Jumaat, 19 Mac 2010

KHUTBAH JUMAAT: PEMIMPIN PILIHAN

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan mendengar seluruh khutbah yang akan disampaikan bukannya tidur dan bersembang ketika khutbah disampaikan.
Firman Allah s.w.t di dalam Surah Ali Imran ayat 26:
قُلِ الَّلهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِى الْمُلْكَ مَنْ تَشَآءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَآءُ
وَتُذِ لُّ مَنْ تَشَآءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلى كَلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Sidang Jumaat sekelian,
Sudah sunnatullah di mana setiap yang bernyawa pasti menemui mati tanpa mengira darjat dan pangkat, usia dan harta. Setiap sesuatu pertemuan turut ada waktu perpisahnya. Pemimpin pula ada yang datang dan ada pula yang pergi di mana yang datang dirai dan yang pergi ditangisi.
Pemimpin ada perbezaan dari banyak sudut keperibadiannya terutama dari segi sikap dan akhlaknya di mana pemimpin yang amanah disanjung tinggi dan yang zalim dimaki dan dibenci.Rakyat juga ada pelbagai ragam dan keadaannya di mana bagi yang bijak sentiasa peka dengan keadaan negara di mana mereka sedia bangun mengkritik apabila ada kesilapan pemimpin dan bersedia berkhidmat dalam membangunkan negara.

Ada pula rakyat hanya sanggup menjadi pak turut sehingga mereka turut bersekongkol dengan pemimpin yang zalim. Sesebuah negara tidak mampu membina tamadun yang tinggi jika rakyat terkongkong dan terpenjara daripada menegur apa yang silap sedangkan pemimpin terus bermaharajalela melakukan pembaziran dengan duit amanah rakyat.

Pemimpin terdiri daripada beberapa golongan di mana yang pertama daripada kalangan orang kaya sebelum menjadi pemimpin dan terus kaya selepas dilantik menjadi pemimpin.Pemimpin jenis ini ada yang amanah dan ramai juga yang tidak jujur ketika melaksanakan amanah kepimpinan.

Golongan kedua ialah pemimpin yang miskin sebelum menjadi pemimpin sebaliknya menjadi orang kaya baru selepas berada di atas takhta kepimpinan sesebuah negara. Pemimpin jenis ini begitu merbahaya serta mempunyai bilangan yang ramai pada hari ini di mana pemimpin dari jenis ini kebanyakannya tidak amanah kerana membina kekayaan hasil rompakan terhadap harta rakyat jelata.

Pemimpin jenis ketiga pula ialah pemimpin yang kaya sebelum memimpin dan menjadi miskin selepas dilantik kerana begitu mengambil berat terhadap kebajikan dan amanah rakyat sehingga kekayaannya turut disumbangkan kepada rakyat. Pemimpin jenis ini agak kurang jumlahnya pada hari ini dan begitu sukar dilahirkan pada akhir zaman ini yang sememangnya penuh dengan pelbagai fitnah dunia.

Jenis pemimpin yang keempat ialah pemimpin yang keadaanya miskin sebelum dan selepas menjadi pemimpin di mana tidak terdetik di hatinya untuk membina kekayaan bagi melarikan daripada kemiskinan yang membelenggunya selama ini sebaliknya dia lebih rela memimpin dalam keadaan miskin asalkan rakyat terus kaya dan Allah sentiasa redha dengan kepimpinannya.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Oleh itu fikir dan timbangkanlah kita dengan keadaan pemimpin kita pada hari ini di manakah kedudukan dan jenis mereka. Jika dia seorang yang amanah maka berjuanglah bersamanya tetapi jika dia seorang pengkhianat maka nasihatkannya agar segera bertaubat atau ditarik daripada tampuk pemerintahan jika terus berdegil.

Pemimpin adalah salah satu golongan yang bakal duduk di bawah bayangan ‘Arasy pada hari di mana tiada lagi bayangan lain yang mampu melindungi manusia daripada kepanasan terik mentari di tengah-tengah padang mahsyar. Kelebihan ini hanya mampu diraih oleh pemimpin yang adil dan bertaqwa yang mampu memberi khidmat dan menunaikan amanah kepada rakyat sesuai dengan kedudukan pemimpin itu sendiri sebagai khadam bagi rakyat bukannya rakyat menjadi hamba abdi kepada pemimpin.Kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah begitu tinggi sesuai dengan amanah besar kepemimpinan yang terpaksa dipikul. Sabda Nabi saw:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Tetapi perlu diingat bahawa daripada 3 orang pemimpin atau hakim hanya seorang sahaja yang terpilih sebagai orang yang benar-benar layak untuk merasai nikmat Syurga Allah sedangkan 2 yang lain bakal menghuni neraka yang begitu berat siksaannya. Sabda Nabi s.a.w:
“Hakim (pemimpin) ada tiga; dua di antara mereka masuk neraka, sedangkan satu diantara mereka masuk syurga. iaitu seorang lelaki yang mengetahui Al Haq, lalu ia memutuskan perkara dengannya ( al haq), maka ia masuk syurga. Adapun lelaki yang mengetahui Al Haq, tapi ia tidak memutuskan perkara dengannya, maka ia masuk neraka. Sedangkan seseorang yang tidak mengetahui al haq lalu ia memutuskan perkara manusia dengan kebodohannya maka ia juga masuk neraka.” (Riwayat Abu Dawud, At Thawawi)
Oleh itu bagi mereka yang benar-benar memahami tugas berat yang bakal menimpa pemimpin di mana dalam kehidupan dunia ini terpaksa memikul betapa beratnya tanggungjawab dan di akhirat pula terpaksa menjawab segala soalan yang begitu hebat terhadap segala amanah yang telah dilaksanakan.
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Jika benar amanah maka beruntunglah dia sebaliknya jika mengkhianati amanah maka betapa ruginya dia. Melihat kepada besarnya tanggungjawab sebagai seorang pemimpin di dunia dan akhirat maka bagi mereka yang begitu memahaminya di mana dia sentiasa lari daripada dilantik menjadi pemimpin sebaliknya bagi mereka yang jahil tentangnya serta hanya tahu mengejar takhta demi mengumpul kekayaan dunia maka dia sentiasa mengejar pangkat dan jawatan yang ada tanpa memikir tentang pahala dan dosa.

Setelah melihat betapa penting dan besarnya amanah kepimpinan maka kita mestilah berhati-hati dalam memilih pemimpin kerana kita turut akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti tentang sebab kita memilih seseorang itu sebagai pemimpin. Jika kita memilih pemimpin yang soleh dan adil maka kita akan bahagia dunia dan akhirat sebaliknya apabila tersilap memilih pemimpin sesat dan zalim maka kita akan tersiksa dunia dan akhirat di mana di dunia kita akan tertindas dengan kezalimannya manakala di akhirat pula kita mungkin akan digolongkan bersama pemimpin zalim kerana terpedaya dengan fatwa palsu mereka semasa di dunia sehingga kita mengenepikan hukum Allah.

Ingatlah bahawa kepimpinan dan amanah buka semata-mata amalan dunia tetapi ia akan ditanya di hadapan Allah pada hari akhirat nanti. Tepuklah dada tanyalah siapakah pemimpin yang benar dan siapa pula yang salah dari segi agama bukannya mengikut selera nafsu kita.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan