DI SEBALIK anjuran melaksanakan haji dan ancaman kepada orang yang mengingkarinya, tersembunyi beberapa hikmah dan rahsia.
Bagi memulakan ibadat haji, semua tetamu Allah akan berniat haji dan memakai pakaian ihram disusuli dengan melaungkan talbiah. Di sebalik rangkaian ibadat ini terkandung beberapa hikmah.
Niat ihram, pakaian ihram dan talbiah.
Dengan berniat ihram, mukmin berusaha melepaskan diri daripada tarikan keduniaan yang sentiasa menipu dan menjerumuskan manusia kepada kekecewaan di akhirat. Perkara yang halal sebelum memulakan haji seperti bersetubuh dan memakai pakaian berjahit diketepikan semata-mata kerana Allah.
Dalam ibadat haji, semua pelakunya tanpa mengira pangkat dan kedudukan memakai pakaian sama iaitu yang sama bakal dipakai tatkala mati nanti. Terserlah daripada pakaian haji dan kapan itu, betapa manusia di hadapan Allah sama saja ibarat gigi sikat. Yang menjadi ukuran Allah bukanlah zahir mereka, tetapi ketakwaan dan keimanan yang tersembunyi dalam hati.
Tetamu Allah yang meredah lautan, awan dan padang pasir itu semuanya melaungkan talbiah menyahut panggilan-Nya yang bermaksud: "Kusahuti panggilan-Mu ya Allah, kusahuti panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu, kusahuti panggilan-Mu ya Allah, sesungguhnya kepujian dan nikmat kurnia, segala-galanya adalah kepunyaan-Mu dan kerajaan (seluruhnya) adalah milik-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu."
Di sebalik laungan itu, jemaah haji patut takut jika ibadatnya ditolak Allah.
Ini sebagaimana diriwayatkan oleh Sufyan bin 'Uyainah mengenai 'Ali bin Husain ketika beliau memakai ihram haji dan mula menaiki kenderaannya. Tiba-tiba muka dan badannya pucat, lantas dia bingkas bangun sambil menggeletar. Dia tidak dapat mengucapkan talbiah. Ketika itu ada yang bertanya kepadanya; "Mengapakah kamu tidak bertalbiah?" Jawabnya : "Aku bimbang kalau-kalau dikatakan kepadaku, "Tidak kamu bukan datang keranaku (Allah)."
Jawapan sebegini bakal ditujukan kepada jemaah yang menunaikan haji bukan dengan niat ikhlas kerana Allah. Tetapi, kedatangannya ke Baitullah dengan diiiringi dengan perbuatan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dari aspek kepujian, nikmat, rezeki, kerajaan dan sebagainya.
Wukuf di Arafah.
Bermula selepas gelincir matahari 9 Zulhijah, tetamu al-Rahman mula memenuhi padang 'Arafah untuk wukuf. Di sebaliknya tersembunyi beberapa hikmah.
Di antaranya, ulama menamakan hari Arafah sebagai Yaum Tarwiyyah (hari merenung diri). Arafah disebutkan oleh Nabi saw sebagai medan mengampunkan dosa yang tidak mungkin diampunkan kecuali dengan wukuf di Arafah. Oleh demikian, ketika berada di Arafah, tetamu al-Rahman perlu banyak merenung dan memuhasabah diri serta bertaubat kepada Allah atas segala keterlanjuran dosa mereka.
Keadaan di padang Arafah membawa erti besar dalam diri seseorang dan tidak dapat ditandingi dengan keadaan lain dalam kehidupan ini.
Wukuf adalah gambaran Padang Mahsyar. Panas terik di padang Arafah dan kepelbagaian ragam manusia di sana cukup memberikan peringatan terhadap keperitan tatkala berada di Padang Mahsyar.
Perhimpunan besar lebih dua juta umat Islam pada waktu sama di padang Arafah menjadikannya sebagai muktamar terbesar umat Islam saban tahun. Perhimpunan ini membawa erti kesatuan umat Islam seluruhnya dalam menuju matlamat yang satu dan perlu diteruskan dalam apa juga bentuk dan keadaan.
Hari Arafah (perkataan 'arafa bermaksud `mengetahui) juga adalah medan hubungan sesama manusia (hablum min al-nas), berkenal-kenalan dan saling bertukar-tukar pandangan walau berbeza warna kulit, bahasa, kaum dan latar belakang.
Bermalam di Muzdalifah.
Selesai wukuf, jemaah menuju ke Muzdalifah sejauh lapan kilometer dan bermalam di sana. Di sini tetamu Allah dalam kegelapan malam disunatkan solat dua rakaat, bermunajat dan mengutip anak-anak batu yang akan digunakan dalam ibadat melontar.
Ulama membezakan perkumpulan jemaah haji di Arafah dengan Muzdalifah dengan menjelaskan bahawa di Muzdalifah adalah waktu umat manusia memperbaiki hubungan baik dengan Allah (hablum min Allah).
Ibadat melontar batu.
Selepas itu jemaah haji menuju ke Mina untuk melontar di Jamrah al-Aqabah. Ibadat itu diteruskan di Jamrah al-Ula dan Jamrah al-Wustho pada hari-hari yang seterusnya ketika bermalam di Mina. Ibadat ini dilakukan dengan menyuburkan kembali ingatan kepada peristiwa Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail dan diganggu oleh syaitan; lantas beliau membalingnya dengan batu.
Firman Allah bermaksud: (Ibrahim berkata) Wahai anakku, aku bermimpi menyembelihmu (sebagai arahan daripada Allah). Terangkanlah apa pendapatmu? Ismail menjawab : Wahai bapaku, lakukanlah perkara yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah engkau akan dapati aku daripada kalangan orang yang sabar." (Surah al-Saffat, ayat 102)
Ibadat melontar batu membayangkan tekad jemaah haji untuk memerangi syaitan dan konco-konconya serta kesungguhan menghindarkan tarikan nafsu dan beristiqamah mengikut syariat Allah.
Ia juga keazaman untuk meneruskan perjuangan atas landasan kebenaran dan hidayah. Selain itu, ibadat ini adalah perjanjian untuk bersungguh-sungguh dalam tindakan, perkataan dan jihad demi menegakkan kalimah Allah serta menumpaskan fahaman kekufuran yang hina.
Tawaf di Baitullah dan Istilam.
Seterusnya, jemaah menuju ke Baitullah al-Haram untuk menunaikan ibadat tawaf dan disunatkan bagi mereka berusaha untuk menyentuh Hajar al-Aswad atau disebut Istilam.
Dalam tawaf manusia dapat berhubungan dengan makhluk alam tinggi. Pada waktu itu, mereka seolah-olah melakukan perbuatan yang sama, sebagaimana malaikat mengelilingi 'arasy Allah.
Firman-Nya bermaksud: Dan kamu (Nabi Muhammad saw) akan melihat malaikat berlingkar di sekeliling 'Arasy bertasbih sambil memuji Tuhannya; dan diberi keputusan di antara hamba-hamba Allah dengan 'adil dan diucapkan: "Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam." (Surah al-Zumar, ayat 75)
Ia juga lambang ketaatan manusia secara mutlak kepada hukum Allah. Ini sebagaimana makhluk Allah dalam sistem solar tidak pernah keluar daripada ketaatan kepada Allah dan sentiasa mengelilingi matahari di atas orbit yang ditentukan mengikut putaran lawan arah jam seperti dilakukan oleh jemaah haji.
Justeru, ibadat ini memberikan manusia kefahaman betapa mereka perlu mempertahankan ketaatan kepada hukum Allah dalam kehidupan mereka.
Dengan Istilam (menyentuh Hajar al-Aswad), seseorang jemaah sedang membai'ah untuk mentaati segala perintah Allah dan berjuang di atas landasan agama-Nya.
Rasulullah menegaskan perkara ini dalam sabda baginda riwayat Ibn Hibban: "Hajar al-Aswad adalah tangan Allah 'Azza wa Jalla di dunia untuk berjabat dengan makhluk-Nya bagaikan dia berjabat tangan dengan saudaranya."
Tentu perjanjian ini adalah sesuatu yang besar sebagaimana firman Allah dalam surah al-Fath: ayat 10, bermaksud: "Barang siapa yang mengkhianati bai'ah, sesungguhnya dia mengkhianati dirinya sendiri. Tetapi sesiapa yang menunaikan apa yang dia janjikan kepada Allah, maka dia akan diberi ganjaran besar.
Sa'i di antara Safa dan Marwah.
Selesai tawaf, jemaah menuju ke Bukit Safa untuk memulakan sai. Ibadat ini membayangkan kekuatan hasrat mukmin untuk memohon rahmat Allah. Ia sebagaimana kuatnya keazaman dan kekuatan hasrat Hajar ketika berlari-lari anak dalam mencari air selepas bekalan air yang ditinggalkan suaminya Nabi Ibrahim habis. Kekuatan hasratnya akan rahmat Allah kerana tanpa rahmat-Nya, Hajar dan anak kecilnya Ismail akan mati kedahagaan.
Seseorang jemaah haji perlu mengambil hikmah betapa pergantungan kehidupannya tidak lain tidak bukan hanyalah kepada Allah. Tiada yang lain boleh memberikan manfaat dan memberikan mudarat kecuali Allah. Doa yang dituturkan menggambarkan makna itu: "Ya Allah, ampunkanlah (dosaku), kasihanilah (diriku), maafkanlah apa juga kesalahanku yang Engkau ketahui. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Pemurah. Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan akhirat dan lindungilah kami wahai Tuhan daripada seksa neraka."
Mustahak mengenang semua hikmah rangkaian ibadat ini, agar ia memandu mukmin yang mengerjakan haji agar meletakkan kepatuhan maksimum kepada arahan Allah SWT.
suatu catatan ilmu yang amat berguna untuk bakal tetamu Allah. Dapat memberi panduan untuk penghayatan yang lebih mendalam ketika mengerjakan manasik haji.
BalasPadam