Isnin, 15 Februari 2010

AIR ZAMZAM

Zamzam ialah nama sebuah telaga yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram yang dahulunya bersebelahan dengan makam Hambali, tetapi sekarang ini makam ini tiada lagi dan tidak jauh dari bangunan Kaabah di Makkah kira-kira tiga puluh lapan hasta letaknya daripada Kaabah Musyarrafah atau lebih tepat lagi bersetentang dengan Hajarul Aswad yang terletak di bahagian penjuru tenggara Kaabah. Telaga ini sangat dalam dan besar walaupun kelihatan kecil di permukaannya. Buktinya ialah airnya tidak pernah kering walaupun ramai dan setiap masa orang menggunakannya. Telaga ini berdindingkan simen dan berbumbungkan marmar yang bertatah indah dan berwarna-warni, tingginya 1.5 meter dan luasnya kira-kira tiga meter.

Air zamzam digunakan untuk minum dan wudhu dan boleh juga dijadikan sebagai penawar (jikalau diniatkan sedemikian) dan ia boleh mencerahkan pandangan jikalau dimasukkan ke dalam mata kerana airnya sangat hening dan bersih. Air zamzam dianggap air yang suci dan berkat. Penduduk di Makkah sentiasa berbuka puasa dengan air zamzam atau dengan buah kurma sebagai mengikut sunnah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hampir setiap orang yang menunaikan fardhu haji ke Makkah tidak lupa membawa pulang air zamzam, khususnya orang yang datang dari sebelah timur untuk diagihkan kepada kaum keluarga.

Dinamakan air itu sebagai zamzam kerana terlalu banyak air tersebut. Sebagaimana kita maklumi air itu sudah wujud pada zaman Nabi Isma‘il ‘alaihissalam sehinggalah sekarang. Betapa besarnya kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Sejarah Air Zamzam

Zamzam adalah sebuah perigi Nabi Isma‘il ‘alaihissalam. Menurut para ahli sejarah, kisah air zamzam itu bermula dari peristiwa yang dialami oleh Siti Hajar dan anaknya Isma‘il ‘alaihissalam. Mereka berdua ditinggalkan oleh suaminya Ibrahim ‘alaihissalam di suatu tempat yang sepi dan tandus. Di tempat itu tidak ada air untuk diminum, tidak ada makanan untuk dimakan dan tidak ada orang untuk meminta pertolongan. Setelah bekalan mereka habis, Isma‘il pun menangis kerana lapar dan dahaga. Melihat keadaan anaknya sedemikian, Siti Hajar pun pergi mencari air. Dia berjalan menuju ke Bukit Safa dan Marwah kira-kira lima ratus meter jarak antara kedua bukit tersebut, dengan harapan menemui kafilah pedagang yang membawa air. Setelah berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit itu, namun Siti Hajar tidak menemui sesiapa pun.

Berkata Ibnu ‘Abbas: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Maka itulah sa‘ie manusia (orang haji dan umrah) antara keduanya (Safa dan Marwah)." Apabila Siti Hajar naik ke Bukit Marwah, dia terdengar suatu suara lalu dia berkata di dalam hati: "Sesungguhnya aku mendengarmu, jika engkau dapat memberi pertolongan, maka tolonglah kami." Tiba-tiba dia ternampak Malaikat di samping anaknya Isma‘il. Malaikat itu pun menggali tanah dengan tumit atau sayapnya sehingga terpancutlah air iaitu air zamzam.

Setelah beberapa tahun berlalu, Nabi Ibrahim ‘alaihissalam datang menemui mereka berdua. Pada waktu inilah, Baginda mendirikan rumah suci (Ka‘bah). Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: "Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan siapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengujungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk." (Surah Ali ‘Imran: 96-97)

Ketika Makkah didiami oleh kaum Jurhum (kabilah daripada Syam) dengan kemajuan dan kemewahan hidup mereka sehingga tidak mengendahkan kehormatan Ka‘abah tersebut. Menurut ahli sejarah, kaum Jurhum memakan harta Ka‘abah dan melakukan perkara dosa besar sehinggalah perigi zamzam itu kering kontang dan lama kelamaan ia tertimbus dan tidak diketahui lagi kedudukannya.

Setelah pemerintahan daerah itu dipegang oleh Abdul Muthallib (nenek Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam). Suatu ketika beliau telah bermimpi mendapat petunjuk untuk menggali perigi zamzam itu, lalu dia mengarahkan orang lain untuk menggali perigi tersebut sehinggalah kedudukan perigi itu ditemui.

Hukum Meminum Air Zamzam

Para Fuqaha bersepakat bahawa sunat bagi orang-orang yang mengerjakan ibadah Haji dan Umrah minum air zamzam, kerana Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam minum air zamzam tersebut.

Berdasarkan nas asy-Syafi‘eyah, bahawa air zamzam itu sunat diminum dalam apa keadaan sekalipun. Hukum sunat itu tidak hanya khusus selepas mengerjakan tawaf, bahkan ia sunat diminum bagi setiap orang walaupun bukan pada waktu mengerjakan ibadah haji atau umrah. Disebutkan dalam hadis Jabir bin ‘Abdullah katanya:

Maksudnya: "Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalam erti kata yang lain, jika ia meminumnya dengan maksud menghilangkan rasa haus, maka Allah akan menghilangkan rasa hausnya, jika ia meminumnya untuk menghilangkan rasa lapar, maka Allah akan mengenyangkannya, dan jika ia meminumnya untuk menyembuhkan penyakit, maka Allah akan menyembuhkan penyakitnya.

Kelebihan Air Zamzam

Banyak kelebihan yang terdapat pada air zamzam itu, sebagaimana disebutkan di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, antara kelebihan itu:

Ada keberkatan padanya, boleh mengenyangkan seperti makanan dan sebagai penawar penyakit. Disebutkan dalam hadis Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang air zamzam:

Maksudnya: "Sesungguhnya air zamzam itu penuh berkat, sesungguhnya ia makanan yang mengenyangkan." Dan Abu Daud Ath-Thayalisi menambah dalam musnadnya: "Dan penyembuh penyakit." (Hadis riwayat Muslim)

Perihal air zamzam menjadi penawar penyakit itu, banyak disebut mengenainya, antaranya:

Maksudnya: "Daripada Abu Jamrah Adh-Dhuba‘ie katanya: "Aku duduk bersama Ibnu ‘Abbas di Makkah, lalu aku terkena demam panas. Berkata Ibnu ‘Abbas: "Dinginkanlah panasmu itu dengan air zamzam, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Demam panas itu daripada bahang neraka jahannam, maka dinginkanlah ia dengan air, (atau sabda Baginda: "Dengan air zamzam" , si Hammam syak). (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Kisah seorang perempuan Maghribi yang disembuhkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada penyakit kanser dengan meminum air zamzam. Di mana doktor menyatakan, bahawa dia tidak ada harapan untuk hidup dalam masa tiga bulan. Perempuan itu pun pergi menunaikan umrah, beri‘tikaf di Masjidil Haram, minum air zamzam sepuas-puasnya dan menghabiskan masanya dengan bersembahyang, membaca al-Qur’an dan berdoa. Setelah beberapa hari bintik-bintik merah yang tumbuh di badannya sudah tiada lagi, lalu dia menemui doktor dengan menerima keputusan bahawa penyakitnya sudah sembuh.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dibersihkan dadanya dengan air zamzam bagi menguatkan Baginda melihat Malakut langit dan bumi, syurga dan neraka. Dengan ini, ada keistimewaan dalam air zamzam itu iaitu menguatkan hati dan menghilangkan ketakutan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Dibukalah atap rumahku ketika aku berada di Makkah. Lalu turun Jibril membelah dadaku, kemudian dicucinya dengan air zamzam. Setelah itu dia (Jibril) membawa mangkuk besar dari emas yang penuh dengan hikmat dan keimanan, lalu ditumpahkannya ke dalam dadaku kemudian ditutupnya kembali dadaku. Setelah itu dia menarik tanganku lalu membawaku naik ke langit dunia (dimi‘irajkan)."

Adab Meminum Air Zamzam

Adab ketika minum air zamzam itu sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian Fuqaha adalah termasuk dalam hukum sunat, antaranya:

1. Menghadap kiblat.
2. Menyebut nama Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebelum minum.
3. Bernafas sebanyak tiga kali ketika minum dan ketika bernafas itu hendaklah di luar bekas atau gelas itu (yakni tidak minum dengan sekali teguk sehingga habis, bahkan minum dengan berhenti sebanyak tiga kali).
4. Minum sehingga kenyang, kerana orang munafiq tidak meminumnya sehingga kenyang.
5. Mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala setelah selesai minum. Sebagaimana disebutkan oleh Ibnu Majah:

Maksudnya: "Daripada Muhammad bin ‘Abdurrahman bin Abu Bakr katanya: "Ketika aku duduk di sisi Ibnu ‘Abbas datang seorang lelaki kepadanya, lalu berkata Ibnu ‘Abbas: "Dari mana engkau datang?"

Lelaki itu berkata: "Dari perigi zamzam."
Ibnu ‘Abbas berkata: "Apakah engkau minum dari perigi itu sebagaimana yang sepatutnya."
Lelaki itu berkata: "Bagaimana?"

Ibnu ‘Abbas berkata: "Apabila engkau minum air zamzam, maka menghadaplah ke kiblat, sebut nama Allah dan bernafaslah tiga kali (waktu minum). Minumlah air zamzam sehingga kenyang dan jika sudah selesai maka pujilah Allah ‘azza wajalla. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya tanda yang membezakan antara kita dengan orang-orang munafiq, sesungguhnya mereka tidak minum air zamzam itu sehingga kenyang." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Antara adabnya lagi:


6. Setiap kali mengambil nafas ketika minum air zamzam, melihat ke arah Kaabah.
7. Sunat masuk ke tempat perigi zamzam dan melihatnya. Kemudian menggunakan timba yang ada di sana lalu meminumnya serta memercikkan air zamzam itu ke kepala, muka dan dada.
8. Memperbanyakkan doa ketika minum dan mengharapkan kebaikan di dunia dan akhirat.

Sunat dibaca seperti di bawah ini:

Ertinya: "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya telah sampai kepadaku NabiMu Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja." Dan aku meminumnya supaya…………."

Sesudah membaca seperti di atas, berdoalah lagi untuk memohon kebaikan di dunia dan akhirat, kemudian membaca bismillah, lalu minum dan mengambil nafas sebanyak tiga kali. ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiallallahu ‘anhuma berdoa ketika minum air zamzam:
Ertinya: "Ya Allah Ya Tuhanku, aku mohon padaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan sembuh daripada segala penyakit."

Untuk memohon keampunan atau kesembuhan daripada penyakit, bacalah doa seperti di bawah:

Ertinya: "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya telah sampai kepadaku bahawa RasulMu Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja." Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku meminumnya supaya Engkau ampuni dosaku, Ya Allah ampunilah aku. Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku meminumnya supaya Engkau sembuhkan sakitku, Ya Allah sembuhkanlah aku."

Selain berdoa untuk kepentingan diri sendiri bagi memohon kebaikan di dunia dan akhirat, memohon juga untuk orang lain seperti anak atau sanak saudara misalnya, akan tercapai permohonan itu juga jika dia meminum air zamzam tersebut dengan niat yang betul.

Memindahkan Air Zamzam

Memindahkan air zamzam daripada Makkah atau tanah haram kepada tanah halal atau keluar daripada Makkah adalah harus. Daripada ‘Urwah bin Az-Zubair katanya:

Maksudnya: "Sesungguhnya ‘Aisyah membawa air zamzam dan dikhabarkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan yang demikian itu." (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Penggunaan Air Zamzam Selain Untuk Diminum

Beristinja’ (bersuci daripada dua jalan qubul dan dubur), menurut Al-Khatib dan Ibnu Hajar, makruh beristinja’ dengan menggunakan air zamzam. Sementara pendapat Syaikhuna adalah khilaful Awla (bertentangan dengan yang lebih utama). Kerana air zamzam itu mempunyai kehormatan. Menurut Al-Bulqini, air zamzam itu lebih afdhal daripada air Kawtsar.

Termasuklah dalam hukum makruh dan khilaful awla di atas, air yang keluar daripada jari-jari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, air Kawtsar dan air yang dirampas.

Dikatakan juga, sesiapa beristinja’ dengan air zamzam, nescaya dia akan mewarisi penyakit bawasir. Jika dia beristinja’ juga dengan air zamzam tersebut, maka dengan air itu dia suci (dia dapat membersihkan najisnya).

Harus menggunakan air zamzam itu untuk mandi dan berwudhu. Adapun menggunakan air zamzam bagi memandikan mayat hendaklah dielakkan.

Berjual Beli Dengan Air Zamzam

Setakat ini kita belum jumpa keterangan khusus mengenai hukum jual beli air zamzam itu. Bagaimanapun berdasarkan kaedah:

Ertinya: "Asal suatu perkara itu adalah harus, sehingga ada dalil syara‘ yang mengharamkannya."

Maka berdasarkan kaedah ini, harus air zamzam itu diperdagangkan atau dijual dan dibeli.

Demikianlah beberapa penjelasan mengenai air zamzam dan kelebihannya, rahsia serta manfaat yang boleh kita perolehi. Di samping itu juga, ia adalah sebagai tanda kebesaran Allah di mana air zamzam itu masih dapat kita nikmati dan tidak kering sehingga zaman ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan