Sabtu, 19 Disember 2009

HIJRAH SEBAGAI PENGORBANAN UNTUK PERUBAHAN

ALHAMDULILLAH, sama-samalah kita bersyukur kepada Allah yang telah memberi pelbagai nikmat kepada kita sekalian sejak dari dahulu hingga ke hari ini, yang membolehkan kita sekali lagi menyambut peristiwa Hijratul-Rasul bagi tahun ini.

Hijrah Rasul yang kita sambut ini bukanlah satu ethos sejarah semata-mata, yang disambut dan diraikan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Tetapi hijrah adalah satu sejarah yang benar-benar mengubah penafsiran falsafah hidup yang selama ini manusia gila-gila menjadikan dunia untuk dunia semata-mata. Hijrah disambut kerana ianya mengandungi suka duka dan pahit maung perjalanan hidup seorang pejuang kebenaran yang diketuai oleh seorang Nabi dan Rasul yang bernama Muhammad SAW.

Dalam Islam ada bermacam-macam jenis sejarah yang telah dirakamkan oleh Allah. Sebahagian daripadanya telah diputarkan semula melalui Kitab al-Quran untuk menjadi bahan kajian dan renungan manusia yang hidup di sepanjang zaman. Permulaan sejarah yang dirakam oleh al-Quran bukan sekadar lama dalam jangka kehidupan manusia. Malah ia bermula dengan asal usul penerokaan manusia di permukaan bumi itu sendiri di mana pada suatu waktu Allah telah memanggi semua penghuni langit dan bumi, malaikat dan iblis untuk mendengar taklimat mengenai rancangan azali-Nya menciptakan alam dan melantik manusia sebagai Khalifah-Nya di dunia ini. . . . Hinggalah kepada sejarah pertembungan umat manusia dengan para nabi dan rasul sejak zaman berzaman. Dalam pertembungan tersebut walaupun nabi beradi di pihak yang benar namun terdapat juga seksa dan sangsaranya sehingga ada di antara mereka yang dibunuh dan digergaji kepala mereka hidup-hidup sampai terbelah dua.

Sejarah ini terus sahaja berlaku tanpa henti-henti dan rakaman itu sentiasa pula diputarkan oleh al-Quran untuk tatapan manusia sehingga melampaui zaman dan suasana yang pernah dirasai oleh manusia seperti keadaan yangakan berlaku di dalam kubur, di padang mahsyar dan segala suasana hingar-bingarnya. Kesemua putaran sejarah ini bertujuan untuk memberi taklimat dan ilmu kepada manusia supaya mereka boleh menjadikan sejarah ini sebagai satu bahan yang boleh membawa keseimbangan di dalam kehidupan mereka di dunia ini. Dengan kehidupan mereka yang seimbang antara dunia dan akhirat maka bermulalah tafsiran baru untuk hidup yang dapat memberi makna dan nikmat yang sepenuhnya kepada rohani dan jasmani serta kepada kehidupan di dunia dan di akhirat mereka.

Hijratul Rasul SAW. adalah salah satu daripada sejarah-sejarah yang di rakam oleh Allah dan diptarkan semula kepda manusia melalui al-Quran.

Dengan merenugi peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa peristiwa hijrah ini kita akan dapat memperkuatkan mental dan fizikal serta keazaman untuk memperjuangkan Islam. Kerana kalu Nabi sebagai seorang manusia yang telah dirancang dan disempurnakan kejadian dan sifat-sifatnya oleh Allah terpaksa melalui dan merempuh jalan yang begitu sulit dan sukar untuk menegakkan Islam dan segala isi pengajarannya, apalah yang ada pada kita yang lemah ini untuk membolehkan kita mengelak dan terlepas daripada ditimpa kejadian yang serupa. Secara logiknya kita akan menerima lebih banyak masalah dan halangan kerana ia bukan sahaja fitrah perjalanan sebuah kebenaran dan keadilan tetapi ditambah pula dengan kelemahan-kelemahan yang ada pada kita sebagai insan biasa. Oleh itu kalau ada yang bermimpi menegakkan Islam tanpa berdepan dengan kesulitan sudah tentu agak sukar untuk diterima dan semacam mustahil.

Hijrah adalah satu pengorbanan untuk membawa perubahan. Tidak ada perubahan yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan adalah suatu tuntutan hidup. Berubah dari suatu yang buruk kepada yang baik, dari yang baik kepada yang terbaik.

Setiap orang Islam mesti ada semangat dan cita-cita untuk berubah. Berubah dari segala sifat yang mazmumah kepada mamduhah. Oleh itu Allah mewajibkan manusia membaca al-Fatihah di setiap kali hamba-Nya. Dalam al-Fatihah terkandung ayat yang bermaksud: Ya Allah Tunjukkanlah kepada kami jalan yang lurus.

Persoalannya bagaimanakah jalan yang lurus itu akan kita perolehi kalau kita tidak lakukan perubahan dan berkorban? Di atas dunia ini apabila manusia ingin membina lebuhraya yang baik dan selesa kita mesti melakukan pemotongan, pembetulan, potong sana dan gali sini, luruskan mana yang bengkok, timbun mana yang berlubang dan sebagainya. Inikan pula kita hendak mendapat jalan yang lurus untuk dunia dan akhirat. Sudah tentulah banyak pengubahan dan pengorbanan yang diperlukan. Oleh sebab itu Islam mengajar kita melakukan alamru bil ma'ruf wannahyu anilmunkar.

Iaitu mengubah akidah syirik kepada tauhid, mengubah zat pencarian yang haram kepada yang halal, mengubah sikap mendewa-dewakan manusia kepada mendewa-dewakan Allah Azawajalla. Bukanlah kerja maninan yang boleh dilakukan sambil lalu. Dia memerlukan hujah yang jelas, hala tuju yang diterima akal, menyebabkan Nabi SAW. sendiri rela meletakkan diri baginda di dalam keadaan yang serba sulit dan bahaya. Sehingga baginda telah diancam untuk dibunuh, ditangkap atau dihalau oleh musyrikin Mekah. Kenapa sampai begitu sekali ancaman yang terpaksa diterima oleh baginda?

Tidak alain dan tidak bukan ialah kerana Nabi datang membawa perubahan ke arah jalan yang lurus. Yang memerlukan terlalu banyak perkara yang terpaksa dibuat perubahan bermula dengan perkara yang pokok yang besar-besar seperti akidah dan perundangan hinggalah perkara-perkara lain yang lebih kecil tetapi menjurus dan boleh memberi kesan kepada kebaikan yang hendak dicapai.

Perkara-perkara yang besar yang telah diubah dimulakan dengan masalah dasar hidup (akidah) seperti ketuhanan dari amalan syirik menyembah berhala diubah oleh Nabi supaya manusia menyembah Allah, kezaliman ditukar kepada keadilan, huru-hara diubah kepada keamanan dan kedamaian, amalan penindasan sesama makhluk ditukar kepada pembilaan dan kesaksamaan dan berbagai-bagai lagi.

Malah bagi perkara yang lebih kecil pun diubah oleh Nabi SAW. seperti hari niruz atau perayaan menyambut tahun baru di kalangan masyarakat jahiliyah ditukar menjadi dua hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya haji, daripada suka menyimpan misai tanpa janggut diubah supaya mengekalkan simpanan janggut dan menipiskan misai.

Nama-nama orang yang membawa makna yang buruk atau hodoh seperti Abdulkhail (hamba kuda) ditukar kepada Abdul Khair (hamba yang baik), bayaran maskahwin yang mahal ditukar menjadi lebih murah, supaya kehidupan seks tidaklah berkisar di kalangan orang-orang yang berduit semata-mata. Kemurahan itu menyebabkan kehidupan menjadi senang dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Kesimpulannya terlalu banyak perubahan oleh Nabi SAW. dalam usaha untuk mendapat siratul mustaqim. Kesemuanya ini memerlukan kefahaman yang mendalam dan juga pengorbanan jiwa dan azam yang tinggi. Oleh hal yang demikian, kalau ada suara-suara yang mengkritik perubahan yang dibuat sekarang untuk mendapatkan siratul mustaqim dengan mencontohi Rasul SAW. maka itu menunjukkan bahawa golongan seperti ini adalah golongan yang tidak faham kandungan ajaran Islam dan tidak faham makna dan hakikat dari peristiwa hijrah walaupun mereka juga menyambut peristiwa hijrah.

Dalam hal ini Rasul SAW. telah mengambil sikap dan pendirian yang sangat jelas. Baginda tidak pernah berputus asa dan merasa keciwa dengan kritikan musuh-musuh baginda yang sering mengkritik dan menentang baginda sewaktu baginda melakukan perubahan. Segala-galanya terpaksa baginda lakukan sehingga sanggup berhijrah meninggalkan anak isteri, tanah air, harta benda dan kaum keluarga semata-mata kerana mahu melakukan perubahan dan menegakkan Islam. . . .

Oleh hal yang demikian, kita sebagai umatnya tidak mempunyai pilihan yang lain lagi kecuali kita mesti mengikuti jejak langkah baginda bagi menunaikan tanggungjawab kita sebagai umatnya di dunia ini. Kita bergerak dan bekerja untuk melakukan perubahan di dalam masyarakat kita masing-masing supaya kepincangan di dalam akidah dan sosial dapat diperbetul dan Islam sebagai agama yang mulia dan tinggi akan dapat kita daulatkan dan diletakkan di tempat yang sewajarnya.
Sesungguhnya sekiranya Islam itu hanyalah berkisar di atas sembahyang, puasa sahaja maka hijrah tidak akan berlaku kerana kedua-duanya dapat dilakukan di dalam rumah masing-masing., di tempat tertutup. Tetapi oleh kerana Islam melibatkan pembetulan-pembetulan sana-sini, penyusunan semula masyarakat, sampai ke peringkat mengerah bala tentera untuk mempertahankan kedaulatan, maka wajarlah umat Islam menjadikan hijrah sebagai titik renungan supaya Islam hari ini bertaraf sebagaimana yang pernah ditunjuk dan diajar oleh Nabi kita melalui peristiwa hijrah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan