BERSEDERHANA adalah sebaik-sebaik amalan yang dituntut oleh agama kita. Walau sesiapa pun kita, usah lupa bahawa kita ini sama sahaja pada pandangan Dia. Allah tidak pernah membezakan kita sebagai hamba mengikut pangkat, harta atau pun kejayaan di atas muka bumi ini. Yang dilihat adalah sebanyak mana amalan kita sebagai makhluk yang taat, juga sejauh mana usaha kita dalam mengejar sesuatu impian itu.
Apakah mesti kita seorang yang digelar hebat-hebat juga mesti menampilkan kepada orang ramai bahawa kita memang di kalangan golongan yang hebat-hebat. Ya, memang agama menuntut setiap umatnya supaya mengejar kemewahan di dunia di samping tidak mengabaikan tuntutan akhirat. Berjaya dunia berjaya juga kelak di sana nanti. Itulah juga yang sebaiknya.
Namun adakah mesti untuk kita sebagai hamba yang hina dan tidak punya apa ini untuk bermegah dengan apa yang telah kita kecap selama ini. Tidakkah semua ini hanya pinjaman? Bukankah lebih baik jika amalan merendah diri itu terus dijadikan asas dan pasak yang kukuh dalam pengamalan harian kita sebagai seorang hamba. Barulah bertepatan dengan status kita sebagai seorang hamba.
Apakah seorang doktor itu wajib untuk memakai kereta-kereta mewah, adakah seorang usahawan berjaya dan terkenal itu harus untuk memiliki rumah-rumah yang besar dan adakah hina seorang peniaga di pasar malam itu jika hanya memandu sebuah van yang buruk?
Hatta sampai sekalipun kita ke tahap manusia terkaya di dunia ini, kita tidak pernah dipaksa dan diwajibkan untuk mengejar semua perkara itu. Mengapa mesti kaya sering dikaitkan dengan kemewahan? Apakah kemewahan dan kekayaan itu sudah memang terpateri sinonim dengan lambakan harta dan wang ringgit? Aduh, alangkah indahnya sekiranya kekayaan dan kemewahan itu digandingkan sama dengan limpahan budi dan nilai agama yang turut juga mencapai kemewahan tidak terhingga dalam diri kita sebagai seorang manusia.
Jadilah kita manusia yang bersyukur. Sesiapa pun kita usah angkuh jangan bongkak dengan apa yang dikecap. Belajarlah erti puas, makna bersederhana. Bersederhanalah dalam setiap amalan. Itulah juga amalan yang sebaiknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan