rasulullah s.a.w membawa rahmat kepada seluruh alam. Jadi mengapa kita menolak hukum-hakam-Nya? Tidak sombong dan takaburkah kita?

www.harakahdaily.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan