Khamis, 20 Mei 2010

Jangan Suka Memperleceh Orang Lain

Surah Al Hujurat: 11

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لَا يَسْخَرْ قَومٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (١١
Terjemahan:
(11) Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok -olokkan), dan janganlah pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olakkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan), dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan (ialah) panggilan buruk sesudah iman, dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Sebab-Sebab Turun Ayat:
Diriwayatkan bahawa ayat diatas diturunkan kerana utusan Tamim telah menghina golonqan fakir miskin dari kalangan sahabat Nabi SAW. seperti Bilal, 'Ammar, Shuhaib, Khabbab, Ibnu Fuhairah, Salman Al Farisy, Salim maula Abi Huzaifah dan lain lain.

Ada pula riwayat lain: Bahawa Shafiah Binti Huyay Ibn Akhtab R. 'Anha telah mengadu kepada Nabi SAW bahawa madu-madunya telah memanggilnya dengan panggilan: Hei Yahudi Binti Yahudi. Jawab Nabi SAW.: Mengapa engkau tidak katakan (kepada mereka): Ayahku Harun, pamanku Musa dan suamiku Muhammad

Tafsiran Ayat:
Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang di perolokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan).

Allah SWT. melarang orang yang beriman agar mereka jangan memperolok-olokkan orang lain, apakah disebabkan oleh pakaiannya, badannya, rupanya, gelarannya ataupun atas sebab-sebab yang lain. ]alam ayat tersebut Allah SWT memberi 'illat (sebab), iaitu barangkali orang yang diperolok-olokkan dan dianggap rendah itu lebih ikhlas dan lebih mulia hatinya serta lebih taqwa kepada-Nya.

Sifat "sukhriyah" iaitu tabiat suka merendah-rendahkan orang lain tidak akan muncul kecuali dari hati yang dipenuhi oleh sitat-sifat tercela dan kosong dari sifat-sifat terpuji. Oleh itu baginda Rasul SAW. bersabda:

بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقُرَ أَخَـاهُ الْمُسْلِمَ
Cukuplah seseorang digolongkan orang yang jahat sekiranya dia suka merendah rendahkan Muslim lainnya. ( Kalam Al Mannan VII-135)

Dan janganlah wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi wanita (yang diperolok-olokkan) itu lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan).

Demikian juga antara wanita dengan sesama wanita. Boleh jadi wanita yang dihina dan diperolok-olokkan itu lebih baik daripada wanita yang memperolok-olokkannya.

Saidatiah 'Aisyah RA. berkata: Ya Rasulallah sesungguhnya Shafiah adalah wanita (lalu diisyaratkannya dengan tangannya begini iaitu wanita pendek). Maka Rasul SAW. bersabda: Sesungguhnya kalau kata-kata tersebut engkau campakkan ke dalam lautan luas nescaya akan busuklah seluruh airnya. (Hadis Riwayat At Tarmizi)

Dari Abi Hurairah katanya: Telah bersabda Rasullah SAW:

إِنَّ اللهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنَّهُ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوْبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ.
Sesungguhnya Allah tidak melihat rupamu dan hartamu, tetapi Dia melihat hatimu dan amalanmu. (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Ayat dan hadis diatas seolah-olah ingin menyatakan kepada kita bahawa sanjungan yang diberikan atau cacian yang dilemparkan kepada seseorang bukanlah suatu ukuran yang pasti. Demikian juga dengan amalan seseorang, apakah baik amalannya ataupun buruk. Dia bukanlah ukuran mutlak.

Barangkali orang yang pada zahirnya baik dan banyak amalnya, tetapi Allah lebih Mengetahui barangkali di dalam hatinya ada tersemat sifat tercela yang boleh mengakibatkan amalannya tidak diterima oleh Allah. Barangkali juga ada orang yang pada zahirnya tidak beramal salih malahan banyak berbuat maksiat, tetapi Allah Maha Mengetahui di dalam hatinya ada sifat terpuji yang kerana sifat itu akhirnya ia berhak mendapat keampunan Allah SWT.

Ingat! Bahawa amalan zahir hanyalah tanda sangkaan, ia bukan bukti yang pasti. Oleh itu janganlah kita mengukur manusia hanya berdasarkan mahal murahnya nilai hiasan dan pakaian yang dipakainya. Ukuran manusia yang hakiki adalah taqwa dan tafaqquh fiddin (faham agama).

Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri.

Dalam ayat ini Allah menggunakan istilah "dirimu sendiri". Padahal maksud ayat ialah larangan agar kita jangan mencela orang beriman lainnya. Dan ini memberi pengajaran kepada kita bahawa , mukmin sesama mukmin adalah bagaikan satu diri. Jika kita mence1a mukmin lain samalah ertinya kita mencela diri kita sendiri.

Nabi SAW. bersabda:

الْمُؤْمِنُوْنَ كَالْجَسَدِ الْوَاحِدِ ، إِذَ ا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَـهُ سَائِرُ جَسَدِهِ بِالْحُمَّى وَالسَّهَرِ.
"Orang-orang yang beriman seperti satu jasad, sekiranya satu anggotanya merasa sakit maka seluruh tubuhnya akan merasakan sakitnya dan demam". (Ibnu Jarir XXVI – 131)

Abdul Rahman Al Sa’dy berkata di dalam tafsirnya ( Tafsir Kalam Al Mannan VII – 136 ) : Lamaz ialah mencela orang lain dengan perkataan. Sedangkan Hamaz pula ialah mencela orang lain dengan perbuatan. Kedua-dua sitat tersebut adalah dilarang oleh Allah dan haram hukumnya. Allah memberi amaran keras dan akan menyiksa mereka di dalam neraka. Ini sebagaima firman-Nya:

وَيْلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَة ٍ(١
Neraka Wail (kecelakaaan yang amat besar) bagi setiap Luzamah (orang yang mencela dengan ucapan) dan Huzamah (orang yang mencela dengan perbuatan).
(Surah Al Humazah: 1)

Dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar yang buruk.

Maksudnya: Janganlah sebahagian kamu memanggil sebahagian kamu yang lain dengan gelaran yang buruk, seperti panggilan: Ya Fasiq, Ya Munafiq, atau memanggil seorang muslim dengan panggilan: Ya Yahudi, Ya Nashrani dan lain-lain walaupun ia seseorang yang Yahudi atau Nashrani sebelum memeluk Islam.

Ibnu Abbas RA berkata: Maksud ayat diatas ialah: Seseorang yang telah melakukan dosa besar lalu dia bertaubat dan kembali kepada kebenaran (kembali kepangkal jalan), lalu Allah SWT melarang kita menghinanya berdasarkan dosa dosanya yang telah silam. (Dikeluarkan oleh ibnu Jarir)

Adapun gelaran atau panggilan yang mengandungi pujian yang benar tidaklah dibenci. Umpamanya: 'Atiq untuk Abu Bakar, Al Faruq untuk Omar, Dzu Nurain untuk Osman, Abu Turab untuk 'Ali, Saif Allah untuk Khalid Ibnu Walid dan lain-lain.

Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman.

Maksudnya: Panggilan yang buruk ialah gelaran-gelaran yang tidak disukai oleh orang yang digelari dengan gelaran itu, seperti panggilan hai fasiq, hai kafir, hai pelacur, hai penjudi, dan lain-lain. Lebih-lebih lagi sekiranya orang tersebut telah beriman dan bertaubat.

Ayat ini memberi isyarat betapa buruknya jika bergabung dua perkara yang tidak sewajarnya bergabung Umpamanya: Tua bangka yang pemabuk. Sudahlah umurnya yang sudah lanjut yang sepatutnya insaf dan banyak beramal salih untuk bekal di akhirat nanti, tetapi sayangnya semakin tua semakin menjadi-jadi tabiat buruknya.

Begitu jugalah dengan gelaran yang buruk. Kita dilarang memanggil muslim lainnya dengan gelaran atau panggilan yang buruk. Dan lebih lagi buruknya sekiranya orang yang digelari itu ternyata orang yang sudah baik imannya.

Oleh itu waspadalah, jangan sampai kegairahan kita yang memuncak ingin menjadi muslim atau muslimat yang baik, lalu tanpa kita sedari kita telah mencela para sahabat atau para ulama yang muktabar. Ijtihad mereka juga perlu kita hormati. Sadarilah selalu! Siapalah kita tanpa mereka.

Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Maksudnya: Barangsiapa yang tidak mahu bertaubat daripada dosa memperolok-olokkan, menghina dan memanggil mukmin, lainnya dengan gelaran yang buruk, maka mereka itulah orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri. Ini kerana sikap dan usaha-usaha buruk mereka itu membawa mereka kepada azab Allah di akhirat nanti.

Sebahagian ulama tafsir mengatakan: Penggunaan istilah:

" Barangsiapa yang tidak bertaubat " di dalam ayat ini seolah olah memberi isharat bahwa perbuatan perbuatan yang dilarang di dalam ayat ini seperti dosa memperolok olokkan muslim lain lain adalah termasuk ke dalam dosa dosa besar, bukan dosa kecil sebagaimana anggapan sesetengah orang kerana biasanya perkataan taubat hanya digunakan untuk dosa besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan