Selasa, 26 Januari 2010

UCAPAN TAKZIAH

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Ta‘ziah dari segi istilah bererti menyuruh seseorang dengan bersabar dan mendorongnya dengan pahala yang dijanjikan, memperingati daripada dosa, mendoakan bagi si mati dengan keampunan dan mendoakan bagi orang yang terkena musibah dengan mendapat penggantinya. (Mughni al-Muhtaj: 1/481)

Sudah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat untuk menziarahi keluarga si mati atau orang yang terkena musibah. Amalan serupa ini amatlah digalakkan oleh Islam. Akan tetapi hendaklah diingat dan dijaga batasan-batasan dan etika yang diajarkan oleh Islam berhubung menziarahi keluarga si mati atau orang yang terkena musibah.

Hukum Ta‘ziah

Para fuqaha tidak berselisih pendapat dalam mengharuskan ucapan ta‘ziah kepada orang yang ditimpa musibah sama ada disebabkan kematian atau kebakaran dan sebagainya. Bahkan ta‘ziah itu sunat diucapkan kepada mereka yang ditimpa musibah, sebagaimana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

"Tiadalah seorang mukmin yang mengucapkan ta‘ziah pada saudaranya yang ditimpa musibah, melainkan Allah Subhanah memberikannya pakaian daripada pakaian kehormatan di hari qiamat.”(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Adapun ta‘ziah itu sunat diucapkan kepada ahli keluarga musibah pada keseluruhannya, sama ada terdiri daripada orang dewasa lelaki dan perempuan atau pun kanak-kanak yang berakal. Akan tetapi tidak boleh mengucapkan ta‘ziah itu kepada perempuan yang muda melainkan sesamanya perempuan, suami atau pun mahramnya. Ini kerana ditakuti akan mendatangkan fitnah.

Waktu Dan Jangka Masa Ta‘ziah

Sunat mengucapkan ta‘ziah kepada ahli keluarga musibah sebelum dan selepas menguburkan si mati. Adapun lebih afdhal mengucapkan ta‘ziah itu selepas menguburkan si mati kerana kesibukan ahli keluarga pada menguruskan mayat si mati. Berlainan halnya jika ahli keluarga itu terlalu sedih dan resah sebelum dikuburkan mayat tersebut, maka afdhal didahulukan ta‘ziah itu bagi menghilangkan kesedihan dan keresahannya.

Ucapan ta‘ziah kepada ahli keluarga musibah itu, hendaklah tidak melebihi kira-kira tiga hari lebih kurang. Kerana dalam jangka masa tiga hari itu, ahli keluarga musibah pada kebiasaannya hati mereka sudah mula tenang dan tidak merasa sedih dan resah lagi. Oleh yang demikian, makruh mengucapkan ta‘ziah kepada ahli keluarga si mati selepas berlalunya tiga hari agar tidak menimbulkan lagi kesedihan mereka. Akan tetapi jika salah seorang di antara orang yang mengucapkan ta‘ziah dan orang yang diucapkan ta‘ziah itu tidak ada pada masa tersebut, maka harus diucapkan ta‘ziah itu selepas tiga hari.

Menyediakan Makanan Bagi Ahli Keluarga Si mati

Sunat bagi jiran dan kaum karabat yang jauh menyediakan makanan untuk ahli keluarga si mati, sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada ahlinya ketika mendapat khabar kematian Saiyidina Ja‘far bin Abi Thalib: yang maksudnya :

“Kamu buatkanlah makanan bagi keluarga Saiyidina Ja‘far, sesungguhnya telah didapati mereka itu kesibukan (atas kematian Saiyidina Ja‘far).”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Haram menyediakan makanan kepada orang yang meratapi si mati (niyahah), seperti perempuan yang meraung menangis sambil menampar-nampar pipinya dan merobek-robek pakaiannya. Ini kerana, orang yang menyediakan makanan untuk orang yang meratapi itu bekerjasama dalam maksiat. (I‘anah At-Thalibin: 2/165)

Adapun bagi ahli keluarga si mati itu sendiri adalah makruh menyediakan makanan dan mengumpulkan orang ramai bagi menjamu jamuan itu, kerana ia boleh menambahkan lagi kesedihan, kesibukan di samping menguruskan jenazah dan ia juga boleh menyerupai perbuatan orang jahiliah dan perbuatan ini juga adalah bid‘ah makruhah. Sebagaimana dalam sebuah hadis daripada Jarir bin Abdillah Al- Bajaliy berkata yang maksudnya :

"Kami (sahabat) mengiktibarkan berhimpun di tempat ahli keluarga si mati dan mereka (ahli keluarga si mati) membuat jamuan makanan selepas penguburan si mati: itu adalah sebagai satu niyahah (ratapan).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Adapun jika jamuan makan yang biasa dilakukan itu bertujuan untuk mendapatkan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi si mati, maka tujuan itu adalah baik.

Akan tetapi jika ahli keluarga si mati itu memberatkan diri dengan berbagai-bagai makanan dengan tujuan ria’, bermegah-megah dan perkara-perkara yang boleh membawa kepada ria’ dan bertujuan untuk meratapi si mati, maka itu adalah perbuatan orang jahiliah.

Lafaz Ta‘ziah

Sebagaimana penjelasan di atas, sunat ke atas orang Islam mengucapkan ta‘ziah kepada orang yang ditimpa musibah.

Adapun ucapan ta‘ziah itu jika ditujukan kepada ahli keluarga yang Islam dan bagi si mati yang Islam, lafaznya adalah seperti berikut yang ertinya :

"Semoga Allah membesarkan pahalamu dan membaikkan kesabaranmu dan mengampunkan bagi si matimu.”

Persoalan yang timbul, bolehkah mengucapkan ta‘ziah kepada orang orang bukan Islam dan bagaimanakah lafaznya?

Ucapan Ta‘ziah Bagi Orang Bukan Islam

Harus bagi orang Islam memberi ucapan ta‘ziah kepada orang kafir zimmi bahkan sunat hukumnya jika mengharapkan Islamnya.

Apabila si mati orang bukan Islam dan ucapan ta‘ziah itu ditujukan kepada keluarganya yang Islam, lafaznya ialah seperti berikut :
Ertinya:“Semoga Allah membesarkan pahalamu dan kesabaranmu dan semoga Allah memberimu penggantinya.”

Akan tetapi haram didoakan bagi mayat orang bukan Islam itu dengan memohon keampunan baginya, walaupun ucapan ta‘ziah itu ditujukan kepada keluarga si mati yang Islam. Contoh lafaz mendoakan keampunan yang diharamkan bagi mayat orang bukan Islam itu seperti berikut :
Ertinya :“Semoga Allah mengampuni si matimu.”

Berbeza halnya jika si mati itu orang Islam. Maka harus didoakan si mati itu dengan memohonkan keampunan, walaupun ucapan ta‘ziah itu kepada keluarga yang bukan Islam bagi si mati yang Islam.

Akan tetapi tidak boleh diucapkan ta‘ziah kepada keluarga yang bukan Islam bagi si mati yang Islam itu dengan mendoakannya supaya Allah membesarkan pahala keluarga yang bukan Islam itu. Kerana tiada pahala bagi orang-orang bukan Islam. Tetapi harus diucapkan ta‘ziah kepada keluarga bukan Islam itu jika si mati orang Islam dengan lafaz seperti berikut :
Ertinya : “Semoga Allah mengampuni si matimu dan membaikkan kesabaranmu.” (Mughni Al-Muhtaj: 1/481-482)

Manakala ucapan ta‘ziah bagi ahli keluarga bukan Islam dan si mati yang bukan Islam, adalah lebih baik ditinggalkan kerana ianya mendoakan orang bukan Islam dengan berkekalan dan sentiasa dalam kekufurannya. Sebagai contoh lafaz ta‘ziah yang ditujukan kepada keluarga bukan Islam dan si mati yang bukan Islam, yang mana lebih baik ditinggalkan itu ialah :
Ertinya : "Semoga Allah memberimu penggantinya.”

Sebagaimana penjelasan di atas adalah haram bagi umat Islam mengucapkan ta‘ziah kepada ahli keluarga yang bukan Islam dengan mendoakan semoga Allah membesarkan pahala mereka. Begitu juga mengucapkan bagi si mati yang bukan Islam dengan mendoakan keampunan. Kerana mendoakan orang-orang bukan Islam itu ada batasnya, untuk lebih jelasnya dihuraikan hukum mendoakan orang bukan Islam.

Hukum Mendoakan Orang Bukan Islam

Terdapat garis pandu dan batas bagi keharusan mendoakan orang bukan Islam. Tidak semua doa atau permohonan itu diharuskan bagi mereka. Adalah haram mendoakan orang bukan Islam sama ada dia terdiri daripada keluarga sendiri ataupun sebaliknya, dengan doa yang berbentuk permohonan keampunan dan seumpamanya yang tidak layak disebut bagi orang bukan Islam. Kerana ianya dilarang sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

"Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (Surah At-Taubah: 113)

Daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa yang berkata yang maksudnya :

"Orang-orang Yahudi berpura-pura bersin di majlis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dengan tujuan supaya Baginda bersabda dan mendoakan mereka dengan mendapat rahmat Allah – sebagaimana doa bagi orang-orang Islam apabila mereka bersin – Maka Baginda bersabda (kepada orang-orang Yahudi ketika mereka bersin) semoga Allah memberi hidayat kepada kamu dan membetulkan hal ehwal kamu.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Daripada hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa tidak harus mendoakan orang bukan Islam agar mereka mendapat keampunan dan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kerana rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu khusus bagi orang-orang yang beriman. Akan tetapi harus bagi kita mendoakan orang-orang bukan Islam itu supaya mendapat hidayat, taufiq serta beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya :

“Thufail bin ‘Amr datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), mohonlah (berdoalah) kepada Allah agar ditimpakan keburukan ke atas mereka.” Orang-orang menyangka bahawa Baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda bersabda: “Ya Allah! Berikanlah hidayat kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sementara hadis yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya :

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah minta tolong menimba air, lalu ada orang Yahudi yang menimbakan air untuk Baginda. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mendoakannya: “Semoga Allah menjadikanmu tampan selalu.” Maka orang Yahudi itu sehingga meninggal dunia tidak pernah kelihatan uban dikepalanya.” (Hadis riwayat Ibnu as-Sunni)

Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam pernah diminta oleh sahabat Baginda iaitu Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, untuk mendoakan ibunya yang masih kafir supaya memeluk agama Islam. Lalu Baginda pun mendoakannya dan dimakbulkan permohonannya itu oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Doa-doa seperti di atas ini adalah diharuskan. Tetapi mendoakan orang bukan Islam dengan memohon keampunan dan keselamatan daripada azab dunia dan azab akhirat, maka itu adalah haram.

Pada zaman yang semakin giat membangun ini, bermacam pendapat dan pemikiran yang timbul dan berbagai usaha yang dilakukan terutama sekali dalam strategi-strategi untuk melemah atau menjatuhkan umat Islam, sekaligus terhadap agama Islam itu sendiri.

Apa yang jelas, melalui strategi-strategi yang nyata mahupun terselindung, budaya-budaya di luar kehendak syara‘ beransur-ansur menyerap ke negara Islam sama ada melalui media massa atau berbagai bentuk saluran, secara tidak langsung atau terus menerus yang dapat dilihat oleh kaca mata orang Islam sendiri.

Budaya-budaya yang dimaksudkan itu ialah seperti merayakan halloween dan valentine’s day, mencurahkan rasa sedih dengan menghidupkan lilin beramai-ramai, bertafakkur atau senyap dalam beberapa minit sebagai mengingati orang yang telah mati atau berkumpul untuk upacara blessing (memohon rahmat, restu dan berkat) untuk orang bukan Islam yang telah mati dalam upacara remembrance day dan sebagainya. Begitu juga, istilah beramal turut disalahgunakan seperti konsert amal, fun-fair amal dan sebagainya untuk mengaburi mata orang Islam yang kononnya pekerjaan itu adalah usaha yang berkebajikan. Akan tetapi sama ada disedari atau tidak pekerjaan dan acara-acara itu bercampur-aduk dengan berbagai perkara yang membawa kepada kemaksiatan dan dosa.

Oleh yang demikian, hendaklah kita berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara. Berfikir panjang dalam membuat sesuatu keputusan sama ada ianya menyalahi hukum Islam atau tidak. Tanpa disedari, seperti memperingati kematian orang-orang bukan Islam dan sekaligus mendoakan mereka itu dalam keampunan dan rahmat daripada Tuhan. Perkara inilah yang mesti kita ambil kira kerana ianya sudah jelas dilarang oleh Islam.

2 ulasan:

  1. assalamaulaikum ya ustaz... izinkan sya berkongsi dengan rakan2 ilmu yang disampaikan agar iainya menjadi peringatan kepada saya dan ahli keluarga saya serta saudara seISLAM dengan saya

    BalasPadam
  2. mohon dikongsi ilmu yang berguna ini dengan sahabat yang lain..

    BalasPadam