Selasa, 1 Disember 2009

Rugi tak rebut ganjaran berlipat ganda bersolat jemaah

Pahala diukur ketika mula berwuduk hingga selesai menunaikan sembahyang di masjid

PEMBINAAN masjid yang besar demi memenuhi keperluan beribadat umat Islam sayangnya tidak menzahirkan gambaran diharapkan apabila jumlah mereka yang bersolat secara berjemaah tidak sepadan dengan keluasan masjid itu.

Ada masjid yang boleh menampung ribuan jemaah tetapi apabila tiba waktu solat fardu, bilangan jemaah hanya sekadar dua atau tiga saf saja sedangkan solat secara berjemaah memiliki pelbagai keutamaan besar dan menyeluruh.

Pahala bagi orang bersolat berjemaah bermula ketika dia berjalan keluar rumah menuju masjid hinggalah selesai menunaikan solat secara berjemaah. Bukan setakat itu saja, bahkan ia berlanjutan sehingga dia tiba di rumahnya dari masjid.

Banyak keutamaan solat berjemaah antaranya keutamaan ketika perjalanan ke masjid. Bekas perjalanan bagi mereka yang menuju ke masjid untuk bersolat berjemaah akan dihitung dan dibalas dengan ganjaran pahala.
Daripada Jabir bin ‘Abdullah, dia berkata: “Bani Salimah ingin berpindah supaya lebih hampir dengan masjid, lantas menyatakan bahawa tempat itu banyak kosong.

Maka sampailah berita itu kepada Nabi SAW lalu, Baginda bersabda:

“Hai Bani Salimah! Tetaplah di rumah kalian, sesungguhnya akan dicatat bekas perjalanan kalian (ke masjid). Mereka berkata: Tidaklah menyenangkan bagi kami, kalau kami berpindah.” (Hadis riwayat Muslim)

Tambahan lagi langkah perjalanan menuju ke masjid untuk bersolat berjemaah itu dapat menghapuskan dosa dan meninggikan darjat seseorang manusia di sisi Allah. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Mahukah kalian aku tunjukkan atas sesuatu yang mana Allah akan menghapuskan dosa dengannya dan terangkat beberapa darjat? Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah”.

Baginda bersabda:

“Sempurnakanlah wuduk pada saat cuaca sangat dingin, perbanyakkanlah melangkah menuju masjid, dan menunggu selepas solat. Demikianlah itu bagi kalian pertalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Orang yang keluar menuju masjid dalam keadaan berwuduk untuk mengerjakan solat berjemaah akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakan haji dan juga dianggap melakukan solat daripada permulaanc perjalanannya hingga dia kembali ke rumahnya. Ini sebagaimana sabda Rasulullah daripada Abu Umamah yang bermaksud:

“Barang siapa keluar dari rumahnya dalam keadaan suci (berwuduk) menuju solat wajib (dengan berjemaah) maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan haji dengan memakai ihram.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Allah juga menyediakan syurga bagi orang yang pergi dan pulang dari masjid. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa pergi ke masjid dan kembali, Allah akan menyediakan tempat baginya di syurga setiap kali dia pergi ke masjid dan kembali dari masjid.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kedua ialah keutamaan ketika berada dalam masjid dan mengerjakan solat secara berjemaah. Adalah menjadi lumrah bagi kebanyakan insan untuk berasa bangga jika menjadi tetamu kepada orang kenamaan seperti Sultan atau Perdana Menteri.

Namun, begitu ramai kurang memahami dengan menghadirkan diri ke masjid untuk bersolat secara berjemaah kita sebenarnya sedang menjadi tetamu Allah. Masjid adalah rumah Allah dan tentu sekali sebagai tuan rumah, Allah memuliakan tetamu-Nya.
.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang berwuduk dalam rumahnya dan menyempurnakan wuduknya kemudian pergi kemasjid maka dia adalah tetamu Allah dan kewajipan bagi yang dikunjungi untuk memuliakan yang mengunjungi.”

Apabila seseorang itu berada dalam masjid untuk menunggu masuknya waktu solat sesungguhnya dia mendapat pahala seperti berada dalam keadaan bersolat di sisi Allah dan malaikat pula sentiasa mendoakan keampunan serta rahmat baginya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seseorang daripada kalian yang menunggu waktu solat, (dia berada) dalam solat selama tidak batal, maka malaikat mendoakan baginya: Ya Allah, ampunkan dia, ya Allah rahmatilah dia.” (Hadis riwayat Muslim)

Mengerjakan solat berjemaah memiliki keutamaan berlipat ganda jika dibandingkan solat sendirian. Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Solat berjemaah lebih utama jika dibandingkan dengan solat sendirian dengan 27 darjat.” (Hadis riwayat Bukhari)

Di samping itu, keutamaan solat berjemaah juga bertambah dengan jumlah orang bersolat. Semakin ramai makmum maka semakin tinggi nilai pahala diperoleh oleh semua makmum.
Daripada Ubai bin Ka’ab, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya solat seseorang bersama seseorang lebih utama daripada solatnya sendirian, dan solatnya bersama dua orang, lebih utama daripada solatnya dengan seorang dan jumlah yang lebih banyak, maka itulah yang lebih disukai oleh Allah.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Allah juga memberi perlindungan daripada syaitan kepada mereka yang mengerjakan solat berjemaah. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya syaitan itu bagaikan serigala bagi manusia seperti serigala bagi kambing, yang menjadikan kambing yang di dalam keadaan sendirian dan lalai sebagai mangsa, maka waspadalah kalian daripada bersendirian dan wajib bagi kalian untuk berjemaah dan pergi ke masjid.” (Hadis riwayat Ahmad)

Sesiapa yang mendapatkan takbir yang pertama bersama imam selama 40 hari berturut-turut maka Allah membebaskannya daripada api neraka dan kemunafikan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang solat kerana Allah selama 40 hari di dalam jemaah dengan mengikuti takbir yang pertama, ditulis baginya dua kebebasan, iaitu bebas daripada api neraka dan kemunafikan.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Keutamaan solat berjemaah ada yang berlanjutan sehingga tiba di rumah seperti pahala banyak dan disediakan tempat baginya di syurga.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila salah seorang di antara kalian berwuduk di rumahnya kemudian datang ke masjid adalah dia berada dalam solat sampai dia pulang.”

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:

“Barang siapa pergi ke masjid dan kembali, Allah akan menyediakan tempat baginya di syurga setiap kali dia pergi ke masjid dan kembali dari masjid.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kelebihan dan keutamaan solat jemaah yang menjanjikan banyak kebaikan sewajarnya menjadi aspirasi bagi kita semua untuk mengerjakan solat secara berjemaah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan