Selasa, 4 Mei 2010

INGAT MATI ELAK BUAT MAKSIAT

Usah menunggu tua untuk bertaubat, beramal salih kerana maut datang tanpa diduga.

MANUSIA yang tenggelam dalam kemewahan dunia, dikuasai hawa nafsu dan hidup dibelenggu maksiat amat sikit bahkan mungkin juga tidak mengingati malaikat maut pasti datang membawa perintah Allah untuk meragut nyawanya.

Jika mengingati mati, pasti mereka ketakutan atau bersedih kerana mengingatkan apa yang bakal dihadapinya di alam akhirat, tetapi ia gusar mengenangkan harta bendanya serta segala kemewahan dunia yang bakal ditinggalkannya. Firman Allah:

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali Imran: 185).

Ketahuilah kematian pasti tiba kepada seluruh umat tanpa mengenal erti bangsa, kedudukan, kekayaan atau gagah perkasa. Tiada sesiapa pun yang boleh melarikan diri daripada maut. Apabila ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dicepatkan walaupun sesaat. Firman Allah bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetap menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” (Al-Jumu’ah: 8.)

Dengan mengingati kematian, kita lebih berwaspada dalam menghadapi liku kehidupan dan sentiasa berusaha menurut perintah Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan larangannya kerana kita tidak tahu bila ajal tiba.

Mengingati kematian menyebabkan kita teruja membuat persiapan rapi menghadapinya nanti. Oleh itu, Islam amat menganjurkan kita sentiasa mengingati kematian. Cara terbaik ialah mengenangkan keluarga, sahabat atau sesiapa saja yang boleh mempengaruhi hidup kita. Mereka mungkin memiliki kekayaan, jawatan besar serta disanjung tetapi kini jasadnya bersendirian di dalam kubur. Hartanya, kedudukannya serta sanjungan orang ramai kini terpisah daripadanya. Kita perlu serapkan di jiwa kematian juga pasti menjemput dan akan keseorangan di alam kubur.

Kita juga perlu menziarahi kubur kerana membantu mengingati kita juga akan menghadapi nasib sama dengan ahli kubur itu. Islam juga menganjurkan kita menziarahi orang sakit serta menghadiri majlis pengebumian kerana dapat mengingatkan kita mengenai kematian. Mengingati kematian membawa nilai positif terhadap insan, maka banyak dalil menganjurkan manusia selalu mengingati kehidupan hanya sementara.

Rasulullah juga mengkategorikan insan yang sentiasa mengingatkan kematian sebagai manusia paling bijaksana. Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik? “Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Mengingati kematian juga boleh mendatangkan ketenangan jiwa seseorang sedang menghadapi kesulitan hidup. Ia menimbulkan kesedaran dunia bukan segala-galanya dan selepas kematian ada alam yang kehidupan serta kenikmatannya abadi. Bagi mereka yang dianugerahkan kesenangan, maka mengingati kematian menjauhkannya daripada kerlipan serta godaan duniawi.

Kematian menyedarkannya kesenangan duniawi tidak kekal dan dia bakal berpisah dengannya. Hanya kehidupan di alam akhirat kekal abadi dan ini dapat menggerakkan jiwa untuk mempergunakan segala kesenangan di dunia ini demi mencapai kebahagiaan di akhirat.

Oleh itu, dengan menyedari setiap bernyawa pasti akan menghadapi maut yang hanya diketahui Allah, pasti ia menimbulkan semangat untuk segera melakukan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika seseorang menangguhkan untuk melakukan amalan salih dan ternyata ajalnya tiba ketika asyik melakukan maksiat, dia termasuk orang yang rugi dan bakal mendapat balasan buruk di akhirat.

Justeru, setiap umat Islam harus manfaatkan kehidupannya dengan cara terbaik iaitu mengerjakan amalan diperintah Allah dan Rasul-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Ketika tubuh sihat, kita manfaatkan semaksimum mungkin supaya menjadi insan beriman, bertakwa dan gemar mengerjakan amal salih. Mana tahu entah esok mahupun lusa kita ditimpa kecelakaan sehingga terlantar keuzuran dan tidak lagi mampu melakukan amalan yang salih.

Kita pergunakan hayat dengan menghindari perbuatan maksiat kerana mungkin entah esok mahupun lusa malaikat maut mencabut nyawa sedangkan kita masih bergelumang dengan dosa.

makchique.onsugar.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan