Rabu, 3 Mac 2010

SOAL JAWAB MAKANAN DAN MINUMAN

1. Bolehkah makanan seperti kek yang mengandungi sedikit alkohol yang tidak memabukkan dimakan?

Alkohol dilarang bukanlah hanya kerana ia memabukkan tapi kerana ia adalah najis. Keempat-empat mazhab, iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali telah bersepakat bahawa alkohol adalah najis. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t di Surah Al-Ma’idah ayat 90 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Alkohol adalah memabukkan. Rasulullah s.a.w bersabda: Apa yang banyaknya memabukkan, maka sikitnya juga adalah haram. Dengan demikian, walaupun makanan dititiskan dengan alkohol, ia tetap adalah haram dan najis untuk dimakan. Walaupun ia tidak memabukkan.

Oleh itu, makanan yang sudah terkena alkohol walaupun sedikit adalah najis dan dilarang untuk memakannya. Ini termasuk kek yang mengandungi alkohol.

2. Bolehkah menggunakan "wine" untuk memasak jika cecair itu hilang (evaporate) sewaktu memasak?

Alkohol dilarang bukanlah hanya kerana ia memabukkan tapi kerana ia adalah najis. Keempat-empat mazhab, iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali telah bersepakat bahawa alkohol adalah najis. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t di Surah Al-Ma’idah ayat 90 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Arak dalam apa jua bentuk dan nama, adalah najis dan haram dimakan oleh orang Islam. Oleh itu, membubuhkan cuka atau apa sahaja perasa makanan yang mengandungi alkohol adalah haram diambil, walaupun setelah dimasak alkohol tersebut akan 'hilang' dan kering. Ini adalah kerana apabila sahaja alkohol tersebut terkena makanan, makanan itu akan menjadi najis dan tidak boleh dimakan oleh orang Islam.

3. Bolehkah seseorang itu menghadiri kursus memasak yang menggunakan alkohol dan bahan-bahan yang tidak halal?

Memasak dengan bahan-bahan yang tidak halal dibolehkan jika syarat-syarat berikut di patuhi:

1) Masakan tersebut tidak disediakan kepada orang Islam.

2) Masakan itu tidak dimakan oleh tukang masak Islam itu sendiri. Jikalau perlu merasa masakan tersebut, ia harus dalam kuantiti yang kecil dan tidak harus ditelan. Bagi daging babi dan anjing, ia tidak harus dirasai langsung.

3) Jikalau tangan atau mana-mana anggota badan terkena bahan-bahan tidak halal tersebut, anggota tersebut harus dibersihkan. Misalnya, yang terkena daging babi harus disamak.

Diingatkan disini bahawa ia dibenarkan untuk tujuan belajar sahaja, apabila pelajar tersebut sudah menjadi tukang masak profesional, beliau harus mengelakkan dari penggunaan alkohol dalam masakannya, walaupun ia disediakan untuk orang bukan Islam, kerana orang Islam dilarang mengaitkan diri dengan perkara2 yang haram atau syubhah.
4. Bolehkah seseorang itu menggunakan semburan mulut yang mengandungi alkohol?

Alkohol dibahagikan kepada 3 jenis:

1) Ethanol yang dibentuk secara semulajadi, yang terdapat dalam kuantiti yang sangat kecil, di kebanyakan buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan.

2) Ethanol yang dibentuk dari proses penapaian karbohidrat.

3) Ethanol yang dibentuk dari petro-kimia yang lain.

Jenis alkohol yang biasanya digunakan di dalam produk-produk yang tujuannya bukan untuk dimakan dibuat dari petro-kimia perindustrian dan bukan dari proses penapaian karbohidrat. Menurut ulama, alkohol jenis ini bukan najis dan boleh digunakan.

Walaubagaimanapun, adalah lebih selamat jika semburan mulut yang tidak mengandungi alkohol tersebut digunakan jika ada.

5. Adakah dibenarkan memakan ubat yang mengandungi bahan yang tidak halal seperti alkohol?

Secara umum, perkara yang tidak halal perlu dihindari. Akan tetapi setiap perkara yang umum ada pengecualiannya. Di dalam persoalan anda, jika ubat yang mengandungi bahan yang tidak halal itu hanya satu-satunya ubat yang boleh mengubati sakit dan tidak ada ubat lain maka dalam keadaan begini merupakan satu pengecualian. Dari itu sebaiknya anda rujuk perkara ini pada doktor anda untuk mendapatkan ubat-ubatan yang tiada bahan meragukan.

Sayugia diingatkan bahawa perkara ini hanya boleh dilakukan jika seseorang itu sudah menghauskan semua usaha untuk mencari ubat yang halal tetapi masih tidak menjumpainya. Analogi ini sama seperti orang yang tidak menjumpai air untuk berwudhu’. Mereka dibenarkan bertayammum tetapi hanya selepas berusaha untuk mencari air dan tidak menjumpainya. Dalam keadaan air sudah dijumpai, tayammum tidak boleh dilakukan

6. Adakah proses pemeraman dalam membuat tapai menyebabkannya menjadi produk yang beralkohol?

Ada perbezaan hukum di antara makanan atau minuman yang sengaja dicampur dengan alkohol dengan makanan atau minuman yang telah sedia ada mengandungi alkohol melalui proses penapaian. Walaupun alkohol telah wujud di situ, dalam makanan seperti tapai umpamanya, namun selagi kandungan alkohol di dalam tapai tersebut tidak memabukkan, maka tapai tersebut tidaklah haram dimakan.

Beras dan ubi hanya memabukkan apabila ia sedang ditapai, selepas proses pemeraman/ penapaian tersebut sudah selesai, elemen yang memabukkan, iaitu alkohol, akan hilang. Dengan itu, tapai dianggap sebagai Halal.

7. Bolehkah mengambil lauk atau minum air dengan tangan kiri jika tangan kanan telah digunakan untuk makan nasi?

Sunnat menggunakan tangan kanan dalam setiap perkara. Seperti yang diriwayatkan ‘Umar bin Abi Salama: “Tanganku biasanya akan mengelilingi pinggan apabila sedang makan, lalu Rasulullah s.a.w berkata kepadaku, “Sebutlah nama Allah dan makanlah dengan tanganmu dan makanlah dari pinggan apa yang terdekat denganmu”. ‘Aishah r.a. juga telah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w gemar memulakan sesuatu perkara dari sebelah kanan.

Tetapi jika dengan lakukan demikian akan menyusahkan orang lain, seperti mengotorkan sudu dan cawan, maka tiada salah menggunakan tangan kiri.

8. Bolehkah menggunakan pinggan-mangkuk yang dibuat dari "bone china"?

Bone china adalah sejenis tembikar baru yang menggunakan tulang binatang sebagai salah satu dari kandungannya. Tulang tersebut dibakar sehingga 1000 darjah selsius sehingga berubah sifat dan bentuknya. Ia kemudian dicampur dengan bahan-bahan lain seperti tanah liat untuk menjadikannya keras, dan dipanggil sebagai 'bone china'.

Oleh kerana sifat tulang tersebut telah berubah, dan juga ia telah bercampur secara halus dengan bahan-bahan lain, maka bejana dari "bone china" boleh digunakan untuk menyediakan makanan. Ia bukan najis.

9. Adakah benar susu badan ibu yang disimpan dianggap sebagai bangkai?

Susu adalah halal selagi mana ia tidak basi, sama ada ia datang dari haiwan yang halal atau dari tubuh manusia dan sama ada ia diminum terus atau disimpan dahulu.

Nabi s.a.w telah meminum susu lembu dan susu kambing yang telah disimpan dahulu. Sehubungan dengan itu, para ulama telah bersetuju bahawa walaupun susu badan seorang ibu disimpan dan bukan diminum terus, ia masih halal untuk diminum.

Sayugia diingatkan bahawa susu bukan sejenis darah. Ia adalah sejenis cecair yang terhasil dari bahan-bahan yang terkandung dalam darah, seperti lemak, air, vitamin-vitamin dan zat-zat yang lain. Oleh itu, ia bukanlah bangkai.

SUMBER: MAJLIS AGAMA ISLAM SINGAPURA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan