Ahad, 21 Mac 2010

Cabaran Terhadap Dakwah Adalah Sunnatullah

Perubahan siang dan malam, pertukaran musim panas dan musim sejuk, peredaran bulan dan matahari dan sebagainya adalah sunnatullah yang tidak pernah berubah sejak dijadikan alam ini sehinggalah ke hari qiamat.Ketahuilah bahawa sunnatullah itu memberi kesejahteraan kepada manusia untuk menjalani kehidupan dan juga untuk melahirkan insan yang benar-benar taat kepada penciptanya.

Kesinambungan sunnatullah ini tidak dapat disangkal lagi kerana ianya berlaku secara realiti dan dapat dibuktikan melalui pancaindera yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia.

Penumpuan kita di bawah tajuk ini ialah tabiat dakwah untuk menegakkan kebenaran tidak dapat tidak mesti melalui liku-liku yang dihiasi dengan berbagai bentuk rintangan dan cabaran.

Sesungguhnya pertembungan diantara kebenaran dan kebathilan tidak pernah selesai sejak zaman lampau sehinggalah kehari ini dan akan berterusan.Kebenaran ini telah dilakarkan oleh Allah dengan barisan ayat yang paling jelas.

قال تعالى :"يريدون أن يطفئوا نور الله بأفواههم ويأبى الله إلا أن يتم نوره ولو كره الكافرون"
(سورة التوبة أية 32)

Namun betapapun ampuh kekuatan musuh untuk memadamkan seruan islam dari terus bersinar,mereka tidak akan mampu untuk mengatasi ketentuan Allah.Anugerah kejayaan dan kemenangan yang sebenar hanya akan dapat dirasai dan dinikmati oleh golongan yang mendokong kebenaran,dan mereka yang meletakkan iman yang sejati kepada Allah.Realiti ini telah pun dibuktikan dari kenyataan sejarah dan telah pun tercatit di dalam Al-Quran.

قال تعالى :"ولقد سبقت كلمتنا لعبادنا المرسلين. إنهم لهم المنصورون. وإن جندنا لهم الغالبون"
(سورة الصافات أية 171-173)

Ertinya: Dan sesungguhnya telah tetap janji kami kepada hamba-hamba kami yang menjadi rasul.(iaitu) sesungguhnya mereka itulah yang pasti mendapat pertolongan.Dan sesungguhnya tentera kami itulah yang pasti menang.(shaffat:171-173).

Memandangkan cabaran terhadap dakwah adalah sesuatu yang penting untuk pengetahuan para da’ie dan generasi baru,saya cuba kumpulkan beberapa maklumat ringkas yang berkaitan dengan tajuk ini.Untuk makluman,perbincangan ini hanya terbatas kepada cabaran dari luar dan tidak termasuk cabaran yang datang dari masalah yang timbul didalam jemaah islam sendiri.

PENGERTIAN CABARAN DAN SUNNATULLAH

2.1 Di dalam Mu’jam Wasit perkataan cabaran bermaksud meminta diadakan pertandingan dalam sesuatu perkara.Perkataan sunnatullah pula diertikan sebagai ketentuan Allah terhadap makhluknya.

2.2 Penulis kamus Muhit mentakrifkan cabaran sebagai pertentangan dan perlawanan dan sunnatullah pula ialah peraturan Allah perintahnya dan larangannya.

2.3 Perkataan sunnatullah di dalam Al-Quran disebut sebanyak lapan kali iaitu 3 kali dalam surah Al-Ahzab,2 kali dalam surah Fathir,1 kali dalam surah Al-Mukmin,dan 2 kali dalam surah Al-Fath.

Imam Fahrulrazzi pernah menyebut bahawa tidak ada sebarang pertukaran dan pergantian dalam sunnatullah,sesungguhnya pergantian hanya berlaku dalam syariat sedangkan perbuatan dan peristiwa tetap menjadi sunnatullah.

HIKMAT CABARAN SEBAGAI SUNNATULLAH.

1. Cabaran adalah merupakan antara faktor terpenting dalam membina dan memilih keperibadian muslim.Pembentukan peribadi yang dibangunkan dengan teori semata-mata tanpa diiringi dengan sebarang desakan,kesempitan,kesusahan dan tentangan tidak akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertakwa.

2. Cabaran sebagai ujian Allah untuk memilih diantara dua golongan manusia iaitu :

i–yang benar-benar beriman
ii – yang hidup dalam kepura-puraan.Apabila berlaku ujian akan terbuktilah golongan
yang layak berada disisi Allah. Firman Allah:

قال تعالى :"أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا أمنا وهم لايفتنون. ولقد فتنا الذين من قبلهم
فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين"
(سورة العنكبوت أية 2-3)

Maksudnya: Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan(saja) mengatakan “kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji.Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta.

SEBAB-SEBAB BERLAKUNYA CABARAN TERHADAP DAKWAH.

1. Kejahilan dan pemikiran yang jumud.
Sifat semulajadi yang ada pada manusia ialah ia akan menentang sesuatu yang tidak diketahui hakikat sebenarnya.Kejahilan ini disebabkan pemikirannya yang seolah-olah tidak berfungsi,lalu berlakulah penentangan yang melulu.

2. Menilai seseorang dengan harta dan kekuatan yang dimiliki.
Perbandingan inilah yang digunakan kebenaran dan kerasulan,jelas dari kata-kata Walid b. Mughirah ketika dakwah islam sampai kepadanya “Adakah aku perlu menyertai Muhammad saw atau tidak sedangkan aku adalah pembesar Quraish”.

Begitu juga di zaman moden ini Benua Eropah dianggap sebagai raja kerana kekuatan yang dimiliki dan negara-negara lain hanya mengikut arah telunjuk mereka.

3. Kekayaan dan hawa nafsu.
Islam datang dengan membawa rahmat keseluruh alam,mendidik akhlak yang mulia, mewujudkan masyarakat yang adil,membina kehidupan yang makmur. Konsep ini boleh menjejaskan kegiatan golongan yang mengaut kekayaan dengan berbagai cara (penindasan) hawa nafsu yang tidak pernah puas telah dibataskan dengan kedatangan Islam. Dengan itu untuk mengekalkan kedudukan kekayaan serta hawa nafsu mereka,islam mesti disekat dari terus berkembang.

4. Sifat hasad dengki dan takabbur.
Penyakit hati ini sentiasa wujud dalam setiap zaman,ianya menjadi penghalang utama terhadap kebenaran. Sifat inilah yang dimiliki oleh Yahudi, Nasrani dan Orientalis, mereka ini memahami Islam tetapi mereka menggunakan pengetahuan tersebut untuk menghancurkan agama yang mulia.
Muaz bin Jabal pernah berkata kepada orang Yahudi “Wahai kaum Yahudi! Berimanlah kepada Allah, sesungguhnya kamulah yang telah menceritakan kepada kami tentang Muhammad saw dan kami ketika itu berada dalam kekufuran, kamu juga yang memberitahu kami dialah rasul yang akan dibangkitkan serta menerangkan kepada kami tentang sifat-sifatnya”. Kenyataan itu dijawab dengan angkuh oleh salah seorang Yahudi “Orang yang kamu anggap sebagai Muhammad itu bukanlah orang yang telah kami sebutkan kepada kamu”.

CONTOH CABARAN TERHADAP DAKWAH YANG DITERIMA OLEH PARA RASUL.

1. Nabi Nuh a’laihissalam.
Nabi Nuh adalah merupakan rasul yang pertama yang menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah dan baginda jugalah orang yang pertama melarang manusia dari mensyirikkan Allah. Nabi Nuh diutuskan oleh Allah dalam suasana kaumnya menyembah berhala. Patung-patung ini, pada peringkat awalnya dibina bagi mengenangkan orang-orang yang soleh di kalangan nenek moyang mereka, tapi lama kelamaan patung-patung ini dianggap sebagai tuhan.
Seruan dan dakwah yang dibawa oleh Nabi Nuh untuk mengembalikan kaumnya kepada menyembah Allah sudah pastinya mendapat tentangan yang hebat, kerana kedegilan yang ditunjukkan oleh kaumnya disertai dengan ejekan, penghinaan dan kekerasan. Dakwah Nabi Nuh tidak dapat membuka hati nurani mereka malah lebih menjauhkan diri dari kebenaran sehinggalah menyebabkan Nabi Nuh mengadu kepada Allah.
Firman Allah :

قال تعالى : قال رب إنى دعوت قومى ليلا ونهارا. فلم يزدهم دعآءى إلا فرارا. وإنى كلما دعوتهم لتغفرلهم جعلوا أصابعهم فى ءاذانهم واستغشوا ثيابهم وأصروا واستكبروا استكبارا
(سورة نوح أية 5-7)

Maksudnya: Nuh berkata “Ya Tuhanku!Sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang.Seruanku itu hanyalah menambahkan mereka lari dari kebenaran.Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka supaya beriman agar engkau mengampuni mereka,mereka masukkan anak jari mereka ke dalam telinga dan menutup bajunya(ke muka)mereka tetap mengingkari dan sangat menyombongkan diri”.

Kerana itulah kita lihat golongan yang menerima seruan Nabi Nuh adalah sebilangan kecil sahaja dari kaumnya walaupun tempoh seruan Nabi Nuh hampir seribu tahun.
Firman Allah:

قال تعالى :"ولقد أرسلنا نوحا إلى قومه فلبث فيهم ألف سنة إلا خمسين عاما"
(سورة العنكبوت أية 14)

2. Nabi Ibrahim a’laihissalam.
Cabaran yang diterima oleh Nabi Ibrahim juga tidak kurang hebatnya, kerana masyarakatnya yang diselubungi dengan suasana jahiliah. Kaumnya termasuk ayah dan ibu Nabi Ibrahim sendiri semakin jauh dari cahaya iman apabila kerajaannya juga berada di bawah payung kesesatan. Nabi Ibrahim dengan keadaan keseorangan, tanpa ada sebarang senjata yang mengiringi perjuangannya tetap juga menyeru Namrud serta pengikutnya agar beriman dengan Allah.

Kesesatan yang dianuti oleh kaum Nabi Ibrahim boleh dibahagikan kepada tiga jenis :

· Menyembah berhala yang diwarisi dari kaum Nuh,‘Add dan Thamud.
· Menyembah cakerawala seperti matahari,bulan dan bintang,penyembahan
berasal dari kepercayaan mereka kepada khurafat.
· Menyembah raja yang dianggap sebagai tuhan.

Nabi Ibrahim yang tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran telah menegaskan pendiriannya di hadapan kaum Namrud:

Firman Allah:

قال تعالى:"قال أفرءيتم ما كنتم تعبدون. أنتم وآبائكم الأقدمون.فإنهم عدولى إلا رب العالمين"
(سورة الشعراء أية 75- 77)

Maksudnya: Nabi Ibrahim berkata “Maka apakah kamu telah memperhatikan apa yang selalu kamu sembah.Kamu dan nenek moyang kamu dahulu.Kerana sesungguhnya apa yang kamu sembah itu adalah musuhku kecuali tuhan semesta alam”.

Ketegasan beliau dalam menegakkan agama Allah telah sampai di kemuncaknya apabila beliau berani memecahkan berhala besar yang menjadi tunggak kebanggan kaum Namrud.Tindakan ini telah meletakkan nyawanya sebagai taruhan,beliau telah dihumbankan ke dalam api yang sedang marak menyala.

Firman Allah :

قال تعالى :"قالوا حرقوه وانصروا ءالهتكم إن كنتم فاعلين. قلنا ينا ركونى بردا وسلما على إبراهيم".
(سورة الأنبياء أية 68-69)

3. Junjungan besar Nabi Muhammad saw.
Suasana bangsa arab ketika diutuskan Rasulullah saw berada dalam keadaan liar, diselaputi dengan khurafat dan adat-adat jahiliah.

Kata Sa’id Ramadhan Al-Buti “Pembentukan sejarah arab bermula dari agama ‘Hanifiah’ yang di bawa oleh Nabi Ibrahim. Disitulah titik permulaan tertanamnya aqidah tauhid dan cahaya keimanan kepada bangsa arab tetapi kemudiannya sedikit demi sedikit mereka mula meninggalkan agama ini atas faktor jarak masa yang lama. Kehidupan mereka sebelum ini di bawah petunjuk ilahi telah digantikan dengan syirik dan kekufuran. Walaupun masih terdapat segelintir manusia yang masih berpegang dengan agama’Hanifiah’ ini, tetapi ia semakin lemah ditelan zaman dan pengikutnya semakin kurang dari tahun ke tahun.

Dakwah Rasulullah terpaksa berhadapan dengan pembesar-pembesar Quraish yang mempunyai kekuatan dan pengaruh, beliau juga terpaksa menghadapi dengan golongan ahli kitab yang juga mempunyai pengaruh dalam masyarakat arab. Baginda dihina, difitnah dan dilemparkan dengan berbagai tohmahan seperti tuduhan ahli sihir, gila, penyair, ahli nujum dan sebagainya.

Firman Allah :

قال تعالى :"قال الكافرون إن هذا لسحر مبين" – (سورة يونس أية 2)
قال تعالى :"كذلك ما أتى الذين من قبلهم من رسول إلا قالوا ساحر أو مجنون" – (سورة الذاريات أية 25)
قال تعالى :"بل قالوا أضغاث أحلام بل افتراه بل هو شاعر" – (سورة الأنبياء أية 5)
قال تعالى :"فذكر فما أنت بنعمت ربك بكاهن ولا مجنون" –(سورة الطور أية 29)

Islam sejak awal lagi telah melancarkan serangan ideologi terhadap jahiliah. Sistem yang buruk itu mesti di robohkan dan dan dibina semula dengan asas yang lebih kukuh iaitu Islam.
Oleh kerana matlamat inilah yang menjadi cita-cita dakwah yang di bawa oleh Rasulullah,sudah tentulah kaum jahiliah tidak akan berdiam diri.Mereka akan curahkan sepenuh tenaga untuk mempertahankan prinsip jahiliah yang mereka anuti sejak turun temurun.

Berbagai strategi yang telah disusun dan dilancarkan oleh jahiliah untuk memadamkan Rasulullah, ianya meliputi serangan fizikal dan mental, namun segala yang dilakukan itu tidak sedikit pun menjejaskan perkembangan Islam.

BENTUK CABARAN ZAMAN SILAM.

1. Ancaman terhadap harta dan jiwa.
Dakwah yang dijalankan pada masa lalu tidak sunyi dari menghadapi ancaman ini. Rasulullah dan para sahabat menerima ancaman fizikal dari berbagai bentuk diantaranya:

a - Jalan yang dilalui oleh Rasulullah diletakkan dengan duri.

b - Percubaan membuang kotoran ke atas badan Rasulullah.

c - Pakatan untuk membunuhnya sehingga memaksa baginda berhijrah ke Madinah.

d - Penyiksaan terhadap Bilal Bin Rabah,beliau dibiarkan di tengah padang pasir yang sedang membahang panasnya dan diletakkan batu besar diatas dadanya.

e - Pembunuhan ke atas keluarga Yassir,badan mereka diguris dengan besi panas,Yassir dengan keadaan usianya yang sudah lanjut telah syahid disitu, manakala Sumaiyyah pula ditikam kerana keberaniannya menjawab kata-kata Abu Jahal.

Tidak cukup penyiksaan yang dikenakan terhadap orang-orang Islam ditambah pula dengan sekatan ekonomi. Harga barang dinaikkan dengan berlipat ganda kepada orang Islam, mereka menganggap dengan cara ini akan dapat melumpuhkan pergerakan dakwah yang di bawa oleh Rasulullah.

Abu Lahab yang memainkan peranan penting dalam siri penentangan ini telah membelanjakan harta yang banyak untuk tujuan ini.

Kata Abu Lahab kepada peniaga “Tinggikan harga barang kepada pengikut Muhammad saw sehingga mereka tidak dapat memiliki sesuatu apa pun, tentang barang-barang kamu itu aku penjaminnya, kamu tidak akan menanggung kerugian”.

2. Usaha untuk memburuk-burukkan peribadi pendakwah.

Usaha-usaha seperti ini boleh mengancam perjalanan dakwah itu sendiri kerana hilangnya kepercayaan kepada pendakwah akan menyebabkan kerja dakwah yang disampaikan olehnya akan tergendala.

Fitnah seperti ini bukanlah perkara baru dalam medan dakwah,malah ianya sudah pun termaktub dalam Al-Quran :

Firman Allah :

قال تعالى :"وقالوا يا أيها الذى نزّل عليه الذكر إنك لمجنون"
(سورة الحجر أية 6)

Inilah sebahagian dari tuduhan yang dilemparkan kepada (junjungan besar Nabi Muhammad saw), tujuannya untuk menghapuskan kepercayaan masyarakat arab terhadap kerasulannya, walaupun sebelum diangkat menjadi rasul, baginda terkenal dengan sifat-sifat yang terpuji sehingga digelar sebagai ‘Al-Amin’.

Walid bin Mughirah ketika menghadiri satu ijtima’ bersama pembesar Quraish telah menyebut bahawa musim haji sudah pun hampir, perwakilan dari luar akan membanjiri kota Mekah, Walid mencadangkan supaya memilih satu gelaran untuk dikenakan kepada Rasulullah. Lalu berbagai cadangan telah dikemukakan diantaranya ahli sihir, ahli nujum, penyair dan sebagainya tapi semua cadangan itu di tolak oleh Walid dengan alasan tidak ada satu pun gelaran itu bertepatan dengan peribadi Rasulullah, akhirnya Walid sendiri berpendapat gelaran yang paling hampir ialah ahli sihir dengan tuduhan Muhammad pemecah belah masyarakat, memisahkan diantara ayah dan anak, memisahkan diantara suami dan isteri dan sebagainya.

Apabila tiba musim haji gelaran ini pun di sebarkan kepada para perwakilan dengan harapan mereka memandang buruk kepada Rasulullah,lalu turunlah ayat tentang perbuatan Walid ini.

3. Permusuhan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani).

Pertembungan Islam dengan ahli kitab bermula setelah Islam mula bertapak di Madinah, permusuhan mereka terhadap Islam tidak kurang juga hebatnya jika hendak dibandingkan dengan pembesar-pembesar Quraish.

Diantara cabaran yang datang dari Ahli Kitab ialah:

a) Perang Saraf.
Mereka pura-pura menyertai Islam,disebelah pagi mereka beriman dan disebelah petangnya pula mereka kufur,begitulah saban hari dilakukan perkara yang sama,tujuannya untuk menimbulkan kekeliruan kepada orang mukmin,dengan harapan perbuatan itu nanti lama-kelamaan akan menjadi ikutan.Kemudiannya sedikit demi sedikit pada anggapan mereka agama Islam akan ditinggalkan.

Firman Allah:

قال تعالى :"وقالت طآئفة من أهل الكتابءامنوا بالذى أنزل على الذين ءامنوا وجه النار واكفروا ءاخره لعلهم يرجعون".
(سورة ال عمران أية 72)

b) Mempersendakan kemenangan yang dicapai oleh Islam.
Selepas Islam mencapai kemenangan dalam peperangan Badar,Rasulullah menyeru kepada orang Yahudi supaya beriman sebelum mereka ditimpa musibah sepertimana yang telah di terima oleh kaum Quraish.Jawab seorang Yahudi “Wahai Muhammad!Janganlah kamu menyiksa diri sebenarnya kamu telah mengalahkan sekumpulan Quraish yang tak tahu ilmu peperangan,kalau kita berperang-perangan akan terbuktilah siapa kami dan kamu tidak akan mampu menghadapi kekuatan kami”.

c) Memecah belahkan perpaduan muslimin.
Sejak kedatangan Islam,Aus dan Khazraj yang sebelum ini bermusuhan dapat disatukan. Suasana persaudaraan ini menimbulkan kebencian di kalangan Yahudi, dengan itu percubaan untuk memutuskan persaudaraan ini telah dijalankan dengan begitu halus. Usaha jahat itu hampir-hampir berjaya.

4. Golongan Munafiq.

Apabila terbentuknya daulah Islamiah di Madinah, umat Islam ketika itu sudah mempunyai kekuatan, penentang-penentang dakwah Islam (di Madinah) sudah tidak berani lagi untuk mengadakan penentangan secara terbuka. Bermula dari sinilah timbulnya golongan munafiq. Golongan ini amat merbahaya kerana mereka hidup di tengah masyarakat Islam. Operasi penentangan diatur dengan begitu halus dan rapi dengan berselindung di bawah lambang Islam.

Contohnya : Mereka membina masjid yang baru selepas terbinanya masjid yang diasaskan oleh Rasulullah.Kalau dilihat dari segi luarannya adalah kerana untuk membangunkan tempat ibadah, tetapi tujuan sebenarnya yang tersemat dalam hati mereka ialah untuk memecah belahkan masyarakat Islam di Madinah.

Niat buruk ini telah didedahkan oleh Allah kepada orang Islam. Firman Allah :

قال تعالى :"والذين اتخذوا مسجدا ضرارا وكفرا وتفريقا بين المؤمنين وإرصادا لمن حارب الله ورسوله من قبل وليحافن إن أردنا إلا الحسنى والله يشهد إنهم لكاذبون لا تقم فيه أبدا
(سورة التوبة أية 107-108)

5. Kekuatan luar tanah arab.

Pengaruh Islam mula tersebar secara meluas keluar tanah arab ialah di zaman khulafa’ Ar-Rashidin, tapi tidaklah semudah yang disangkakan, tidak kurang juga pemerintah yang enggan menerima kemasukan Islam ke negaranya. Disini berlakulah peperangan yang sengit dan tidak sedikit tentera Islam yang terkorban sebagai Syuhada’.

BENTUK CABARAN ZAMAN MODEN.

1. Ancaman terhadap jiwa.

Kedudukan dakwah zaman ini bolehlah dibahagikan kepada dua :-

i) Di negara bukan umat Islam seperti Russia,Filipina dan India,dimana umat Islam adalah golongan minoriti,mereka langsung tidak berpeluang untuk mengembangkan dakwah Islamiah di negara mereka malah ramai di kalangan umat Islam yang diseksa dan dipenjarakan.

ii ) Di negara umat Islam, walaupun negara di perintah oleh orang Islam tapi negara masih mendaulatkan undang-undang kufur. Penyeksaan umat Islam disini tidak ada bezanya dengan negara (i) Para pendakwah yang terlalu aktif akan ditangkap dan diseksa dan apabila dibebaskan mereka terpaksa menanggung penderitaan seumur hidup.

2. Ancaman terhadap ekonomi.

Kedudukan dakwah akan menjadi lemah apabila ekonominya lemah. Musuh-musuh Islam menggunakan cara ini untuk melakukan tekanan ke atas pergerakan dakwah. Diantara cara yang digunakan ialah :

a) Melakukan tekanan atau sekatan terhadap keperluan asasi umat Islam.
b) Membeli bahan galian atau hasil pertanian dari negara umat Islam dengan harga yang murah,kemudian di jual semula setelah di proses dengan harga yang berlipat ganda.
c) Mengadakan skim pinjaman mudah kepada negara umat Islam,kemudiannya dikenakan kadar faedah yang tinggi.Keadaan ini menyebabkan negara tersebut terpaksa menanggung bebanan hutang yang teruk.

3. Orientalis.

Golongan ini amat merbahaya kepada pergerakan Islam,mereka telah memainkan peranan yang penting dalam membantu penjajahan terhadap negara umat Islam dan juga membantu kristianisasi. Golongan ini menghabiskan sebahagian dari hidup mereka untuk mendalami ilmu Islam,diantara ilmu yang menjadi tumpuan mereka ialah :

a) Ilmu Al-Quran
b) Ilmu Hadith
c) Ilmu Feqah
d) Bahasa dan Kesusasteraan Arab
e) Sejarah Islam
f) Ilmu Kemasyarakatan(mengkaji tentang realiti masyarakat,ekonomi dan politik Islam).

Secara umumnya orientalis boleh di bahagikan kepada tiga golongan:

i - Golongan yang mendapat petunjuk setelah mendalami Islam, hati mereka terbuka untuk menganut Islam, mereka inilah yang telah mengarang buku-buku yang penting untuk rujukan umat Islam seperti Ustaz Muhammad Asad diantara buku-bukunya:

الإسلام فى معترق الطريق
الطريق إلى مكة
منهاج الحكم فى الإسلام


ii - Golongan pertengahan - mereka mendalami Islam dan mengarang buku-buku Islam tanpa sebrang penyelewengan tapi hati mereka masih tertutup untuk menerima Islam.

iii - Golongan yang anti Islam - Ilmu Islam yang mereka miliki digunakan sepenuhnya untuk menimbulkan keraguan terhadap fakta Islam. Diantaranya:

a.Usaha untuk memburukkan peribadi Rasulullah
b.Tohmahan terhadap Al-Quran dan Hadith
c.Memasukkan sekular dalam masyarakat Islam
d.Menggalakkan bangsa arab menggunakan bahasa daerah, ini adalah kerana dua tujuan:
- Memisahkan bagsa arab dari bahasa ‘fushah’(فصحة )
- Merenggangkan hubungan antara bangsa-bangsa arab kerana terdapat perbezaan dalam pertuturan.

4. Budaya barat.

Budaya yang terpisah jauh dari Islam itu sudah pasti mewarisi cara hidup yang songsang, prinsip hidup bebas telah mengikis nilai-nilai kemanusiaan dari budaya itu. Perzinaan, minum arak, perjudian dan sebagainya sudah menjadi amalan harian mereka. Budaya ini sudah berkembang mekar di seluruh dunia. Cara hidup belia kita hari ini, kebanyakannya berpandu kepada budaya tersebut dari cara berpakaian hinggalah kepada tingkah laku mereka. Budaya ini tersebar dengan berbagai cara,diantaranya melalui:

1 - Pelancongan
2 - Media massa
3 - Sistem pendidikan sekular

Keadaan ini menyebabkan generasi baru semakin terpisah dari ajaran Islam, malah mereka akan mengambil sikap negatif terhadap program yang berbentuk Islam.

6. Peperangan

Daya inisiatif yang bersungguh-sungguh dari musuh Islam untuk memecahkan negara umat Islam kepada juzuk-juzuk yang lebih kecil.Merekalah yang mewujudkan permusuhan diantara negara-negara ini. Akhirnya berlakulah peperangan yang merugikan.

Contohnya peristiwa berdarah yang bermula Ogos tahun lalu iaitu sengketa Iraq dan Kuwait, walaupun kita tidak menyokong pencerobohan Iraq ke atas Kuwait, tetapi kita juga tidak mahu campur tangan dari Amerika. Kerana kewujudan Amerikalah yang mempercepatkan berlakunya peperangan ke atas Iraq dan seterusnya menghancurkan negara tersebut. Hasil inilah yang dicita-citakan oleh musuh-musuh Islam itu.

Kata Muhammad Ma’mun Hudhaibi “Keadaan telah membuktikan bahawa kedatangan tentera luar ini bukanlah untuk membebaskan Kuwait atau mempertahankan Arab Saudi atau lainnya….”. Jelas dari kata-kata presiden Bush sebelum berlakunya sengketa ini “Iraq sekarang ini sudah pun mempunyai kekuatan yang melebihi Israel dan mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan teluk. Oleh itu kekuatan Iraq ini mesti dihapuskan”.

BAGAIMANA UNTUK MENGHADAPI CABARAN DAKWAH.

Kita tidak boleh mengelakkan diri dari bertemu malam, kerana malam adalah sunnatullah, kita juga tidak boleh menahan hujan dari menyirami bumi kerana hujan adalah sunnatullah dan yang perlu kita lakukan ialah persedian untuk menghadapinya. Begitu jugalah tentang cabaran dakwah ini. Diantara persediaannya ialah:

1. Kesabaran
Sifat inilah yang dimiliki oleh para rasul dalam menghadapi cabaran dakwah di zaman mereka. Sifat inilah juga yang menjadi kunci kejayaan terhadap dakwah yang mereka bawa. Sifat kesabaran para rasul ini disebut oleh Allah di dalam al-Quran.

Firman Allah :

قال تعالى :"فاصبر كما صبر أولوا العزم من الرسول"-(سورة الأحقاف أية 35)

2. Mendalami ilmu Islam
Kefahaman yang jelas terhadap ilmu Islam akan dapat menangkis dakwaan palsu yang bertujuan untuk meragu-ragukan umat Islam serta mampu memberi fakta yang jelas ke arah mewujudkan kehidupan Islam.

3. Peka kepada isu semasa
Peristiwa yang berlaku pada setiap hari mempunyai hubung kait dengan pergerakan dakwah,jadi kalau suasana ini tidak dipedulikan, seruan dakwah menjadi tawar dan tidak akan dapat menarik perhatian masyarakat.

4. Persediaan jiwa
Perjalanan dakwah dipenuhi dengan onak dan duri, oleh itu kecekalan hati dan kecekalan jiwa adalah amat perlu untuk menangani arus ini. Disamping itu, sifat-sifat buruk seperti sombong, takabbur, hasad dengki dan sebagainya mestilah ditinggalkan.

5. Berhati-hati dengan tipu daya musuh
Musuh Islam sentiasa menggunakan pelbagai cara untuk mencapai matlamat mereka.Kita haruslah meneliti dengan cermat ketika berkomunikasi dengan mereka agar kita tidak terjebak dalam perangkap yang diatur oleh mereka.

6. Pergerakan yang tersusun
Perancangan yang teliti dalam setiap pergerakan dakwah adalah amat penting. Faedah yang di perolehi dari perancangan yang teliti ialah matlamat yang dirancang akan berhasil dengan jayanya tanpa membazirkan masa dan tenaga.

7. Mengukuhkan ekonomi
Kemantapan dari segi taraf hidup akan memberikan ruang yang lebih luas untuk pergerakan Islam, peralatan yang lebih canggih dapat disediakan bagi menandingi kemajuan dunia sekarang ini.

8. Ikhlas
(إنما الأعمال بالنيات)

PENUTUP
Sebenarnya banyak lagi sebab-sebab cabaran zaman silam, cabaran zaman moden dan persediaan untuk menghadapi cabaran yang tidak dimuatkan di dalam kertas kerja ini.

Walaubagaimanapun kita berharap ianya akan menjadi pembuka jalan kepada orang lain untuk mengemukakan sesuatu yang lebih lengkap dari kertas kerja ini. Insya-Allah.

----------------------------------------------------------------------
Lobai Kampung : Ya Allah berilah kekuatan kepada kami hadapi segala cabaran di dalam menegakkan agamu dari tangan manusia yang hasad pada perjuangan ini..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan