Jumaat, 25 Disember 2009

-Berhijrah Menjadi Bangsa Bermaruah-

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهْ وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَسَلَّمَ تَسْلِيْمًا كَثِيْرًا. قَالَ تَعَالَى: يَا أَيُّهاَ الَّذِيْنَ ءَامَنُوا اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Kita sudahpun berada di tahun baru 1431H. Ini menandakan umur kita meningkat setahun lagi dan pada masa sama ia turut mengisyaratkan bahawa ajal semakin menghampiri kita. Oleh itu, sebaik-baik tekad dan azam mengharungi sisa-sisa hidup yang masih berbaki di tahun baru ini ialah meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T dengan mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ini merupakan salah satu daripada maksud dan tuntutan hijrah dalam Islam kerana meninggalkan amalan yang tidak diredai Allah kepada suatu amalan yang dikehendaki-Nya adalah termasuk dalam maksud hijrah yang sebenar selaras mafhum sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Habsyi, yang bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (H.R. Abu Dawud).

Dan sesungguhnya perubahan ke arah kebaikan didasari oleh kekuatan iman, jihad dan pengorbanan yang tinggi kerana mengharapkan rahmat dari Allah S.W.T seperti yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Maknanya, hijrah itu merupakan perwujudan keimanan yang disertai semangat jihad memerangi hawa nafsu dan segala sifat-sifat buruk yang merusak kehidupan peribadi maupun masyarakat. Hakikat ini diabadikan dalam al-Quran, Allah S.W.T berfirman:-

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah, mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (S. Al-Baqarah: 218).
JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Kehadiran tahun baru Hijrah ini juga mengingatkan kita kepada peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah. Peristiwa hijrah ini amat besar ertinya bagi perjuangan Baginda khususnya, dan kepada seluruh umat Islam umumnya. Ini kerana peristiwa ini dilihat sebagai strategi perjuangan Rasulullah s.a.w dalam menegakkan syiar Islam.

Oleh hal yang demikian, peristiwa hijrah yang dilakukan Rasulullah s.a.w dan para sahabat tersebut tidak semata-mata merupakan suatu perpindahan tempat dari Makkah ke Madinah. Lebih dari itu, ia merupakan satu perubahan nekad, iaitu meninggalkan pelbagai perilaku buruk yang dilarang oleh Allah S.W.T. Maka ia dilihat sebagai satu titik permulaan pembaharuan sistem nilai dan hidup manusia daripada keadaan daif kepada keadaan lebih baik.

Ini kerana dalam peristiwa yang agung itu, kita diberi gambaran bahawa berlaku penghijrahan dari penyembahan kepada berhala menuju penyembahan hanya kepada Allah S.W.T, yakni berhijrah dari syirik kepada Tauhid, dari merendahkan kaum wanita kepada mengangkat darjat mereka, dari semangat kesukuan dan perkauman kepada semangat kemajmukan atau pluralitas dan keuniversalan nilai-nilai kemanusiaan yang saling berkasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Mereka juga berhijrah dari perbuatan zalim kepada perbuatan adil dan dari khianat kepada amanah.

JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Dalam meneruskan perjuangan Islam ini, tiada bekalan yang paling utama selain daripada akidah yang teguh dan mantap. Ini kerana hijrah didasari perjuangan untuk menyelamatkan akidah ummah. Kita hijrah maknawi daripada perbuatan syirik kepada Tauhid, dari kufur kepada iman, dari melakukan maksiat kepada taat, dari riak kepada ikhlas, dari takbur kepada tawaduk, dari malas kepada rajin dari khianat kepada amanah, dari dusta kepada jujur, dari perpecahan dan permusuhan kepada perpaduan dan berkasih sayang.

Dengan hal yang demikian, penghijrahan itu dari satu segi mengarah kepada pembentukan umat atau bangsa yang bermaruah. Maruah di sini membawa maksud mempunyai harga diri, malu melakukan perkara yang tidak baik, pantang berputus asa dalam mencapai sesuatu matlamat yang baik, sentiasa berusaha memperbaiki keadaan hidup supaya tidak dihina, sentiasa mengajak kepada kebaikan dan sebagainya.

Justeru, jika sebelum hijrah umat Islam adalah golongan yang ditindas dan disiksa kaum Musyrikin, namun selepas hijrah, kaum Muslimin mempunyai kedudukan kuat dan terbentuk sebuah masyarakat yang ada peraturan, pimpinan dan matlamatnya lebih terarah kepada memperoleh redha dan rahmat Allah S.W.T. Inilah natijah daripada penghijrahan daripada hidup yang ditunjangi hawa nafsu kepada hidup yang ditunjangi akidah Islamiah yang mengangkat martabat ummah yang bermaruah.

Dengan kata lain, peristiwa Hijrah itu membuktikan bahawa Islam bukan saja agama dalam pengertian yang sempit dan hanya menyentuh soal ibadat khusus saja, malah ia adalah agama yang syumul (menyeluruh) menyentuh segala perkara yang bersangkutan dengan bidang kehidupan manusia, seperti politik, ekonomi, sosial, ilmu pengetahuan dan sebagainya.
JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Bagi membentuk umat yang bermaruah, Islam memberi penekanan kepada tarbiah berasaskan akidah, syariah dan akhlak. Inilah asas terpenting bagi membangun bangsa bermaruah hatta mencapai status “khair ummah” atau umat yang terbaik. Dalam hubungan ini, setiap detik yang berlalu hendaknya menguatkan semangat kita semua untuk kembali menghayati serta menterjemahkan pengajaran yang tersirat pada firman Allah di dalam Al-Quran:-

Bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka; orang yang fasik.” (Ali Imran: 110).

Ini adalah ayat yang menegaskan bahawa sesungguhnya umat Muhammad adalah umat yang bermaruah dan terbaik yang dilahirkan bagi faedah manusia. Namun, kemuliaan dan keistimewaan sebagai “khair ummah” atau umat yang bermaruah hanya akan dicapai bilamana umat Islam konsisten dalam menjalankan tiga dasar Islam yang utama, iaitu beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya, menyuruh berbuat kebajikan dan melarang daripada berbuat kejahatan.

JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Memperteguhkan serta meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T adalah langkah pertama bagi menjadi umat yang bermaruah dan terbaik yang memberi faedah kepada seluruh manusia. Beriman kepada Allah bererti mempercayai serta meyakini sungguh-sungguh bahawa Allah S.W.T adalah Tuhan yang “sa” (tunggal), yang telah mencipta seluruh alam ini. Di samping itu, iman juga merangkumi percaya kepada para malaikat, kitab-kitab Allah, para Rasul, hari kiamat dan qada serta qadar Allah S.W.T.

Begitu pun, beriman bukan bererti setakat percaya saja. Mengimani serta mempercayai keenam-enam perkara yang dinyatakan tersebut juga menuntut kita akur dan mematuhi segala perkara yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. Ini termasuk mematuhi perintah mengerjakan Solat, Puasa, mengeluarkan Zakat, mengerjakan Haji ke Baitullah hatta menguasai ilmu pengetahuan, memperkukuh kesejahteraan ummah, seterusnya memikul tugasan amar makruf nahi mungkar dengan penuh ketakwaan kepada Allah S.W.T.
Tingkat keimananlah yang akan menentukan sama ada kita bermaruah atau sebaliknya. Tingkat keimananlah juga yang akan menentukan sama ada kita tegas atau berani menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran. Tingkat keimananlah juga yang menentukan corak tindakan yang diambil bagi melaksanakan amar makruf nahi mungkar sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubah dengan tangan (kekuasaan)-nya; jika tidak mampu, dengan lisannya; jika tidak mampu, dengan hatinya. Namun, itulah selemah-lemah iman.” (H.R. Muslim).
Hadis ini menjelaskan bahawa setiap kemungkaran yang berlaku hendaklah dibanteras atau dihalang dengan tangan, iaitu menggunakan kuasa sama ada kuasa jawatan yang disandang ataupun kekuatan fizikal yang dimiliki. Kalau tidak mampu melakukan yang sedemikian, maka kemungkaran yang berlaku itu hendaklah dihentikan dengan memberi nasihat kepada orang yang melakukannya. Andai kata tak mampu juga memberi nasihat, maka hendaklah membenci perbuatan keji itu, iaitu tidak menyetujui atau tidak suka akan perbuatan yang ditegah Allah yang dilakukan. Dan langkah seumpamanya adalah selemah-lemah iman.
JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Allah mengurniakan kepada kita akal untuk berfikir. Allah juga menurunkan peraturan kehidupan untuk dipatuhi dan diamalkan. Jika kita sadar akan jati diri kita sebagai makhluk ciptaan Allah S.W.T, maka sudah sewajarnyalah kita mampu mengarahkan akal kita sesuai dengan peraturan serta kehendak-Nya.

Sehubungan itu, kita selaku umat Islam hendaklah menyesuaikan seluruh amal perbuatan kita selaras dengan peraturan Allah, bukan berdasarkan kepada hawa nafsu atau kehendak orang lain. Ini kerana segala peraturan yang ditentukan oleh Allah itu adalah yang terbaik meskipun barangkali ada di antara manusia berpendapat ia tidak baik.

Firman Allah:-

Maksudnya: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu. Boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” ( S. Al-Baqarah: 216).

Inilah isyarat yang diberi Allah bagi menyedarkan kita semua bahawa hidup kita perlu diikat dengan peraturan dan undang-undang yang telah ditentukan oleh-Nya. Mereka yang menyedari hakikat ini akan sentiasa tunduk mematuhi segala Syariat Islam, menjauhi segala bentuk kemungkaran dan rela berkorban untuk membentuk diri menjadi umat yang bermaruah, Justeru selagi kita berpegang dengan ajaran Islam, insya-Allah, setiap cabaran dan masalah yang melanda dapat diatasi dengan petunjuk daripada Allah S.W.T.

JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Semoga di Tahun Baru 1431H, kita sebagai umat Islam dapat mengamalkan makna hijrah itu, iaitu semakin mendekatkan diri kepada Allah, cinta pada Rasul-Nya, dan tidak lagi melakukan perbuatan yang keji seperti melakukan rasuah, menganiaya kaum lemah, memeras ugut, suka mengadu domba dan perbuatan-perbuatan keji lainnya.

Tegasnya, kita harus berusaha melawan hawa nafsu yang cenderung mengajak ke arah melakukan perkara-perkara buruk yang menyelewengkan kita daripada lunas-lunas syariat. Kita tanamkan azam baru untuk mengamalkan secara bersungguh-sungguh perintah Allah seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. supaya amalan agama subur dalam diri kita masing-masing ke arah menjana bangsa yang bermaruah membangun ummah yang gemilang.

بارك الله لي ولكم في القرآن العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات و الذكر الحكيم أقول قولي هذا وأستغفر الله لي ولكم إنه هو السميع العليم

Tiada ulasan:

Catat Ulasan